Matius 22:27-40

Matius 22:27-40 AVB

Akhirnya wanita itu meninggal dunia. Pada hari kebangkitan, isteri siapakah wanita itu? Ini sebab ketujuh-tujuhnya pernah mengahwininya.” Yesus menjawab, “Kamu tersilap kerana kamu tidak memahami baik Kitab Suci mahupun kuasa Allah. Pada hari kebangkitan, mereka tidak berkahwin atau dikahwinkan; mereka seperti malaikat di syurga. Tentang soal orang mati dibangkitkan semula, tidakkah kamu baca firman Allah: ‘Akulah Allah Abraham, Allah Ishak dan Allah Yakub.’ Oleh itu, Dia bukanlah Allah orang mati tetapi Allah orang hidup.” Orang ramai kagum mendengar ajaran Yesus. Apabila orang Farisi mendengar betapa Yesus menyebabkan orang Saduki terdiam, mereka pun datang berkumpul. Seorang ahli Taurat antara mereka cuba memerangkap Yesus dengan suatu soalan: “Guru, perintah manakah yang terutama dalam Taurat?” Yesus menjawab, “ ‘Kasihilah Tuhan, Allahmu, dengan sepenuh hatimu, dengan sepenuh jiwamu dan dengan sepenuh fikiranmu.’ Inilah perintah yang terutama dan terpenting. Perintah kedua sama pentingnya: ‘Kasihilah sesama manusia sebagaimana kamu mengasihi dirimu sendiri.’ Seluruh Taurat Musa dan ajaran nabi-nabi berasaskan dua perintah ini.”