MARKUS 6:21-29 - Compare All Versions

MARKUS 6:21-29 BM (Alkitab Berita Baik)

Akhirnya Herodias mendapat peluang pada hari keputeraan Raja Herodes. Raja Herodes mengadakan jamuan untuk semua pegawai tinggi kerajaan, pegawai tentera, dan tokoh-tokoh masyarakat Galilea. Anak perempuan Herodias menari dan menghiburkan hati Raja Herodes serta tetamunya. Oleh itu Raja Herodes bertitah kepada anak gadis itu, “Anakanda ingin apa? Ayahanda akan memberikan apa sahaja yang anakanda ingini!” Lalu Raja Herodes berjanji kepada gadis itu dengan sumpah. Raja Herodes bertitah, “Ayahanda berjanji memberikan apa sahaja yang anakanda minta, bahkan separuh daripada kerajaan ayahanda sekalipun!” Oleh itu gadis itu keluar dan bertanya kepada ibunya, “Apakah yang sebaiknya saya minta?” Ibunya menjawab, “Mintalah kepala Yohanes Pembaptis.” Gadis itu segera kembali kepada Raja Herodes dan berkata, “Anakanda minta ayahanda memberi anakanda kepala Yohanes Pembaptis di atas talam sekarang juga!” Setelah mendengar permintaan itu, Raja Herodes sangat berdukacita. Tetapi Raja Herodes tidak dapat menolak permintaan itu kerana telah berjanji dengan sumpah di hadapan semua tetamunya. Lalu Raja Herodes memberikan perintah kepada askarnya untuk mengambil kepala Yohanes Pembaptis. Askar itu meninggalkan istana, pergi ke penjara lalu memancung kepala Yohanes. Kemudian kepala itu diletakkannya di atas talam, dibawanya ke istana, dan diserahkannya kepada gadis itu. Lalu gadis itu menyerahkan kepala Yohanes kepada ibunya. Apabila pengikut Yohanes mendengar hal itu, mereka mengambil jenazah Yohanes dan mengebumikannya.

MARKUS 6:21-29 AVB (Alkitab Versi Borneo)

Akhirnya Herodias mendapat peluang apabila Raja Herodes mengadakan jamuan hari jadinya untuk semua pegawai tinggi kerajaan, panglima dan tokoh masyarakat Galilea. Anak gadis Herodias menari dan menghiburkan Herodes serta tetamunya. Oleh itu, raja berkata kepada gadis itu, “Mintalah daripadaku apa sahaja yang kamu ingini dan akan kuberikan kepadamu.” Dia menyambung dengan sumpah, “Apa sahaja yang kamu minta akan kuberikan kepadamu, walau separuh kerajaanku sekalipun.” Gadis itu pergi bertanya kepada ibunya, “Apakah yang patut kuminta?” Jawabnya, “Kepala Yohanes Pembaptis.” Gadis itu segera kembali kepada raja dan berkata, “Aku mahu kamu berikan kepadaku kepala Yohanes Pembaptis di atas talam sekarang juga.” Lalu raja amat berdukacita, tetapi apakan daya, dia telah bersumpah di hadapan semua tetamunya. Oleh itu, dia tidak mahu menolak permintaannya. Dia pun memberikan perintah kepada askar supaya membawa kepala Yohanes. Askar itu pergi ke penjara lalu memancung kepala Yohanes. Dia membawa kepala itu di atas talam dan menyerahkannya kepada gadis itu. Lalu gadis itu menyerahkan kepala Yohanes kepada ibunya. Apabila murid-murid Yohanes mendengar perkara itu, mereka datang dan mengambil jenazah Yohanes lalu mengebumikannya di dalam kubur.

MARKUS 6:21-29 KEAS (Kitab Alkudus: Injil Isa Almasih 1866 (Keasberry))

Maka apabila datanglah suatu hari yang sŭnang, dipŭrbuatlah ulih Herodis suatu pŭrjamuan bagie orang bŭsar bŭsarnya, dan kapala kapala pŭnghulunya, dan kapala kapala pŭgawi nŭgri Galilia, kŭrna hari jadinya. Maka apabila datang anak pŭrampuan Herodia yang tŭrsŭbut itu mŭnari, sŭrta mŭnyukakan Herodis, dan sagala orang yang ada dudok bŭssama sama dŭngan dia, maka kata Raja kapada dayang itu, Pintalah ulihmu kapadaku barang kahandakmu, nŭschaya kubri kapadamu. Maka bŭrsumpahlah iya kapadanya, Barang apa yang angkau minta kapadaku, maka aku akan mŭmbri kapadamu, sampie sŭparoh krajaanku ini. Maka pŭrgilah si‐Dayang itu mŭngatakan kapada ibunya, apakah yang handak kupinta, maka kata ibunya, Kapala Yahya Pŭmbaptisa. Maka datanglah iya sŭgra dŭngan gopohnya kapada Raja, sŭrta mŭminta katanya, Aku kahandaki angkau brilah akan daku kŭlak kapala Yahya Pŭmbaptisa itu dalam sa’buah dulang. Maka Raja pun tŭrlalu banyak susah, akan tŭtapi ulih sŭbab sumpahnya itu, dan sŭbab orang orang yang ada dudok bŭrsama sama dŭngan dia itu, maka tiadalan iya ŭnggan akan dia. Maka sŭbŭntar itu juga disurohkan Raja sa’orang pŭrtandah, sŭrta disurohnya mŭmbawa kapala Yahya itu, maka pŭrgilah iya mŭmŭnggal kapalanya dalam pŭnjara. Lalu dibawalah kapalanya itu dalam sa’buah dulang, sŭrta dibrinya kapada si‐Dayang itu, maka si‐Dayang itu pun mŭmbri itu kapada ibunya. Maka apabila didŭngar ulih murid muridnya itu, lalu datanglah marika itu mŭngambil mayatnya, sŭrta dilŭtakkannya didalam sa’buah pŭkuboran.