BILANGAN 11:16-30
BILANGAN 11:16-30 Alkitab Berita Baik (BM)
TUHAN berfirman kepada Musa, “Kumpulkanlah tujuh puluh orang lelaki yang dihormati dan yang diakui sebagai pemimpin orang Israel. Bawalah mereka menghadap Aku di Khemah-Ku, dan suruhlah mereka berdiri di situ, di sampingmu. Aku akan turun dan berfirman kepadamu di tempat itu, dan mereka akan Kuberikan sebahagian daripada kuasa yang sudah Kuberikan kepadamu. Dengan demikian, mereka akan dapat membantu engkau memikul tanggungjawab atas umat ini, dan engkau tidak lagi memikulnya sendirian. Sekarang beritahulah orang Israel, ‘Sucikanlah diri kamu untuk esok, kerana kamu akan makan daging. TUHAN sudah mendengar kamu merungut dan berkata bahawa kamu ingin sekali makan daging, dan bahawa keadaan kamu lebih baik semasa di negeri Mesir. Sekarang TUHAN akan memberi kamu daging dan kamu mesti makan daging itu. Kamu mesti memakannya bukan sahaja selama satu atau dua hari, atau lima, atau sepuluh, ataupun dua puluh hari, tetapi selama satu bulan, sehingga kamu menjadi sakit dan muntah-muntah kerana daging itu. Hal itu akan terjadi kerana kamu menolak TUHAN yang ada di tengah-tengah kamu. Kamu juga bersungut kepada-Nya dengan berkata bahawa kamu tidak seharusnya meninggalkan Mesir.’ ” Musa berkata kepada TUHAN, “Sekarang aku sedang memimpin 600,000 orang. Bagaimanakah Engkau dapat berfirman bahawa Engkau akan memberi mereka daging yang cukup selama satu bulan? Cukupkah lembu dan domba untuk disembelih bagi mengenyangkan mereka? Cukupkah semua ikan di laut untuk mereka?” TUHAN berfirman, “Adakah kuasa-Ku terbatas? Engkau akan segera melihat sama ada firman-Ku itu berlaku atau tidak!” Oleh itu Musa keluar dan memberitahu umat Israel apa yang difirmankan TUHAN. Musa mengumpulkan tujuh puluh orang pemimpin dan menyuruh mereka berdiri di sekeliling Khemah TUHAN. Kemudian TUHAN turun di dalam awan dan berfirman kepada Musa. TUHAN mengambil sebahagian daripada kuasa yang sudah diberikan-Nya kepada Musa, lalu memberikan kuasa itu kepada tujuh puluh orang pemimpin itu. Ketika Roh TUHAN turun ke atas mereka, mereka mula berseru seperti nabi, tetapi tidak lama. Dua daripada tujuh puluh orang pemimpin itu, iaitu Eldad dan Medad, tinggal di perkhemahan dan tidak pergi ke Khemah TUHAN. Di perkhemahan itu, Roh turun ke atas mereka dan mereka pun mula berseru seperti nabi. Seorang pemuda lari keluar untuk memberitahu Musa tentang hal yang berlaku kepada Eldad dan Medad. Kemudian Yosua anak Nun, yang telah membantu Musa sejak masa mudanya, berkata kepada Musa, “Tuan, suruhlah mereka diam!” Musa menjawab, “Adakah engkau memikirkan hal aku? Aku sangat berharap agar TUHAN memberikan Roh-Nya kepada semua umat-Nya, dan menyebabkan mereka semua berseru seperti nabi!” Selepas itu Musa dan para pemimpin Israel itu balik ke perkhemahan.
BILANGAN 11:16-30 Alkitab Versi Borneo (AVB)
Firman TUHAN kepada Musa, “Kumpulkanlah bagi-Ku tujuh puluh orang daripada kalangan tua-tua Israel yang kaukenal sebagai tua-tua umat dan pegawai atasan rakyat. Bawalah mereka ke Khemah Pertemuan, dan suruhlah mereka menyatakan pendirian mereka di sana bersama-samamu. Aku akan hadir dan berfirman kepadamu di sana, lalu Aku akan mengambil sebahagian daripada Roh yang ada padamu dan meletakkannya pada mereka lantas mereka akan menanggung beban bangsa ini bersama dengan kamu, sehingga kamu tidak perlu menanggungnya bersendirian. Katakanlah kepada bangsa itu, ‘Sucikanlah dirimu untuk hari esoknya lalu kamu akan memakan daging. TUHAN telah mendengar kamu menangis sambil berkata, “Siapakah yang akan memberi kami makan daging? Keadaan kami di Mesir dahulu lebih baik!” Jadi, TUHAN akan memberi kamu daging dan kamu akan memakannya. Kamu akan memakannya bukan sehari, dua hari, lima hari, sepuluh hari, atau dua puluh hari sahaja, tetapi selama sebulan penuh, sampai daging itu keluar melalui lubang hidungmu sehingga membuat kamu muak. Hal itu terjadi kerana kamu telah menolak TUHAN yang hadir dalam kalangan kamu dan kamu menangis di hadirat-Nya sambil berkata, “Untuk apa kami keluar dari Mesir?” ’ ” Akan tetapi, Musa berkata, “Umat yang bersama-sama hamba ini seramai 600,000 orang pejalan kaki, dan Engkau berfirman, ‘Aku akan memberi mereka daging untuk mereka makan selama sebulan penuh!’ Jika kawanan domba dan kawanan lembu disembelih, cukupkah semua itu untuk mengenyangkan mereka? Atau, jika segala ikan di laut dikumpulkan, cukupkah semua itu untuk mengenyangkan mereka?” Firman TUHAN kepada Musa, “Apakah kuasa TUHAN terbatas? Sekarang kamu akan melihat sama ada firman-Ku akan ternyata atasmu atau tidak.” Maka keluarlah Musa lalu disampaikannya firman TUHAN kepada bangsa itu. Dia mengumpulkan tujuh puluh orang daripada kalangan tua-tua bangsa itu dan disuruhnya mereka berdiri di sekeliling Khemah. Kemudian TUHAN hadir dalam awan dan berfirman kepada Musa. Diambil-Nya sebahagian daripada Roh yang ada pada Musa, lalu diletakkan-Nya pada kesemua tujuh puluh tua-tua umat itu. Ketika Roh itu turun ke atas mereka, bernubuatlah mereka seperti nabi, tetapi sesudah itu mereka tidak lagi bernubuat. Akan tetapi, ada dua orang tertinggal di perkhemahan, seorang bernama Eldad dan seorang lagi bernama Medad. Mereka termasuk antara orang yang tercatat, tetapi tidak turut pergi ke Khemah. Walaupun demikian, Roh itu pun turun ke atas mereka dan mereka bernubuat seperti nabi di perkhemahan. Lalu seorang muda berlari memberitahukan hal itu kepada Musa, katanya, “Eldad dan Medad bernubuat seperti nabi di perkhemahan.” Yosua anak Nun, yang menjadi pembantu Musa sejak masa mudanya, berkata, “Tuanku Musa, cegahlah mereka!” Tetapi kata Musa kepadanya, “Adakah kamu mencemburui hal itu demi aku? Kalau sahaja seluruh umat TUHAN menjadi nabi kerana TUHAN mengurniakan Roh-Nya kepada mereka!” Setelah itu, Musa kembali ke perkhemahan bersama-sama tua-tua Israel.