MATIUS 26:6-13
MATIUS 26:6-13 Alkitab Berita Baik (BM)
Yesus di Betania, di rumah Simon yang dahulu berpenyakit kulit yang mengerikan. Yesus sedang makan apabila seorang wanita datang kepada-Nya. Dia membawa sebuah botol marmar berisi minyak wangi yang mahal. Dia menuang minyak wangi itu ke atas kepala Yesus. Pengikut-pengikut Yesus nampak apa yang berlaku, lalu naik marah. Mereka bertanya, “Mengapa minyak wangi itu dibazirkan? Minyak itu boleh dijual dengan harga yang tinggi dan wangnya boleh diberikan kepada orang miskin!” Yesus mengetahui apa yang dikatakan mereka, lalu Dia berkata kepada mereka, “Mengapa kamu menyusahkan wanita ini? Apa yang telah dilakukannya untuk-Ku itu baik dan terpuji. Orang miskin sentiasa ada di kalangan kamu, tetapi Aku tidak selamanya bersama-sama kamu. Wanita ini menuangi Aku dengan minyak wangi, dan dengan perbuatan itu dia mempersiapkan tubuh-Ku bagi penguburan-Ku. Ingatlah! Di seluruh dunia, di mana sahaja Berita Baik dikhabarkan, perbuatan wanita ini akan diceritakan untuk mengenang dia.”
MATIUS 26:6-13 Kitab Alkudus: Injil Isa Almasih 1866 (Keasberry) (KEAS)
¶ Sŭbarmula tŭtkala Isa diBethani, dalam rumah Simon kusta, Maka datanglah sa’orang pŭrampuan kapadanya mŭmbawa suatu chŭmbol yang bŭrisi minyak yang sangat mulia, lalu dituangkannyalah ka’atas kapalanya, tŭtkala iya dudok makan. Maka apabila marika itu mŭlihat itu, marahlah marika itu, katanya, Apa buat rugi chuma chuma ini? Kŭrna minyak ini bulih dijual dŭngan harga mahal, dan wangnya itu dibrikan pada orang miskin. Maka apabila dikŭtahui ulih Isa akan hal itu, maka bŭrkatalah iya pada marika itu, Mŭngapa kamu mŭnyusahkan pŭrampuan ini? kŭrna iya tŭlah bŭrbuat suatu pŭkŭrjaan yang baik padaku. Adapun orang miskin itu slalu ada padamu, tŭtapi aku tiada slalu padamu. Kŭrna pŭrampuan itu mŭnuangkan minyak itu ka’atas tubohku, maka dibuatnya itu kŭrna mŭnanamkan mayatku. Sasungguhnya aku bŭrkata padamu, barang dimana pun baik Injil ini akan dimashorkan dalam sagala dunia, maka pŭrbuatan pŭrampuan ini akan disŭbot sŭbot, mŭnjadi pŭringatan bagie dia.
MATIUS 26:6-13 Alkitab Versi Borneo (AVB)
Apabila Yesus berada di Betania di rumah Simon, yang menghidap penyakit kusta, seorang wanita mendekati-Nya dengan membawa kendi pualam berisi minyak wangi yang amat mahal, lalu menuangkan minyak itu ke atas kepala-Nya ketika Dia sedang duduk bertelekan di meja. Apabila murid-murid-Nya melihat perbuatan wanita itu, mereka marah lalu berkata, “Mengapa membazir begini? Minyak wangi ini boleh dijual dengan harga yang tinggi dan wangnya dapat disedekahkan kepada orang miskin.” Tetapi apabila Yesus mengetahui kemarahan mereka, Dia berkata, “Mengapakah kamu menyusahkan wanita ini? Dia telah melakukan sesuatu yang baik untuk-Ku. Orang miskin akan sentiasa ada di sekitarmu, tetapi Aku tidaklah sentiasa ada bersamamu. Dengan menuangkan minyak wangi ini ke atas tubuh-Ku, dia membuat persiapan untuk pengebumian-Ku. Sesungguhnya, Aku berkata kepadamu, di mana-mana pun kelak Injil ini disebarkan di serata dunia, apa yang telah dilakukan oleh wanita ini akan dikisahkan juga sebagai kenangan kepadanya.”