MATIUS 5:1-48 - Compare All Versions

MATIUS 5:1-48 BM (Alkitab Berita Baik)

Apabila Yesus melihat orang ramai itu, Dia naik ke bukit lalu duduk. Pengikut-pengikut-Nya berkumpul di sekeliling-Nya, lalu Dia mula mengajar mereka: “Berbahagialah orang yang sedar bahawa mereka memerlukan Allah, merekalah yang menikmati Pemerintahan Allah! Berbahagialah orang yang bersedih hati, Allah akan menghiburkan mereka! Berbahagialah orang yang rendah hati, mereka akan menerima apa yang telah dijanjikan oleh Allah! Berbahagialah orang yang betul-betul mahu melakukan kehendak Allah, Allah akan memuaskan mereka! Berbahagialah orang yang mengasihani orang lain, Allah juga akan mengasihani mereka! Berbahagialah orang yang murni hati, mereka akan mengenal Allah! Berbahagialah orang yang membawa kedamaian antara manusia, Allah akan menyebut mereka anak-anak-Nya! Berbahagialah orang yang menderita penganiayaan kerana melakukan kehendak Allah, merekalah yang menikmati Pemerintahan Allah! Berbahagialah kamu apabila orang menghina, menganiaya, dan memfitnah kamu kerana kamu pengikut-Ku. Nabi-nabi zaman dahulu juga dianiaya seperti itu. Bersukacitalah dan bergembiralah, kerana Allah sudah menyediakan pahala yang besar di syurga untuk kamu.” “Kamu bagaikan garam dunia. Jika garam sudah menjadi tawar, garam itu tidak dapat menjadi masin lagi. Garam seperti itu tidak berguna lagi, selain dibuang dan dipijak-pijak orang. Kamu bagaikan cahaya bagi dunia. Kota yang terletak di atas bukit tidak dapat disembunyikan. Tidak seorang pun memasang pelita lalu menaruhnya di bawah pasu, tetapi dia akan meletakkannya di atas kaki pelita supaya memberikan cahaya kepada setiap orang di dalam rumah. Hendaklah cahaya kamu juga bersinar di hadapan orang, supaya mereka melihat perbuatan kamu yang baik, lalu memuji Bapa kamu yang di syurga.” “Janganlah menganggap bahawa Aku datang untuk menghapuskan Taurat Musa dan ajaran nabi-nabi. Aku tidak datang untuk menghapuskannya, tetapi Aku datang supaya semua ajaran itu berlaku. Ingatlah! Selama langit dan bumi masih ada, titik atau huruf yang terkecil sekalipun di dalam Taurat, tidak akan dihapuskan jika semuanya belum berlaku. Oleh itu, sesiapa melanggar hukum yang paling tidak penting sekalipun, serta mengajar orang lain berbuat demikian, orang itu akan menjadi yang paling tidak penting antara orang yang menikmati Pemerintahan Allah. Sebaliknya, sesiapa mentaati Taurat dan mengajar orang lain berbuat demikian, orang itu akan menjadi penting antara orang yang menikmati Pemerintahan Allah. Oleh itu ingatlah bahawa kamu dapat menikmati Pemerintahan Allah, hanya jika kamu lebih setia daripada guru Taurat dan orang Farisi dalam usaha kamu melakukan kehendak Allah.” “Kamu sudah mendengar yang diajarkan kepada nenek moyang kita: ‘Jangan membunuh; sesiapa yang membunuh orang akan diadili.’ Tetapi sekarang Aku berkata kepada kamu: Sesiapa yang marah terhadap saudaranya akan diadili; dan sesiapa yang memaki saudaranya akan dibawa ke hadapan Majlis Agama, dan sesiapa yang memanggil saudaranya ‘Jahil’, patut dibuang ke dalam api neraka. Oleh itu, apabila kamu hendak mempersembahkan pemberian di atas mazbah kepada Allah, lalu teringat bahawa saudaramu sakit hati terhadap kamu, tinggalkanlah pemberianmu di hadapan mazbah. Pergilah berdamai dahulu dengan dia, barulah kembali lalu persembahkan pemberian kamu itu kepada Allah. Jika seseorang hendak mendakwa kamu di mahkamah, berdamailah dengan dia selagi ada masa dan sebelum tiba di mahkamah. Jika tidak, orang itu akan menyerahkan kamu kepada hakim, lalu hakim akan menyerahkan kamu kepada polis, kemudian polis akan memenjarakan kamu. Ketahuilah, kamu akan tinggal di penjara sehingga kamu melunaskan semua dendamu.” “Kamu sudah mendengar ajaran seperti berikut: ‘Jangan berzina.’ Tetapi sekarang Aku berkata kepada kamu: Sesiapa memandang seorang wanita dengan perasaan berahi, orang itu sudah berzina dengan dia di dalam hati. Jika mata kanan kamu menyebabkan kamu berdosa, cungkillah dan buanglah mata itu! Lebih baik kamu kehilangan salah satu anggota tubuh daripada seluruh tubuh kamu dibuang ke dalam neraka. Jika tangan kanan kamu menyebabkan kamu berdosa, potonglah dan buanglah tangan itu! Lebih baik kamu kehilangan sebelah tangan daripada seluruh tubuh kamu masuk ke dalam neraka.” “Ada juga ajaran yang mengatakan, ‘Sesiapa menceraikan isterinya, hendaklah orang itu memberikan surat cerai kepadanya.’ Tetapi sekarang Aku berkata kepada kamu: Sesiapa menceraikan isterinya kecuali kerana perzinaan, orang itu membuat isterinya berzina jika wanita ini berkahwin lagi. Orang yang mengahwini wanita yang diceraikan itu, berzina juga.” “Kamu sudah mendengar bagaimana nenek moyang kita diajar seperti berikut: ‘Jangan mungkir janji. Lakukanlah apa yang sudah kamu janjikan dengan sumpah di hadapan Tuhan.’ Tetapi sekarang Aku berkata kepada kamu: Jangan bersumpah sama sekali. Jangan bersumpah demi langit, kerana langit itu takhta Allah, atau demi bumi, kerana bumi itu alas kaki-Nya; atau demi Yerusalem, kerana kota itu kota Allah, Raja yang besar. Jangan bersumpah bahkan demi kepala kamu, kerana kamu tidak berkuasa membuat sehelai rambut menjadi putih ataupun hitam. Cukuplah kamu berkata ‘Ya’ atau ‘Tidak’. Kata-kata yang lebih daripada itu datangnya daripada Iblis.” “Kamu sudah mendengar ajaran seperti berikut: ‘Mata ganti mata; gigi ganti gigi.’ Tetapi sekarang Aku berkata kepada kamu: Jangan balas dendam terhadap orang yang berbuat jahat kepada kamu. Sebaliknya jika seseorang menampar pipi kananmu untuk menghina kamu, biarkanlah dia menampar pipi kirimu juga. Jika seseorang mendakwa kamu di mahkamah untuk menuntut bajumu, berikanlah jubahmu juga. Jika seorang askar penjajah memaksa kamu mengangkat barangnya sejauh satu kilometer, angkatlah barangnya sejauh dua kilometer. Jika seseorang meminta sesuatu daripada kamu, berikanlah apa yang dimintanya. Jika seseorang hendak meminjam sesuatu daripada kamu, pinjamkan apa yang dikehendakinya.” “Kamu sudah mendengar ajaran seperti berikut: ‘Kasihilah sahabatmu, dan bencilah musuhmu.’ Tetapi sekarang Aku berkata kepada kamu: Kasihilah musuh kamu dan berdoalah bagi orang yang menganiaya kamu. Dengan demikian kamu menjadi anak-anak Bapa kamu yang di syurga, kerana Allah menerbitkan matahari yang dijadikan-Nya untuk orang yang baik dan yang jahat. Dia menurunkan hujan untuk orang yang mentaati Allah dan juga untuk orang yang tidak mentaati-Nya. Patutkah kamu menerima pahala daripada Allah, jika kamu hanya mengasihi orang yang mengasihi kamu? Bukankah para pemungut cukai pun berbuat demikian? Jika kamu hanya beramah-ramahan dengan kawan-kawan kamu, apakah kelebihannya? Orang yang tidak mengenal Allah pun berbuat demikian! Kamu harus mengasihi semua orang, seperti Bapa kamu yang di syurga mengasihi semua orang.”

MATIUS 5:1-48 AVB (Alkitab Versi Borneo)

Ketika Yesus melihat orang ramai itu, Dia pun mendaki ke atas sebuah bukit lalu duduk. Kemudian datanglah murid-murid-Nya kepada-Nya. Dia pun mula mengajar mereka: “Diberkatilah mereka yang miskin kerohanian, kerana merekalah yang empunya kerajaan syurga. Diberkatilah mereka yang bersedih, kerana mereka akan terhibur. Diberkatilah mereka yang lemah lembut, kerana mereka akan mewarisi bumi ini. Diberkatilah mereka yang lapar dan dahaga akan perbenaran, kerana mereka akan dipuaskan. Diberkatilah mereka yang berpengasihan, kerana mereka akan dikasihani juga. Diberkatilah mereka yang suci hati, kerana mereka akan melihat Allah. Diberkatilah mereka yang mendamaikan manusia, kerana mereka akan dipanggil anak-anak Allah. Diberkatilah mereka yang dianiaya demi perbenaran, kerana kerajaan syurga untuk mereka. Diberkatilah kamu apabila orang menghina, menganiaya dan memfitnahmu dengan segala yang jahat kerana-Ku. Bersukacita dan bergembiralah, kerana besar ganjaranmu di syurga. Begitu jugalah para nabi zaman dahulu dianiaya.” “Kamu ialah garam bumi. Jika garam menjadi tawar, tidak mungkinlah masin semula. Tidaklah berguna lagi, hanya layak dibuang dan dipijak orang. Kamu ialah cahaya dunia ini. Kota di atas bukit tidak mungkin tersembunyi. Tiada siapa memasang pelita lalu menyorokkannya di bawah pasu; tentu dia meletakkannya di atas kaki pelita untuk menerangi seisi rumah. Biarlah cahayamu juga bersinar di hadapan orang ramai, supaya mereka melihat perbuatanmu yang baik lalu memuji Bapamu yang di syurga.” “Jangan sangka Aku datang untuk menghapuskan Taurat dan ajaran nabi-nabi. Aku datang bukan untuk menghapuskan tetapi untuk menunaikan segala-galanya. Sesungguhnya, Aku berkata kepadamu, selagi ada langit dan bumi, satu titik atau huruf yang terkecil pun tidak akan hapus daripada Taurat sebelum semuanya ternyata berlaku. Dengan demikian, jika seseorang melanggar hukum yang terkecil pun dan mengajar orang lain melanggarnya, dia akan tergolong antara mereka yang paling rendah dalam kerajaan syurga. Sebaliknya, jika seseorang mematuhi Taurat dan mengajar orang lain turut patuh, dia akan menjadi orang yang mulia dalam kerajaan syurga. Maka Aku berkata kepadamu: Sesungguhnya, kamu tidak akan memasuki kerajaan syurga jika kesalihanmu tidak lebih daripada kesalihan ahli Taurat dan orang Farisi.” “Kamu telah mendengar ajaran daripada nenek moyang kita: ‘Jangan membunuh. Sesiapa yang membunuh akan dihakimi.’ Tetapi sekarang Aku berkata kepadamu: Sesiapa yang marah terhadap saudaranya akan dihakimi. Sesiapa yang mencaci saudaranya akan dibawa ke hadapan Majlis Agama. Dan sesiapa yang memanggil saudaranya ‘bodoh’ akan dihumbankan ke dalam api neraka. Oleh itu, jika kamu sedang meletakkan persembahan kepada Allah di atas mazbah lalu teringat bahawa saudaramu bersanggit hati denganmu, tinggalkanlah persembahanmu di depan mazbah, berdamai dahulu dengan saudaramu, kemudian barulah buat persembahanmu. Berdamailah dengan orang yang hendak mendakwamu di mahkamah sewaktu kamu masih dalam perjalanan ke situ. Jika tidak, dia akan menyerahkanmu kepada hakim, kemudian hakim menyerahkanmu kepada pegawai dan kamu akan dimasukkan ke dalam penjara. Sesungguhnya, Aku berkata kepadamu bahawa kamu akan meringkuk di dalam penjara hingga kamu menjelaskan semua bayaran.” “Kamu telah mendengar ajaran ini: ‘Jangan berzina.’ Tetapi sekarang Aku berkata kepadamu: Sesiapa yang memandang seorang wanita dengan berahi, telah berzina dengannya dalam hati. Jika mata kananmu menyebabkan kamu berdosa, cungkillah dan buangkan mata itu. Lebih baik kamu kehilangan satu bahagian tubuhmu daripada seluruh tubuhmu terhumban ke dalam neraka. Jika tangan kananmu menyebabkan kamu berdosa, potonglah dan buangkan tangan itu. Lebih baik kamu kehilangan sebelah tanganmu daripada seluruh tubuhmu masuk ke dalam neraka.” “Ada ajaran demikian: ‘Sesiapa menceraikan isterinya hendaklah memberinya surat cerai.’ Tetapi sekarang Aku berkata kepadamu: Sesiapa yang menceraikan isterinya kecuali kerana zina, menyebabkan wanita tersebut berzina jika berkahwin lagi; dan sesiapa berkahwin dengan wanita yang diceraikan itu, dia berzina.” “Kamu telah mendengar ajaran kepada nenek moyang kita: ‘Jangan bersumpah palsu. Tunaikan sumpahmu kepada Tuhan.’ Tetapi sekarang Aku berkata kepadamu: Janganlah bersumpah demi langit, kerana langit itu takhta Allah. Jangan bersumpah demi bumi, kerana bumi ini alas kaki-Nya. Atau demi Yerusalem, kerana itu kota Raja Agung, iaitu Allah. Demi kepalamu pun jangan, kerana kamu tidak berkuasa memutihkan atau menghitamkan rambutmu walau sehelai. Katakan sahaja ‘Ya’ atau ‘Tidak’ dan kotakan kata itu. Yang lebih daripada itu datang daripada si durjana.” “Kamu telah mendengar ajaran begini: ‘Mata diganti mata, gigi diganti gigi.’ Tetapi Aku berkata kepadamu: Janganlah membalas dendam terhadap orang yang berbuat jahat kepadamu. Malah jika seseorang menampar pipi kananmu, palinglah pipi kirimu juga terhadapnya. Jika seseorang hendak mendakwamu untuk mendapatkan bajumu, berikanlah jubahmu juga. Jika sesiapa memaksamu berjalan sebatu dengannya, pergilah dua batu bersamanya. Jika seseorang meminta sesuatu daripadamu, berikanlah. Jika seseorang hendak meminjam sesuatu daripadamu, usahlah berpaling daripadanya.” “Kamu telah mendengar ajaran yang berikut: ‘Kasihilah sesama manusia dan bencilah musuhmu.’ Tetapi sekarang Aku berkata kepadamu: Kasihilah musuhmu dan doakan orang yang menganiayamu. Dengan demikian kamu menjadi anak-anak Bapamu yang di syurga; kerana Allah menerbitkan matahari untuk orang yang jahat dan orang yang baik. Dia menurunkan hujan untuk orang yang benar dan orang yang tidak benar. Jika kamu mengasihi orang yang mengasihimu, apakah ganjaranmu? Bukankah pemungut cukai pun berbuat demikian? Jika kamu hanya beramah mesra dengan saudara-saudara selingkungan, apakah kelebihanmu daripada orang lain? Orang yang tidak mengenal Allah pun berbuat demikian. Hendaklah engkau sempurna seperti Bapamu di syurga.”

MATIUS 5:1-48 KEAS (Kitab Alkudus: Injil Isa Almasih 1866 (Keasberry))

BŬRMULA maka apabila dilihat ulih Isa akan pŭrhimpunan orang banyak itu, maka naiklah iya ka’atas sa’buah bukit, sŭtlah iya dudok, lalu datanglah murid muridnya mŭnghampiri akan dia. Shahadan maka dibukanya mulotnya sŭrta mŭngajar marika itu; katanya, Bŭrbahgialah sagala orang yang rŭndah hatinya: kŭrna marika itulah yang mŭmpunyai krajaan shorga. Bŭrbahgialah sagala orang yang duka chita: kŭrna marika itu juga akan dihiburkan. Bŭrbahgialah sagala orang yang lŭmah lŭmbut hatinya: kŭrna marika itu juga mŭmpusakai tanah. Bŭrbahgialah sagala orang yang lapar dan dahaga akan kabŭnaran: kŭrna marika itu juga akan dikŭnyangkan. Bŭrbahgialah sagala orang yang bŭrhati kasihan: kŭrna marika itulah juga akan mŭndapat kasihan. Bŭrbahgialah sagala orang yang suchi hatinya: kŭrna marika itulah akan mŭmandang Allah. Bŭrbahgialah sagala orang yang mŭndamiekan orang: kŭrna marika itulah akan dinamai anak anak Allah. Bŭrbahgialah sagala orang yang tŭrannyaya sŭbab iya mŭnurut yang bŭnar: kŭrna marika itulah yang mŭmpunyai krajaan shorga. Bŭrbahgialah kamu apabila diumpat orang akan kamu, dan diannyayainya kamu, sŭrta mŭngatakan sagala jŭnis jŭnis pŭrkataan jahat dŭngan bohongnya, iya itu deri sŭbab aku. Bŭrsuka sukalah kamu dŭngan suka chita yang amat sangat: bahwa bŭsarlah fahalamu dalam shorga, kŭrna dŭmkianlah juga sagala nabi nabi yang dahulu dahulu deripada kamu itu pun tŭlah diannyayakan orang adanya. ¶ Maka kamu inilah spŭrti garam didunia ini: tŭtapi jikalau kiranya tawarlah garam itu, bagimanakah grangan bulih pulang samula, sŭbab itu suatu pun tiada apa gunanya lagi, mŭlainkan dibuangkan, iya itu dipijak pijak ulih manusia. Maka kamu inilah spŭrti trang didunia ini, adapun nŭgri yang dipŭrbuat diatas sa’buah bukit itu, tiada bulih disŭmbunyikan. Atau pun tiada pŭrnah orang mŭmasang dian, ditudongkannya dibawah suatu bŭkas, mŭlainkan diatas kaki dian juga, supaya iya mŭnŭrangkan sagala orang yang dalam rumah itu. Maka biarlah kiranya trangmu bŭrchahya dihadapan manusia, maka apabila dilihatnya akan sagala pŭrbuatanmu yang baik itu, supaya dipŭrmuliakannya ayahmu yang ada dishorga. ¶ Bahwasanya janganlah kamu kirakan, aku datang ini handak mŭrosakkan hukum taurat, atau surat nabi nabi, aku tiada datang mŭrosakkan, mŭlainkan mŭnggŭnapi. Kŭrna sasungguhnya aku bŭrkata kapada kamu, sahingga langit dan bumi ini lŭnyap skali pun, nŭschaya tiada akan bŭrkorangan skali kali suatu nokta, atau kuman deripada hukum taurat, sampielah samuanya digŭnapi juga. Maka sŭbab itu, jikalau barang siapa mŭrosakkan salah suatu deripada hukum yang tŭrkŭchil ini skali pun, dan diajarkannya kapada manusia dŭmkian itu, maka orang itu akan disŭbutkan amat kŭchil dalam krajaan shorga; tŭtapi jikalau dipŭrbuat, dan diajarkannya spŭrti dalam hukum itu, maka orang itu akan disŭbutkan bŭsar dalam krajaan shorga. Kŭrna aku bŭrkata pada kamu, jikalau tiada kabŭnaranmu itu tŭrlebih deripada kabŭnaran khatib khatib dan orang Farisia itu, skali kali tiada dapat kamu masok kadalam krajaan shorga. ¶ Shahadan kamu tŭlah mŭnŭngar pŭrkataan orang dahulu kala, Bahwa janganlah angkau mŭmbunoh orang, dan barang siapa mŭmbunoh itu, maka iya itu patut dihukumkan. Tŭtapi aku bŭrkata kapadamu, Bahwa barang siapa yang marah akan saudaranya dŭngan tiada sŭmŭna mŭna, maka iya itu patutlah dihukumkan; dan barang siapa yang bŭrkata kapada saudaranya, hie jahil, iya itu patutlah dihukumkan ulih mŭjlis bichara; dan barang siapa yang bŭrkata, hie gila, iya itu patutlah dihukumkan dalam api naraka. Maka sŭbab itu, apabila angkau mŭmbawakan pŭrsŭmbahanmu kapada tŭmpat pŭrsŭmblihan, maka disana pun jikalau angkau tŭringat bahwa ada saudaramu kŭchil hati akan dikau; Maka biarlah pŭrsŭmbahan itu dihadapan tŭmpat pŭrsŭmblihan, maka pŭrgilah angkau bŭrdamie dahulu dŭngan saudaramu itu, sŭtlah itu maka datanglah angkau pŭrsŭmbahkan pŭrsŭmbahanmu itu. Maka sŭgralah angkau pŭrgi bŭrdamie dŭngan musohmu, slagi angkau ada bŭrsama sama sa’jalan dŭngan dia, supaya jangan barang bila pun baik, disŭrahkannya angkau kapada hakim, maka hakim pula mŭnyŭrahkan dikau kapada mata mata, maka mata mata itu akan mŭmasokkan dikau kadalam pŭnjara. Bahwa sasungguhnya aku bŭrkata kapadamu, maka sŭblom kiranya angkau mŭmbayar hutangmu itu, jikalau bŭrkorangan satu duit pun, nŭschaya tiada angkau bulih kluar deri sana. ¶ Bŭrmula kamu tŭlah mŭnŭngar pŭrkataan orang dahulu kala, iya itu janganlah angkau bŭrbuat zinah; Tŭtapi aku bŭrkata kapadamu, maka barang sa’orang mŭmandang pŭrampuan sŭrta dŭngan inginnya akan dia, spŭrti sudah iya bŭrbuat zinah dŭngan dia dalam hatinya. Sŭbab itu, jikalau mata kananmu mŭndatangkan salah kapadamu, korekkanlah dia buangkan deripadamu, kŭrna tŭrlebih fiedahnya kalau hilang suatu deripada sagala anggotamu, asal jangan kŭlak sagala tubohmu dimasokkan kadalam api naraka. Dan lagi jikalau tangan kananmu mŭndatangkan salah padamu, potongkanlah dia buangkan deripadamu, kŭrna tŭrlebih fiedahnya kalau hilang suatu deripada anggotamu, asal jangan kŭlak sagala tubohmu itu dimasokkan kadalam naraka. Maka tŭlah dikatakan, barang siapa handak bŭrchŭrie dŭngan istrinya, bahwa patutlah iya mŭmbri surat chŭrie kapadanya; Tŭtapi aku bŭrkata padamu, bahwa barang siapa yang bŭrchŭrie dŭngan istrinya kachuali sŭbab zinah, maka iya itu mŭndatangkan sŭbab kapada pŭrampuan itu bŭrbuat zinah, dan barang siapa pula kahwin dŭngan pŭrampuan yang bŭrchŭrie itu, maka iya pun bŭrbuat zinah juga adanya. ¶ Dan lagi kamu tŭlah mŭnŭngar pŭrkataan orang dahulu kala, bahwa janganlah angkau bŭrsumpah dusta, mŭlainkan handaklah angkau mŭnyampiekan kapada Tuhan akan pŭrkara sumpahmu itu: Tŭtapi aku bŭrkata kapadamu, janganlah angkau bŭrsumpah skali kali, baik dŭmi shorga, kŭrna iya itu arash Allah adanya; Baik dŭmi bumi, kŭrna iya itu alas kakinya, baik dŭmi Jerusalem, kŭrna iya itu nŭgri raja yang maha bŭsar. Maka janganlah angkau bŭrsumpah dŭmi kapalamu, kŭrna tiada angkau kuasa mŭnjadikan sahlie rambut itu puteh atau hitam. Tŭtapi biarlah pŭrkataanmu itu, Ya, ya; Tidak, tidak: kŭrna barang pŭrkataan yang lebih deripada itu, iya itu deri pada yang jahat adanya. ¶ Bahwa kamu tŭlah mŭnŭngar yang tŭlah dikatakan, iya itu Mata ganti mata, dan gigi ganti gigi; Tŭtapi aku bŭrkata padamu, bahwa janganlah angkau mŭlawan akan orang yang jahat, mŭlainkan barang siapa yang mŭnampar pipimu kanan, balikkanlah pula padanya pipi yang lain pun. Dan jika sa’orang mŭndawa dikau dalam hukum deri hal handak mŭngambil bajumu, brikanlah padanya sŭlimutmu pun. Dan barang siapa mŭnggagahi angkau bŭrjalan satu mil jauhnya, maka pŭrgilah sŭrtanya sa’jauh dua mil. Brilah akan orang yang mŭminta padamu, dan jika orang handak mŭminjam barang apa kapadamu, janganlah angkau hŭmpakan dia. ¶ Bahwa kamu tŭlah mŭnŭngar yang tŭlah dikatakan iya itu, patutlah kamu mŭngasihi akan samamu manusia, dan mŭmbŭnchi akan musohmu. Tŭtapi aku bŭrkata kapadamu, kasihlah ulihmu akan musohmu, dan mintakanlah biar slamat sagala orang yang mŭngutoki kamu, dan buatlah baik akan sagala orang yang mŭmbŭnchi kamu, dan mintakanlah doa kapada sagala orang yang bŭrbuat jahat akan kamu, dan yang mŭngannyayai akan kamu. Supaya kamu mŭnjadi anak anak ayahmu yang ada dishorga, kŭrna iya mŭnŭrbitkan mataharinya ka’atas orang yang jahat dan yang baik, dan dituronkannya hujannya ka’atas orang yang adil dan lalim. Kŭrna jikalau kamu kasihi kiranya akan orang yang mŭngasihi kamu, apakah fahala pada kamu? bukankah orang mŭmŭgang chukie pun ada bŭrbuat dŭmkian? Maka jikalau kamu mŭmbri sŭlam kapada sama kaummu sahja, apakah lebihnya pŭrbuatan kamu itu deripada orang lain? bukankah orang mŭmŭgang chukie pun ada bŭrlaku dŭmkian? Maka tŭgal itu, handaklah kamu mŭnjadi samporna spŭrti ayahmu yang ada dishorga itu samporna adanya.