MATIUS 22:27-40 - Compare All Versions
MATIUS 22:27-40 BM (Alkitab Berita Baik)
Akhirnya wanita itu meninggal. Pada hari kebangkitan orang mati, isteri siapakah wanita itu? Mereka semua telah berkahwin dengan dia.” Yesus menjawab, “Pendapat kamu salah sekali! Kamu tidak memahami Alkitab ataupun kuasa Allah. Apabila orang mati dibangkitkan semula, mereka akan menjadi seperti malaikat di syurga: Mereka tidak berkahwin. Tentang orang mati dibangkitkan semula, belum pernahkah kamu baca apa yang difirmankan oleh Allah? Allah berfirman, ‘Akulah Allah yang disembah Abraham, Ishak, dan Yakub.’ Oleh itu, Dia Allah orang hidup, bukan Allah orang mati.” Apabila orang ramai mendengar penjelasan Yesus, mereka hairan mendengar ajaran-Nya. Apabila orang Farisi mendengar bahawa Yesus telah menyebabkan orang Saduki tidak dapat berkata sepatah pun, mereka datang berkumpul. Lalu seorang guru Taurat antara mereka, cuba memerangkap Yesus dengan sebuah pertanyaan. Dia bertanya, “Guru, perintah manakah yang paling utama dalam Taurat?” Yesus menjawab, “ ‘Kasihilah Tuhan Allahmu dengan sepenuh hatimu, dengan segenap jiwamu dan dengan seluruh akalmu.’ Inilah perintah yang terutama dan yang terpenting! Perintah kedua sama pentingnya dengan yang pertama: Kasihilah sesama manusia seperti kamu mengasihi dirimu sendiri. Seluruh Taurat Musa dan ajaran nabi-nabi berasaskan kedua-dua perintah ini.”
MATIUS 22:27-40 KEAS (Kitab Alkudus: Injil Isa Almasih 1866 (Keasberry))
Hata kumdian deripada skaliannya itu, matilah pula pŭrampuan itu. Maka diakhirat kŭlak siapakah ampunya bini dalam tujoh orang itu akan pŭrampuan itu? kŭrna skaliannya tŭlah mŭmpŭristrikan dia. Maka disahut Isa sŭrta bŭrkata pada marika itu, Kamu ini salah, sŭbab tiada mŭngarti kitab dan kwasa Allah. Kŭrna diakhirat kŭlak tiada orang kahwen, dan tiada orang dikahwenkan, mŭlainkan iya itu spŭrti mŭliekat Allah dalam shorga adanya. Adapun akan hal orang dihidopkan deripada matinya, bukankah kamu tŭlah mŭmbacha barang yang dikatakan Allah kapada kamu? Katanya, Bahwa aku Allah Ibrahim, dan Allah Isahak, dan Allah Yakob; adapun Allah itu bukannya Allah orang yang mati, mŭlainkan bagie orang yang hidop. Maka apabila didŭngar ulih orang banyak, lalu hieranlah iya, sŭbab pŭngajarannya itu. ¶ Adapun sŭtlah didŭngar ulih orang Farisia, bahwa Isa tŭlah mŭmatikan mulot orang Sadukia, maka bŭrhimponlah marika itu bŭrsama sama. Maka bŭrtanyalah sa’orang Pŭndita Tauret yang ada diantara marika itu, handak mŭnchobai akan Isa. Katanya, Hie Guru, yang manakah dia hukum yang lebih bŭsar adanya dalam Tauret? Maka bŭrkatalah Isa padanya, Bahwa handaklah angkau mŭngasihi Tuhan Allahmu itu dŭngan sŭgŭnap hatimu, dan dŭngan sŭgŭnap jiwamu, dan dŭngan sŭgŭnap akalmu. Inilah hukum yang pŭrtama, dan yang lebih bŭsar adanya. Maka hukum yang kadua adalah sbagienya, maka handaklah angkau mŭngasihi akan samamu manusia spŭrti angkau mŭngasihi dirimu sŭndiri. Dalam hukum kadua inilah bŭrgantong sagala tauret, dan sagala surat nabi nabi.
MATIUS 22:27-40 AVB (Alkitab Versi Borneo)
Akhirnya wanita itu meninggal dunia. Pada hari kebangkitan, isteri siapakah wanita itu? Ini sebab ketujuh-tujuhnya pernah mengahwininya.” Yesus menjawab, “Kamu tersilap kerana kamu tidak memahami baik Kitab Suci mahupun kuasa Allah. Pada hari kebangkitan, mereka tidak berkahwin atau dikahwinkan; mereka seperti malaikat di syurga. Tentang soal orang mati dibangkitkan semula, tidakkah kamu baca firman Allah: ‘Akulah Allah Abraham, Allah Ishak dan Allah Yakub.’ Oleh itu, Dia bukanlah Allah orang mati tetapi Allah orang hidup.” Orang ramai kagum mendengar ajaran Yesus. Apabila orang Farisi mendengar betapa Yesus menyebabkan orang Saduki terdiam, mereka pun datang berkumpul. Seorang ahli Taurat antara mereka cuba memerangkap Yesus dengan suatu soalan: “Guru, perintah manakah yang terutama dalam Taurat?” Yesus menjawab, “ ‘Kasihilah Tuhan, Allahmu, dengan sepenuh hatimu, dengan sepenuh jiwamu dan dengan sepenuh fikiranmu.’ Inilah perintah yang terutama dan terpenting. Perintah kedua sama pentingnya: ‘Kasihilah sesama manusia sebagaimana kamu mengasihi dirimu sendiri.’ Seluruh Taurat Musa dan ajaran nabi-nabi berasaskan dua perintah ini.”