MATIUS 26:1-30

MATIUS 26:1-30 Alkitab Berita Baik (BM)

Setelah Yesus mengajarkan semua perkara itu, Dia berkata kepada pengikut-pengikut-Nya, “Kamu tahu bahawa dua hari lagi Perayaan Paska akan dirayakan, dan Anak Manusia akan diserahkan untuk disalibkan!” Kemudian para ketua imam dan pemimpin masyarakat Yahudi berkumpul di istana Imam Agung Kayafas. Mereka berkomplot untuk menangkap Yesus dengan diam-diam dan membunuh Dia. Mereka berkata, “Kita tidak boleh melakukannya pada masa perayaan, kerana nanti rakyat merusuh.” Yesus di Betania, di rumah Simon yang dahulu berpenyakit kulit yang mengerikan. Yesus sedang makan apabila seorang wanita datang kepada-Nya. Dia membawa sebuah botol marmar berisi minyak wangi yang mahal. Dia menuang minyak wangi itu ke atas kepala Yesus. Pengikut-pengikut Yesus nampak apa yang berlaku, lalu naik marah. Mereka bertanya, “Mengapa minyak wangi itu dibazirkan? Minyak itu boleh dijual dengan harga yang tinggi dan wangnya boleh diberikan kepada orang miskin!” Yesus mengetahui apa yang dikatakan mereka, lalu Dia berkata kepada mereka, “Mengapa kamu menyusahkan wanita ini? Apa yang telah dilakukannya untuk-Ku itu baik dan terpuji. Orang miskin sentiasa ada di kalangan kamu, tetapi Aku tidak selamanya bersama-sama kamu. Wanita ini menuangi Aku dengan minyak wangi, dan dengan perbuatan itu dia mempersiapkan tubuh-Ku bagi penguburan-Ku. Ingatlah! Di seluruh dunia, di mana sahaja Berita Baik dikhabarkan, perbuatan wanita ini akan diceritakan untuk mengenang dia.” Kemudian seorang daripada dua belas orang pengikut Yesus, yang bernama Yudas Iskariot, pergi kepada para ketua imam. Dia berkata, “Apakah yang akan kamu berikan kepadaku jika aku menyerahkan Yesus kepada kamu?” Mereka mengira tiga puluh keping wang perak lalu menyerahkan wang itu kepadanya. Sejak itu Yudas mencari peluang baik untuk mengkhianati Yesus. Pada hari pertama Perayaan Roti Tidak Beragi, pengikut-pengikut Yesus datang kepada-Nya dan bertanya, “Di manakah Guru ingin kami sediakan jamuan Paska untuk Guru?” Yesus menjawab, “Pergilah berjumpa dengan seorang di bandar. Katakan kepadanya, ‘Guru berkata, saat-Nya sudah hampir tiba; Dia hendak merayakan Paska di rumahmu bersama dengan pengikut-pengikut-Nya.’ ” Pengikut-pengikut-Nya melakukan suruhan Yesus dan menyiapkan jamuan Paska itu. Apabila malam tiba, Yesus dan dua belas orang pengikut-Nya mula makan. Sementara mereka makan, Yesus berkata, “Ketahuilah, seorang daripada kamu akan mengkhianati Aku.” Pengikut-pengikut-Nya sangat sedih. Seorang demi seorang mula bertanya kepada Yesus, “Tentu bukan aku yang Tuhan maksudkan?” Yesus menjawab, “Orang yang ikut mencelup roti ke dalam mangkuk dengan Aku, dialah yang akan mengkhianati Aku. Memang Anak Manusia akan mati seperti yang tertulis di dalam Alkitab, tetapi alangkah malangnya orang yang mengkhianati Anak Manusia! Lebih baik jika orang itu tidak pernah dilahirkan!” Lalu Yudas, pengkhianat itu berkata, “Tentu bukan saya yang guru maksudkan?” Yesus menjawab, “Demikianlah katamu!” Sementara mereka makan, Yesus mengambil roti dan mengucap syukur, lalu membahagikan roti itu. Kemudian Dia memberikan roti itu kepada pengikut-pengikut-Nya sambil berkata, “Ambillah roti ini dan makanlah; ini tubuh-Ku.” Kemudian Dia mengambil sebuah cawan berisi wain. Dia mengucap syukur kepada Allah, lalu memberikan cawan itu kepada pengikut-pengikut-Nya sambil berkata, “Minumlah, kamu semua. Inilah darah-Ku yang mengesahkan perjanjian yang dibuat oleh Allah dengan umat-Nya; darah-Ku yang dicurahkan bagi banyak orang supaya dosa mereka diampunkan. Percayalah, Aku tidak akan minum wain ini lagi sehingga hari itu apabila Aku minum wain baru bersama-sama kamu di Dunia Baru Bapa-Ku.” Setelah mereka menyanyikan sebuah nyanyian pujian, mereka pergi ke Bukit Zaitun.

MATIUS 26:1-30 Kitab Alkudus: Injil Isa Almasih 1866 (Keasberry) (KEAS)

MAKA adalah tŭtkala Isa sudah putus deripada sagala pŭrkataan ini, maka bŭrkatalah iya pada murid muridnya: Kamu tŭlah mŭngtahui, bahwa lagi dua hari akan datang hari raya langka, maka Anak manusia akan disŭrahkan supaya disalebkan. ¶ Maka tŭtkala itu bŭrhimpunlah sagala imam yang bŭsar bŭsar, dan khatib khatib, dan orang tua tua deri pada kaum itu ka’atas balierong kapala imam yang bŭrnama Kiefas. Lalu bŭrmufakatlah marika itu sama sŭndirinya handak mŭnangkap Isa dŭngan tipu, supaya dibunohnya akan dia. Tŭtapi bŭrkatalah marika itu, Janganlah pada hari raya ini, kalau kalau jadi gŭmpar kŭlak diantara kaum itu. ¶ Sŭbarmula tŭtkala Isa diBethani, dalam rumah Simon kusta, Maka datanglah sa’orang pŭrampuan kapadanya mŭmbawa suatu chŭmbol yang bŭrisi minyak yang sangat mulia, lalu dituangkannyalah ka’atas kapalanya, tŭtkala iya dudok makan. Maka apabila marika itu mŭlihat itu, marahlah marika itu, katanya, Apa buat rugi chuma chuma ini? Kŭrna minyak ini bulih dijual dŭngan harga mahal, dan wangnya itu dibrikan pada orang miskin. Maka apabila dikŭtahui ulih Isa akan hal itu, maka bŭrkatalah iya pada marika itu, Mŭngapa kamu mŭnyusahkan pŭrampuan ini? kŭrna iya tŭlah bŭrbuat suatu pŭkŭrjaan yang baik padaku. Adapun orang miskin itu slalu ada padamu, tŭtapi aku tiada slalu padamu. Kŭrna pŭrampuan itu mŭnuangkan minyak itu ka’atas tubohku, maka dibuatnya itu kŭrna mŭnanamkan mayatku. Sasungguhnya aku bŭrkata padamu, barang dimana pun baik Injil ini akan dimashorkan dalam sagala dunia, maka pŭrbuatan pŭrampuan ini akan disŭbot sŭbot, mŭnjadi pŭringatan bagie dia. ¶ Maka sŭtlah itu pŭrgilah sa’orang deripada dua blas orang murid muridnya itu yang bŭrnama Yuda Iskariot, kapada kapala kapala imam; Sambil bŭrkata padanya, Apa kamu handak bri padaku, supaya aku mŭnyŭrahkan Isa kapadamu? Maka marika itu bŭrjanjilah handak mŭmbri akan dia tiga puloh wang perak. Maka deripada kutika itulah Yudas itu mŭnchari kutika sŭnang, supaya disŭrahkannya Isa. ¶ Bŭrmula pada hari yang pŭrtama deripada hari raya roti yang tiada bŭragi, maka datanglah murid muridnya kapada Isa, sŭrta bŭrkata padanya, Dimanakah angkau kahandaki, supaya kami sŭdiakan makan pŭrjamuan hari raya langka? Maka bŭrkatalah iya, Pŭrgilah kamu masok kadalam nŭgri kapada sa’orang anu, katakanlah padanya, Guru bŭrkata, bahwa ajalku sudah dŭkat, maka dalam rumahmulah aku handak mŭndapati hari raya langka sŭrta dŭngan murid muridku. Maka dipŭrbuatlah ulih murid muridnya spŭrti yang disurohkan Isa itu padanya, sŭrta disŭdiakannya pŭrjamuan langka itu. Maka apabila sudah pŭtang hari, lalu dudoklah Isa makan sa’hidangan dŭngan kadua blas murid muridnya itu. Maka tŭtkala marika itu makan, lalu bŭrkatalah iya, Sasungguhnya aku bŭrkata padamu, bahwa sa’orang deri antaramu ini akan mŭnyŭrahkan aku kapada musohku. Maka duka chitalah sangat marika itu, lalu bŭrtanyalah masing masing kapadanya, Hambakah dia, ya Tuhan? Maka jawabnya, Adapun orang yang masok tangan sŭrtaku dalam pinggan ini, iyalah akan mŭnyŭrahkan aku. Bahwa Anak manusia itu akan mati spŭrti yang tŭlah tŭrsurat deri halnya, tŭtapi karamlah bagie orang yang mŭnyŭrahkan Anak manusia itu, lebih baiklah jikalau orang itu tiada dipranakkan. Maka sahut Yudas yang akan mŭnyŭrahkan Isa itu, katanya, Hambakah dia itu ya Guru? Maka jawabnya, Spŭrti katamu itu. ¶ Bŭrmula maka adalah marika itu pada tŭngah makan, maka diambil ulih Isa roti, sŭtlah sudah dibŭrkatinya akan dia, lalu dipŭchahkannyalah, sŭrta dibrikannya kapada murid muridnya, katanya, Ambillah, makan ulihmu, bahwa inilah tubohku. Dan lagi diambilnya pula sa’chawan minoman, maka sŭtlah iya mŭnguchap shukor, lalu dibrikannyalah pada marika itu, katanya, minomlah ulihmu sŭmua akan dia: Kŭrna inilah darahku, iya itu pŭrjanjian bahru yang tŭlah tumpah sŭbab orang banyak, supaya dosanya dihapuskan. Maka aku bŭrkata padamu, bahwa deripada kutika ini tiadalah lagi aku minom deri pada ayer anggor ini, hingga sampie pada hari apabila aku dŭngan kamu kŭlak minom dia itu dŭngan bahrunya, dalam krajaan Ayahku. Sŭtlah sudah marika itu mŭnyanyi suatu puji pujian, maka kluarlah marika itu kabukit Zieton.

MATIUS 26:1-30 Alkitab Versi Borneo (AVB)

Setelah selesai Yesus menyampaikan semua ini, Dia pun berkata kepada murid-murid-Nya, “Kamu tahu bahawa dua hari lagi Perayaan Paskah menjelang, dan Anak Manusia akan diserahkan untuk disalib.” Ketua-ketua imam, ahli Taurat dan tua-tua berhimpun di istana imam besar yang bernama Kayafas. Mereka berpakat untuk memerangkap Yesus secara tipu daya dan membunuh-Nya. Tetapi mereka berkata, “Janganlah pada waktu perayaan, takut orang merusuh.” Apabila Yesus berada di Betania di rumah Simon, yang menghidap penyakit kusta, seorang wanita mendekati-Nya dengan membawa kendi pualam berisi minyak wangi yang amat mahal, lalu menuangkan minyak itu ke atas kepala-Nya ketika Dia sedang duduk bertelekan di meja. Apabila murid-murid-Nya melihat perbuatan wanita itu, mereka marah lalu berkata, “Mengapa membazir begini? Minyak wangi ini boleh dijual dengan harga yang tinggi dan wangnya dapat disedekahkan kepada orang miskin.” Tetapi apabila Yesus mengetahui kemarahan mereka, Dia berkata, “Mengapakah kamu menyusahkan wanita ini? Dia telah melakukan sesuatu yang baik untuk-Ku. Orang miskin akan sentiasa ada di sekitarmu, tetapi Aku tidaklah sentiasa ada bersamamu. Dengan menuangkan minyak wangi ini ke atas tubuh-Ku, dia membuat persiapan untuk pengebumian-Ku. Sesungguhnya, Aku berkata kepadamu, di mana-mana pun kelak Injil ini disebarkan di serata dunia, apa yang telah dilakukan oleh wanita ini akan dikisahkan juga sebagai kenangan kepadanya.” Selepas itu, seorang daripada dua belas murid Yesus, bernama Yudas Iskariot, pergi kepada ketua-ketua imam. Dia berkata kepada mereka, “Apakah yang sanggup kamu berikan kepadaku kalau kuserahkan Dia kepadamu?” Mereka memberinya tiga puluh keping wang perak. Sejak itu dia pun mencari peluang untuk mengkhianati Yesus. Pada hari pertama Perayaan Roti Tidak Beragi, murid-murid Yesus mendapatkan-Nya lalu berkata, “Di manakah Engkau mahu kami sediakan jamuan Paskah untuk-Mu?” Yesus berkata, “Pergilah ke kota kepada seorang tertentu dan katakanlah kepadanya, ‘Guru berkata, Masa-Ku sudah hampir; Aku akan menyambut Perayaan Paskah di rumahmu bersama para murid-Ku.’ ” Murid-murid Yesus menjalankan arahan-Nya lalu menyediakan jamuan Perayaan Paskah. Menjelang malam, Dia pun duduk bertelekan di meja bersama murid-Nya yang dua belas itu. Sambil makan itu Dia berkata, “Sesungguhnya, Aku berkata kepadamu, seorang daripadamu akan mengkhianati-Ku.” Mereka sungguh berdukacita, dan setiap orang daripada mereka berkata kepada-Nya, “Tuhan, tentunya aku bukan orang itu?” Yesus menjawab, “Orang yang mencecahkan tangannya bersama-Ku ke dalam bekas akan mengkhianati-Ku. Anak Manusia memanglah harus pergi seperti yang tersurat tentang-Nya, tetapi malanglah orang yang mengkhianati-Nya! Lebih baik baginya jika dia tidak dilahirkan.” Ketika itu Yudas yang akan mengkhianati-Nya bertanya, “Rabbi, akukah orangnya?” Yesus berkata kepadanya, “Kamu telah mengatakannya.” Ketika mereka sedang makan, Yesus mengambil roti, mengucap syukur lalu memecah-mecahkan dan memberikannya kepada murid-murid-Nya sambil berkata, “Ambil dan makanlah, ini tubuh-Ku.” Kemudian Dia mengambil cawan air anggur dan mengucap syukur lalu memberikannya kepada mereka sambil berkata, “Minumlah dari cawan ini, kamu semua. Inilah darah perjanjian yang ditumpahkan bagi ramai orang untuk pengampunan dosa. Tetapi, Aku berkata kepadamu, Aku tidak akan minum air anggur lagi hinggalah pada hari Aku minum yang baru bersamamu dalam kerajaan Bapa-Ku.” Setelah menyanyikan sebuah lagu suci mereka pun beredar ke Bukit Zaitun.