Matius 22:14-22
Matius 22:14-22 AVB
“Ramai yang dipanggil, tetapi cuma sedikit yang dipilih.” Beberapa orang Farisi pergi dan berpakat bagaimana hendak memerangkap Yesus dengan menyoal kata-kata yang digunakan-Nya. Mereka menghantar para murid mereka dan sebilangan orang Herodes mendapatkan Yesus dan berkata, “Guru, kami tahu Engkau ikhlas dan mengajar cara Allah berdasarkan yang benar. Engkau tidak takut kepada sesiapa pun kerana Engkau tidak pilih kasih. Jadi, katakanlah pendapat-Mu kepada kami. Wajarkah membayar cukai kepada Kaisar atau tidak?” Yesus mengetahui niat jahat mereka lalu berkata, “Hai munafik! Mengapa kamu cuba memerangkap-Ku? Tunjukkan mata wang yang kamu gunakan untuk membayar cukai.” Mereka membawa sekeping wang dinar itu kepada-Nya. Lalu Yesus bertanya kepada mereka, “Gambar dan nama siapakah ini?” “Kaisar,” jawab mereka. Lalu Yesus berkata kepada mereka, “Kalau begitu, berikan milik Kaisar kepada Kaisar, dan berikan milik Allah kepada Allah.” Mereka tercengang mendengar kata-kata Yesus, lalu pergi dari situ.

