Matius 4:1-7
Matius 4:1-7 AVB
Setelah itu, Yesus dibawa oleh Roh ke gurun untuk digoda Iblis. Setelah Yesus berpuasa empat puluh hari empat puluh malam, Dia berasa kelaparan. Iblis datang kepada-Nya lalu berkata, “Jika Engkau Anak Allah, perintahkanlah batu-batu ini menjadi roti.” Yesus menjawab, “Telah tersurat: ‘Manusia hidup bukan dengan roti sahaja tetapi dengan setiap firman yang keluar daripada mulut Allah.’ ” Selepas itu, Iblis membawa Yesus ke kota suci lalu meletakkan-Nya di puncak Bait Suci dan berkata kepada-Nya, “Jika Engkau Anak Allah, terjunlah, kerana telah tersurat: ‘Tentang-Mu, Allah akan memerintahkan malaikat-malaikat-Nya dan mereka akan menatang-Mu supaya kaki-Mu tidak terhantuk batu.’ ” Yesus menjawab, “Tetapi telah tersurat: ‘Janganlah engkau menduga Tuhan, Allahmu.’ ”



