LUKAS 23:32-46

LUKAS 23:32-46 Alkitab Berita Baik (BM)

Ada pula dua orang penjahat yang akan disalibkan bersama-sama Yesus. Apabila tiba di tempat yang disebut “Tengkorak,” mereka menyalibkan Yesus dan kedua-dua orang penjahat itu - seorang di sebelah kanan Yesus dan seorang lagi di sebelah kiri-Nya. Yesus berkata, “Ya Bapa, ampunilah mereka! Mereka tidak mengetahui apa yang dilakukan oleh mereka.” Pakaian Yesus dibahagi-bahagikan antara mereka sendiri dengan membuang undi. Semua orang yang berdiri di situ memandang sahaja, tetapi para pemimpin orang Yahudi mengejek Dia dengan berkata, “Dia telah menyelamatkan orang lain. Jika dia benar-benar Penyelamat yang dipilih oleh Allah, biarlah dia menyelamatkan dirinya sendiri!” Askar-askar juga mengejek dia. Mereka mendekati Yesus lalu memberikan wain masam kepada-Nya. Mereka berkata, “Jika kamu raja orang Yahudi, selamatkanlah dirimu sendiri!” Pada sebelah atas kayu salib Yesus, tertulis kata-kata: “Inilah Raja Orang Yahudi.” Salah seorang penjahat yang disalibkan di situ menghina Yesus. Dia berkata, “Bukankah kamu Penyelamat yang diutus oleh Allah? Selamatkanlah dirimu sendiri dan juga kami!” Tetapi penjahat yang seorang lagi menegur dia dan berkata, “Tidakkah kamu takut akan Allah? Kita semua sudah dihukum mati. Hukuman kita berdua memang setimpal dengan perbuatan kita, tetapi orang ini tidak bersalah!” Lalu dia berkata kepada Yesus, “Ya Yesus, ingatlah akan saya, apabila Tuan menjadi Raja!” Yesus berkata kepadanya, “Percayalah, pada hari ini kamu akan bersama-sama Aku di Firdaus.” Kira-kira pukul dua belas tengah hari, matahari tidak bersinar dan seluruh negeri itu diliputi kegelapan sehingga pukul tiga petang. Pada waktu itu tirai yang tergantung di dalam Rumah Tuhan koyak menjadi dua helai. Lalu Yesus berseru dengan suara lantang, “Ya Bapa, Aku serahkan diri-Ku ke dalam tangan-Mu!” Setelah berkata demikian, Dia pun meninggal.

LUKAS 23:32-46 Kitab Alkudus: Injil Isa Almasih 1866 (Keasberry) (KEAS)

Maka adalah dua orang lain pun yang dŭrhaka dibawa orang bŭrsama sama dŭngan Isa yang handak dibunoh. Maka apabila sampielah marika itu kapada tŭmpat yang bŭrnama Kalbari maka disanalah disalibkannya akan Isa dan orang orang yang dŭrhaka itu, sa’orang disŭblah kanan dan sa’orang disŭblah kiri. ¶ Sŭtlah itu kata Isa, Ayah ampunilah akan marika itu kŭrna tiada dikŭtahui marika itu apa yang dipŭrbuatnya. Maka dibahgi ulih marika itu pakiean Isa dŭngan mŭmbuang undi. Maka kaum kaum itu pun bŭrdirilah mŭmandang; maka pŭnghulu pŭnghulu pun bŭrsama sama dŭngan marika itu mŭnista akan dia katanya, Iya mŭlŭpaskan orang orang lain, biarlah dilŭpaskannya dirinya sŭndiri jikalau iya Almasih yang tŭlah tŭrpileh ulih Allah. Maka rayat rayat itu pun mŭngolok olok akan dia, datang kapadanya lalu dibrinya akan dia chuka; Sambil bŭrkata, Jikalau angkau raja orang orang Yahudi lŭpaskanlah dirimu sŭndiri. Maka suatu pŭnudohan pun tŭlah dituliskan diatasnya dŭngan huruf Grika dan Rom dan Ibrani: INILAH DIA RAJA ORANG YAHUDI. ¶ Maka adalah sa’orang deripada orang orang dŭrhaka yang tŭlah digantong itu, mŭnista akan dia katanya, Jikalau angkau sungguh Almasih lŭpaskanlah akan dirimu sŭrta kami. Tŭtapi yang lain mŭnjawab sŭrta ditŭngkingnya akan dia katanya, Tiadakah angkau takot akan Allah, sŭdang angkau kŭna akan sama hukuman? Maka kami ini sungguh dŭngan sŭpatut patutnya, kŭrna kami mŭnŭrima akan balasan yang patut atas pŭrbuatan kami, tŭtapi orang itu suatu pun tiada pŭrbuatannya yang salah. Maka katanya kapada Isa, Tuhan, ingatlah akan daku apa bila angkau masok dalam krajaanmu kŭlak. Maka kata Isa padanya, Sŭsungguhnya aku bŭrkata kapadamu, pada hari ini angkau bŭrsama sama dŭngan aku dalam fŭrdus. Maka adalah kira kira pada pukol duablas, maka tŭlah jadi gŭlap diatas bumi sampielah pada pukol tiga pŭtang. Maka matahari pun gŭlaplah, dan tirie ka’abah pun chareklah tŭngah tŭngahnya. ¶ Maka apabila bŭrtriaklah Isa dŭngan nyaring suara, katanya, Ayah, dalam tanganmulah aku sŭrahkan rohku; maka sŭtlah sudah iya bŭrkata dŭmkian, maka putuslah nyawanya.

LUKAS 23:32-46 Alkitab Versi Borneo (AVB)

Ada dua orang lain, iaitu kedua-duanya penjahat, yang akan dibunuh bersama Yesus. Setelah mereka sampai ke tempat yang bernama, “Tengkorak,” mereka pun menyalib Yesus dan kedua-dua orang penjahat itu, seorang di sebelah kanan dan seorang di sebelah kiri-Nya. Yesus berkata, “Ya Bapa, ampunilah mereka kerana mereka tidak tahu apa yang dilakukan mereka.” Mereka membahagi-bahagikan pakaian-Nya dengan membuang undi. Orang ramai yang berdiri di situ memandang sahaja sementara para pemimpin masyarakat mengejek-Nya, “Orang lain diselamatkan-Nya; biarlah Dia menyelamatkan diri-Nya sekarang jika Dia sesungguhnya Kristus yang dipilih oleh Allah.” Askar-askar juga memperolok-olokkan Yesus. Mereka menghampiri-Nya dan membawa air anggur masam kepada-Nya lalu berkata, “Jika Engkau Raja orang Yahudi, selamatkanlah diri-Mu.” Pada sebelah atas kayu salib Yesus tertulis kata-kata: “Inilah Raja orang Yahudi.” Seorang daripada penjahat yang disalib di situ mula mencela-Nya. Dia berkata, “Bukankah Engkau Kristus? Selamatkanlah diri-Mu dan kami!” Tetapi seorang penjahat lagi menegurnya, “Tidakkah kamu takut akan Allah? Kita sama-sama dihukum mati. Bagi kita, hukuman ini adil kerana kita menerima balasan yang setimpal; tetapi orang ini tidak melakukan kesalahan apa-apa.” Dia berkata kepada Yesus, “Ya Yesus, ingatilah aku ketika Engkau menaiki takhta kerajaan-Mu.” Yesus menjawab, “Sesungguhnya Aku berkata kepadamu, pada hari ini juga engkau akan bersama-Ku dalam Firdaus.” Ketika itu kira-kira jam keenam hingga jam kesembilan, seluruh negeri itu diselubungi kegelapan, kerana matahari berhenti bersinar. Tirai yang tergantung di dalam Bait Suci pun terbelah dua. Yesus berseru dengan kuat, “Ya Bapa, Aku menyerahkan roh-Ku ke dalam tangan-Mu!” Setelah Yesus berkata demikian, Dia pun menghembus nafas-Nya yang terakhir.

YouVersion menggunakan kuki untuk memperibadikan pengalaman anda. Dengan menggunakan laman web kami, anda menerima penggunaan kuki kami seperti yang diterangkan dalam Polisi Privasi kami