Firman TUHAN kepada Musa, “Kumpulkanlah bagi-Ku tujuh puluh orang daripada kalangan tua-tua Israel yang kaukenal sebagai tua-tua umat dan pegawai atasan rakyat. Bawalah mereka ke Khemah Pertemuan, dan suruhlah mereka menyatakan pendirian mereka di sana bersama-samamu. Aku akan hadir dan berfirman kepadamu di sana, lalu Aku akan mengambil sebahagian daripada Roh yang ada padamu dan meletakkannya pada mereka lantas mereka akan menanggung beban bangsa ini bersama dengan kamu, sehingga kamu tidak perlu menanggungnya bersendirian. Katakanlah kepada bangsa itu, ‘Sucikanlah dirimu untuk hari esoknya lalu kamu akan memakan daging. TUHAN telah mendengar kamu menangis sambil berkata, “Siapakah yang akan memberi kami makan daging? Keadaan kami di Mesir dahulu lebih baik!” Jadi, TUHAN akan memberi kamu daging dan kamu akan memakannya. Kamu akan memakannya bukan sehari, dua hari, lima hari, sepuluh hari, atau dua puluh hari sahaja, tetapi selama sebulan penuh, sampai daging itu keluar melalui lubang hidungmu sehingga membuat kamu muak. Hal itu terjadi kerana kamu telah menolak TUHAN yang hadir dalam kalangan kamu dan kamu menangis di hadirat-Nya sambil berkata, “Untuk apa kami keluar dari Mesir?” ’ ”
Akan tetapi, Musa berkata, “Umat yang bersama-sama hamba ini seramai 600,000 orang pejalan kaki, dan Engkau berfirman, ‘Aku akan memberi mereka daging untuk mereka makan selama sebulan penuh!’ Jika kawanan domba dan kawanan lembu disembelih, cukupkah semua itu untuk mengenyangkan mereka? Atau, jika segala ikan di laut dikumpulkan, cukupkah semua itu untuk mengenyangkan mereka?”
Firman TUHAN kepada Musa, “Apakah kuasa TUHAN terbatas? Sekarang kamu akan melihat sama ada firman-Ku akan ternyata atasmu atau tidak.”
Maka keluarlah Musa lalu disampaikannya firman TUHAN kepada bangsa itu. Dia mengumpulkan tujuh puluh orang daripada kalangan tua-tua bangsa itu dan disuruhnya mereka berdiri di sekeliling Khemah. Kemudian TUHAN hadir dalam awan dan berfirman kepada Musa. Diambil-Nya sebahagian daripada Roh yang ada pada Musa, lalu diletakkan-Nya pada kesemua tujuh puluh tua-tua umat itu. Ketika Roh itu turun ke atas mereka, bernubuatlah mereka seperti nabi, tetapi sesudah itu mereka tidak lagi bernubuat.
Akan tetapi, ada dua orang tertinggal di perkhemahan, seorang bernama Eldad dan seorang lagi bernama Medad. Mereka termasuk antara orang yang tercatat, tetapi tidak turut pergi ke Khemah. Walaupun demikian, Roh itu pun turun ke atas mereka dan mereka bernubuat seperti nabi di perkhemahan. Lalu seorang muda berlari memberitahukan hal itu kepada Musa, katanya, “Eldad dan Medad bernubuat seperti nabi di perkhemahan.”
Yosua anak Nun, yang menjadi pembantu Musa sejak masa mudanya, berkata, “Tuanku Musa, cegahlah mereka!”
Tetapi kata Musa kepadanya, “Adakah kamu mencemburui hal itu demi aku? Kalau sahaja seluruh umat TUHAN menjadi nabi kerana TUHAN mengurniakan Roh-Nya kepada mereka!” Setelah itu, Musa kembali ke perkhemahan bersama-sama tua-tua Israel.