MATIUS 22:14-22
MATIUS 22:14-22 Alkitab Berita Baik (BM)
Lalu Yesus mengakhiri perumpamaan itu sambil berkata, “Banyak yang dijemput, tetapi hanya sedikit yang terpilih.” Beberapa orang Farisi pergi dan berkomplot untuk memerangkap Yesus dengan pertanyaan. Mereka mengutus pengikut-pengikut mereka dan beberapa orang anggota golongan Herodes kepada Yesus. Mereka yang diutus berkata, “Guru, kami tahu bahawa guru jujur. Dengan terus terang guru mengajarkan kehendak Allah bagi manusia. Guru tidak menghiraukan pendapat orang lain, kerana guru tidak memandang kedudukan orang. Oleh itu, beritahu kami pendapat guru. Menurut Taurat, bolehkah kita bayar cukai kepada Kaisar Roma? Haruskah kita bayar cukai atau tidak?” Yesus mengetahui maksud mereka yang jahat itu, lalu berkata, “Kamu munafik! Mengapa kamu cuba memerangkap Aku? Tunjukkan mata wang yang kamu gunakan untuk membayar cukai!” Lalu mereka memberikan mata wang itu kepada Yesus. Yesus bertanya kepada mereka, “Gambar dan nama siapakah ini?” “Kaisar,” jawab mereka. Oleh itu Yesus berkata kepada mereka, “Jika demikian, berikan apa yang menjadi milik Kaisar kepada Kaisar, dan berikan apa yang menjadi milik Allah kepada Allah.” Apabila mereka mendengar penjelasan itu, mereka hairan. Mereka meninggalkan Yesus lalu pergi.
MATIUS 22:14-22 Kitab Alkudus: Injil Isa Almasih 1866 (Keasberry) (KEAS)
Kŭrna banyaklah orang yang dipanggil, tŭtapi sŭdikitlah orang yang dipileh. Maka pada tŭtkala itu juga pŭrgilah orang Farisia itu bŭrmufakat sama sŭndirinya, bagimanakah bulih ditangkapnya akan dia dŭngan pŭrkataan. Disurohlah ulih marika itu akan murid muridnya bŭrsama sama dŭngan orang Herodis pŭrgi kapada Isa bŭrkata, Hie guru, kami kŭtahui, bahwa angkau bŭnar, dan mŭngajar jalan Allah itu dŭngan sŭbŭnarnya, maka tiada angkau indahkan sa’orang jua pun, kŭrna tiada angkau mŭmandang muka orang. Sŭbab itu katakanlah pada kami, bagimanakah sangkamu, patutkah kami mŭmbayar ufti kapada Keisar atau tidak? Tŭtapi dikŭtahui Isa kŭjahatannya itu, lalu dijawabnya, Mŭngapa angkau mŭnchobai aku, hie orang munafik. Tunjoklah kapadaku wang ufti itu; maka dibawakannyalah kapadanya suatu dinar. Maka bŭrtanyalah Isa pada marika itu, Gambar siapa dan chap siapa ini? Maka jawab marika itu padanya, Keisar punya. Tŭtkala itu, bŭrkatalah Isa pada marika itu, Bayarlah ulihmu kapada Keisar, barang yang Keisar punya, dan kapada Allah barang yang Allah punya. Dŭmi didŭngarnya itu, maka hieranlah marika itu, lalu ditinggalkannya akan dia, sŭrta bŭrjalan.
MATIUS 22:14-22 Alkitab Versi Borneo (AVB)
“Ramai yang dipanggil, tetapi cuma sedikit yang dipilih.” Beberapa orang Farisi pergi dan berpakat bagaimana hendak memerangkap Yesus dengan menyoal kata-kata yang digunakan-Nya. Mereka menghantar para murid mereka dan sebilangan orang Herodes mendapatkan Yesus dan berkata, “Guru, kami tahu Engkau ikhlas dan mengajar cara Allah berdasarkan yang benar. Engkau tidak takut kepada sesiapa pun kerana Engkau tidak pilih kasih. Jadi, katakanlah pendapat-Mu kepada kami. Wajarkah membayar cukai kepada Kaisar atau tidak?” Yesus mengetahui niat jahat mereka lalu berkata, “Hai munafik! Mengapa kamu cuba memerangkap-Ku? Tunjukkan mata wang yang kamu gunakan untuk membayar cukai.” Mereka membawa sekeping wang dinar itu kepada-Nya. Lalu Yesus bertanya kepada mereka, “Gambar dan nama siapakah ini?” “Kaisar,” jawab mereka. Lalu Yesus berkata kepada mereka, “Kalau begitu, berikan milik Kaisar kepada Kaisar, dan berikan milik Allah kepada Allah.” Mereka tercengang mendengar kata-kata Yesus, lalu pergi dari situ.