Markus 6:21-29
Markus 6:21-29 AVB
Akhirnya Herodias mendapat peluang apabila Raja Herodes mengadakan jamuan hari jadinya untuk semua pegawai tinggi kerajaan, panglima dan tokoh masyarakat Galilea. Anak gadis Herodias menari dan menghiburkan Herodes serta tetamunya. Oleh itu, raja berkata kepada gadis itu, “Mintalah daripadaku apa sahaja yang kamu ingini dan akan kuberikan kepadamu.” Dia menyambung dengan sumpah, “Apa sahaja yang kamu minta akan kuberikan kepadamu, walau separuh kerajaanku sekalipun.” Gadis itu pergi bertanya kepada ibunya, “Apakah yang patut kuminta?” Jawabnya, “Kepala Yohanes Pembaptis.” Gadis itu segera kembali kepada raja dan berkata, “Aku mahu kamu berikan kepadaku kepala Yohanes Pembaptis di atas talam sekarang juga.” Lalu raja amat berdukacita, tetapi apakan daya, dia telah bersumpah di hadapan semua tetamunya. Oleh itu, dia tidak mahu menolak permintaannya. Dia pun memberikan perintah kepada askar supaya membawa kepala Yohanes. Askar itu pergi ke penjara lalu memancung kepala Yohanes. Dia membawa kepala itu di atas talam dan menyerahkannya kepada gadis itu. Lalu gadis itu menyerahkan kepala Yohanes kepada ibunya. Apabila murid-murid Yohanes mendengar perkara itu, mereka datang dan mengambil jenazah Yohanes lalu mengebumikannya di dalam kubur.

