Lukas 23:32-46

Lukas 23:32-46 AVB

Ada dua orang lain, iaitu kedua-duanya penjahat, yang akan dibunuh bersama Yesus. Setelah mereka sampai ke tempat yang bernama, “Tengkorak,” mereka pun menyalib Yesus dan kedua-dua orang penjahat itu, seorang di sebelah kanan dan seorang di sebelah kiri-Nya. Yesus berkata, “Ya Bapa, ampunilah mereka kerana mereka tidak tahu apa yang dilakukan mereka.” Mereka membahagi-bahagikan pakaian-Nya dengan membuang undi. Orang ramai yang berdiri di situ memandang sahaja sementara para pemimpin masyarakat mengejek-Nya, “Orang lain diselamatkan-Nya; biarlah Dia menyelamatkan diri-Nya sekarang jika Dia sesungguhnya Kristus yang dipilih oleh Allah.” Askar-askar juga memperolok-olokkan Yesus. Mereka menghampiri-Nya dan membawa air anggur masam kepada-Nya lalu berkata, “Jika Engkau Raja orang Yahudi, selamatkanlah diri-Mu.” Pada sebelah atas kayu salib Yesus tertulis kata-kata: “Inilah Raja orang Yahudi.” Seorang daripada penjahat yang disalib di situ mula mencela-Nya. Dia berkata, “Bukankah Engkau Kristus? Selamatkanlah diri-Mu dan kami!” Tetapi seorang penjahat lagi menegurnya, “Tidakkah kamu takut akan Allah? Kita sama-sama dihukum mati. Bagi kita, hukuman ini adil kerana kita menerima balasan yang setimpal; tetapi orang ini tidak melakukan kesalahan apa-apa.” Dia berkata kepada Yesus, “Ya Yesus, ingatilah aku ketika Engkau menaiki takhta kerajaan-Mu.” Yesus menjawab, “Sesungguhnya Aku berkata kepadamu, pada hari ini juga engkau akan bersama-Ku dalam Firdaus.” Ketika itu kira-kira jam keenam hingga jam kesembilan, seluruh negeri itu diselubungi kegelapan, kerana matahari berhenti bersinar. Tirai yang tergantung di dalam Bait Suci pun terbelah dua. Yesus berseru dengan kuat, “Ya Bapa, Aku menyerahkan roh-Ku ke dalam tangan-Mu!” Setelah Yesus berkata demikian, Dia pun menghembus nafas-Nya yang terakhir.

YouVersion menggunakan kuki untuk memperibadikan pengalaman anda. Dengan menggunakan laman web kami, anda menerima penggunaan kuki kami seperti yang diterangkan dalam Polisi Privasi kami