MATIUS 4:1-7 - Compare All Versions

MATIUS 4:1-7 BM (Alkitab Berita Baik)

Kemudian Yesus dipimpin oleh Roh Allah ke padang gurun supaya dicubai oleh Iblis. Setelah berpuasa selama empat puluh hari dan empat puluh malam, Yesus lapar. Lalu Iblis datang dan berkata kepada-Nya, “Jika Engkau Anak Allah, perintahlah batu-batu ini menjadi roti.” Yesus menjawab, “Di dalam Alkitab tertulis, ‘Manusia tidak dapat hidup dengan roti sahaja, tetapi juga dengan setiap kata yang difirmankan oleh Allah.’ ” Kemudian Iblis membawa Yesus ke Yerusalem, kota suci itu, lalu meletakkan Dia di puncak Rumah Tuhan. Iblis berkata kepada Yesus, “Jika Engkau Anak Allah, terjunlah ke bawah, kerana di dalam Alkitab tertulis, ‘Allah akan menyuruh malaikat-malaikat-Nya menjaga Engkau; malaikat akan menyambut Engkau dengan tangan, supaya kaki-Mu tidak terhantuk pada batu.’ ” Yesus menjawab, “Tetapi di dalam Alkitab tertulis juga, ‘Janganlah cubai Tuhan Allahmu.’ ”

MATIUS 4:1-7 KEAS (Kitab Alkudus: Injil Isa Almasih 1866 (Keasberry))

KUMDIAN deripada itu, maka Isa pun dibawalah ulih Roh pŭrgi kapada suatu padang bŭlantara, supaya dichobai ulih Iblis akan dia. Hata maka puasalah iya ampat puloh hari ampat puloh malam, kumdian deripada itu, bahrulah iya lapar. Maka Iblis itupun datanglah kapadanya sambil bŭrkata, Jikalau kiranya angkau anak Allah, maka surohkanlah batu batu ini mŭnjadi roti. Tŭtapi jawab Isa, katanya, Bahwa tŭlah tŭrsurat, bukannya manusia ini bulih hidop dŭngan makan roti sahja, mŭlainkan ulih tiap tiap pŭrkataan yang tŭrbit deripada mulot Allah. Sŭtlah itu lalu diambil Iblis akan Isa pula, dibawanya pŭrgi kaBethalmukadis, sŭrta didirikannya akan dia diatas bumbongan ka’abah; Maka katanya pula pada Isa, Jikalau kiranya angkau anak Allah, tŭrjunkanlah dirimu kabawah, kŭrna sudah tŭrsurat, Bahwa Allah akan bŭrfŭrman kapada sagala maliekatnya deri halmu, maka akan ditatangnya dikau diatas tangannya supaya jangan tŭrantak kakimu pada batu. Maka bŭrkata Isa padanya, Bahwa tŭlah tŭrsurat pula, maka janganlah angkau mŭnchobai Tuhan Allahmu itu.

MATIUS 4:1-7 AVB (Alkitab Versi Borneo)

Setelah itu, Yesus dibawa oleh Roh ke gurun untuk digoda Iblis. Setelah Yesus berpuasa empat puluh hari empat puluh malam, Dia berasa kelaparan. Iblis datang kepada-Nya lalu berkata, “Jika Engkau Anak Allah, perintahkanlah batu-batu ini menjadi roti.” Yesus menjawab, “Telah tersurat: ‘Manusia hidup bukan dengan roti sahaja tetapi dengan setiap firman yang keluar daripada mulut Allah.’ ” Selepas itu, Iblis membawa Yesus ke kota suci lalu meletakkan-Nya di puncak Bait Suci dan berkata kepada-Nya, “Jika Engkau Anak Allah, terjunlah, kerana telah tersurat: ‘Tentang-Mu, Allah akan memerintahkan malaikat-malaikat-Nya dan mereka akan menatang-Mu supaya kaki-Mu tidak terhantuk batu.’ ” Yesus menjawab, “Tetapi telah tersurat: ‘Janganlah engkau menduga Tuhan, Allahmu.’ ”