IMAMAT 23:26-43 - Compare All Versions
IMAMAT 23:26-43 BM (Alkitab Berita Baik)
Hari kesepuluh bulan tujuh adalah hari untuk melakukan upacara tahunan bagi pengampunan dosa umat Israel. Pada hari itu kamu harus berpuasa dan berkumpul untuk beribadat, serta mempersembahkan persembahan makanan kepada TUHAN. Jangan bekerja pada hari itu, kerana hari itu adalah hari untuk melakukan upacara pengampunan dosa, supaya kamu mendapat keampunan di hadapan TUHAN, Allah kamu. Sesiapa yang makan pada hari itu tidak lagi dianggap sebagai anggota umat Allah. Sesiapa yang bekerja pada hari itu akan dibinasakan oleh TUHAN sendiri. Peraturan ini mesti dipatuhi oleh semua keturunan kamu, di mana sahaja mereka tinggal. Mulai dari saat matahari terbenam pada hari kesembilan bulan itu, sehingga saat matahari terbenam pada hari kesepuluh bulan yang sama, kamu harus merayakannya seperti hari Sabat, hari yang khas untuk berehat. Kamu mesti berpuasa sepanjang hari itu. Perayaan Pondok Daun bermula pada hari kelima belas bulan ketujuh dan berlangsung selama tujuh hari. Pada hari pertama perayaan itu, kamu harus berkumpul untuk beribadat. Jangan lakukan pekerjaan harian pada hari itu. Setiap hari selama tujuh hari, kamu harus mempersembahkan persembahan makanan. Pada hari kelapan, kamu harus berkumpul lagi untuk beribadat dan kamu harus mempersembahkan persembahan makanan. Hari itu adalah hari untuk beribadat; kamu tidak boleh melakukan pekerjaan harian pada hari itu. Inilah perayaan-perayaan agama yang ditetapkan oleh TUHAN, dan yang mesti kamu rayakan. Pada masa perayaan itu kamu mesti menghormati TUHAN dengan berkumpul bersama-sama untuk beribadat dan mempersembahkan persembahan makanan, korban untuk menyenangkan hati TUHAN, korban untuk mengucap syukur, korban-korban, dan korban wain, sebagaimana yang ditetapkan untuk setiap hari. Perayaan-perayaan itu adalah tambahan kepada hari-hari Sabat yang biasa, dan korban-korban itu adalah tambahan kepada persembahan yang biasa kamu berikan untuk menunaikan nazar ataupun sebagai korban yang dipersembahkan dengan sukarela kepada TUHAN. Pada hari kelima belas bulan ketujuh, sesudah kamu selesai menuai, kamu mesti merayakan perayaan itu selama tujuh hari. Hari pertama dan hari terakhir perayaan itu adalah hari yang khas untuk berehat. Pada hari yang pertama, ambillah buah yang terbaik dari pokok buah kamu, dan ambillah juga daun-daun palma, dahan-dahan pokok yang rimbun, dan pokok renek berbunga dari tebing sungai, lalu mulakanlah perayaan gembira itu untuk menghormati TUHAN, Allah kamu. Rayakanlah perayaan itu selama tujuh hari. Peraturan ini mesti dipatuhi oleh semua keturunan kamu selama-lamanya. Semua orang Israel harus tinggal di pondok-pondok daun selama tujuh hari, supaya keturunan kamu tahu bahawa TUHAN menyuruh orang Israel tinggal di pondok-pondok daun, ketika Dia membawa mereka keluar dari Mesir. Dialah TUHAN, Allah kamu.
IMAMAT 23:26-43 AVB (Alkitab Versi Borneo)
TUHAN berfirman kepada Musa, “Hari kesepuluh pada bulan ketujuh itu Perayaan Hari Pendamaian maka hendaklah kamu mengadakan perhimpunan jemaah yang suci dan menahan nafsumu dengan berpantang. Persembahkanlah korban bakaran untuk TUHAN. Pada hari itu janganlah lakukan apa-apa pekerjaan pun, kerana itu Perayaan Hari Pendamaian, hari untuk mengadakan pendamaian demi dirimu di hadapan TUHAN, Allahmu. Sesungguhnya, hendaklah sesiapa sahaja yang tidak merendahkan diri dan menahan nafsunya dengan berpantang pada hari itu disingkirkan daripada kalangan bangsanya; dan sesiapa sahaja yang melakukan sesuatu pekerjaan pada hari itu akan Kubinasakan daripada kalangan bangsanya. Jangan melakukan apa-apa pekerjaan pun. Itu ialah ketetapan yang berkuat kuasa secara berkekalan untuk kamu turun-temurun di mana-mana jua pun tempat tinggalmu. Itulah hari Sabat bagimu, iaitu hari istirahat penuh, dan hendaklah kamu menahan nafsumu dengan berpantang. Hendaklah kamu merayakan hari Sabat dengan beristirahat penuh dari waktu maghrib pada hari kesembilan pada bulan itu hingga waktu maghrib pada hari esoknya.” TUHAN berfirman kepada Musa, “Beritahu orang Israel, ‘Pada hari kelima belas pada bulan ketujuh ini ialah Perayaan Pondok Daun selama tujuh hari untuk TUHAN. Pada hari pertama, adakanlah perhimpunan jemaah yang suci, dan janganlah dikerjakan sebarang pekerjaan biasa kamu. Selama tujuh hari hendaklah kamu mempersembahkan korban bakaran untuk TUHAN. Pada hari kelapan adakan lagi perhimpunan jemaah yang suci, dan persembahkanlah korban bakaran untuk TUHAN. Itu ialah hari perhimpunan umum maka janganlah dikerjakan sebarang pekerjaan biasa kamu. Itulah hari-hari perayaan yang TUHAN tetapkan maka hendaklah kamu menguar-uarkan sebagai hari perhimpunan ibadat yang suci serta bawalah persembahan berupa korban bakaran untuk TUHAN, iaitu korban bakaran dan persembahan bahan makanan, korban sembelihan dan persembahan minuman menurut jumlah yang ditetapkan bagi setiap harinya. Hari-hari perayaan tersebut ialah di luar hari-hari Sabat TUHAN, demikian jugalah korban serta persembahan itu pun di luar segala persembahanmu, korban nazarmu, juga korban sukarelamu yang kamu persembahkan kepada TUHAN. Jadi, setelah kamu mengumpulkan hasil tanahmu, mulai hari kelima belas pada bulan ketujuh itu, hendaklah kamu mengadakan perayaan selama tujuh hari untuk TUHAN. Hari pertama dan hari kelapan ialah hari istirahat penuh. Pada hari pertama ambillah buah-buah daripada pokok yang baik-baik, pelepah-pelepah pokok kurma, cabang-cabang pokok yang rendang, dan pokok gandarusa di tepi sungai, kemudian bersuka rialah di hadapan TUHAN, Allahmu selama tujuh hari. Hendaklah kamu merayakannya sebagai hari perayaan selama tujuh hari dalam setahun untuk TUHAN. Itu ialah ketetapan yang berkuat kuasa secara berkekalan untuk kamu turun-temurun. Rayakanlah pada bulan ketujuh. Hendaklah kamu tinggal selama tujuh hari di dalam pondok-pondok sementara. Hendaklah semua warga asli Israel tinggal di dalam pondok-pondok sementara, supaya keturunanmu tahu bahawa Aku telah membuat orang Israel tinggal dalam pondok-pondok sementara ketika Aku membawa mereka keluar dari Tanah Mesir. Akulah TUHAN, Allahmu.’ ”