BILANGAN 33:50-56 - Compare All Versions
BILANGAN 33:50-56 BM (Alkitab Berita Baik)
Di dataran Moab, di pinggir Sungai Yordan, bertentangan dengan kota Yerikho, TUHAN memberi Musa petunjuk-petunjuk ini bagi umat Israel, “Apabila kamu menyeberangi Sungai Yordan dan pergi ke tanah Kanaan, usirlah semua penduduk tanah itu. Musnahkanlah semua berhala mereka yang dibuat daripada batu dan logam; musnahkanlah juga tempat-tempat pemujaan mereka. Dudukilah tanah itu dan tinggallah di situ kerana Aku memberikannya kepada kamu. Kemudian bahagikanlah tanahnya kepada suku-suku kamu dengan membuang undi: bahagian yang besar untuk suku yang besar, dan bahagian yang kecil untuk suku yang kecil. Tetapi jika kamu tidak mengusir penduduk tanah itu, orang yang tetap tinggal di situ akan menyusahkan kamu seperti selumbar di dalam mata kamu dan duri di rusuk kamu. Kemudian mereka akan melawan kamu. Jika kamu tidak mengusir mereka, Aku akan membinasakan kamu seperti yang Aku cadangkan terhadap mereka.”
BILANGAN 33:50-56 AVB (Alkitab Versi Borneo)
Di tempat itu, iaitu di dataran Moab, di tepi Sungai Yordan dekat Yerikho, TUHAN berfirman kepada Musa, “Berbicaralah kepada orang Israel dan katakan kepada mereka, ‘Setelah kamu menyeberangi Sungai Yordan menuju Tanah Kanaan, usirlah seluruh penduduk negeri itu dari hadapanmu dan musnahkanlah segala batu berukir mereka. Musnahkanlah juga segala patung tuangan mereka dan punahkanlah segala bukit pemujaan mereka. Dudukilah negeri itu dan tinggallah di sana, kerana kepadamu telah Kukurniakan negeri itu untuk kamu duduki. Kemudian bahagi-bahagikanlah negeri itu menurut kaum yang ada padamu dengan cara mencabut undi. Kepada suku yang besar jumlahnya berikanlah harta pusaka yang lebih besar, manakala kepada suku yang kecil jumlahnya berikanlah harta pusaka yang lebih kecil. Di mana pun undi itu jatuh bagi mereka, di situlah bahagian mereka. Hendaklah kamu mendapat harta pusaka menurut suku-suku bapa leluhurmu. Akan tetapi, jika kamu tidak mengusir penduduk tempatan negeri itu dari hadapanmu, maka orang yang kamu tinggalkan hidup daripada kalangan mereka akan menjadi seperti onak di matamu dan duri di rusuk kamu. Mereka akan menyusahkan kamu di negeri yang kamu diami. Jika demikian, Aku akan melakukan rancangan terhadap mereka seperti yang Kurancangkan terhadap kamu.’ ”