Imamat 23:26-43

Imamat 23:26-43 AVB

TUHAN berfirman kepada Musa, “Hari kesepuluh pada bulan ketujuh itu Perayaan Hari Pendamaian maka hendaklah kamu mengadakan perhimpunan jemaah yang suci dan menahan nafsumu dengan berpantang. Persembahkanlah korban bakaran untuk TUHAN. Pada hari itu janganlah lakukan apa-apa pekerjaan pun, kerana itu Perayaan Hari Pendamaian, hari untuk mengadakan pendamaian demi dirimu di hadapan TUHAN, Allahmu. Sesungguhnya, hendaklah sesiapa sahaja yang tidak merendahkan diri dan menahan nafsunya dengan berpantang pada hari itu disingkirkan daripada kalangan bangsanya; dan sesiapa sahaja yang melakukan sesuatu pekerjaan pada hari itu akan Kubinasakan daripada kalangan bangsanya. Jangan melakukan apa-apa pekerjaan pun. Itu ialah ketetapan yang berkuat kuasa secara berkekalan untuk kamu turun-temurun di mana-mana jua pun tempat tinggalmu. Itulah hari Sabat bagimu, iaitu hari istirahat penuh, dan hendaklah kamu menahan nafsumu dengan berpantang. Hendaklah kamu merayakan hari Sabat dengan beristirahat penuh dari waktu maghrib pada hari kesembilan pada bulan itu hingga waktu maghrib pada hari esoknya.” TUHAN berfirman kepada Musa, “Beritahu orang Israel, ‘Pada hari kelima belas pada bulan ketujuh ini ialah Perayaan Pondok Daun selama tujuh hari untuk TUHAN. Pada hari pertama, adakanlah perhimpunan jemaah yang suci, dan janganlah dikerjakan sebarang pekerjaan biasa kamu. Selama tujuh hari hendaklah kamu mempersembahkan korban bakaran untuk TUHAN. Pada hari kelapan adakan lagi perhimpunan jemaah yang suci, dan persembahkanlah korban bakaran untuk TUHAN. Itu ialah hari perhimpunan umum maka janganlah dikerjakan sebarang pekerjaan biasa kamu. Itulah hari-hari perayaan yang TUHAN tetapkan maka hendaklah kamu menguar-uarkan sebagai hari perhimpunan ibadat yang suci serta bawalah persembahan berupa korban bakaran untuk TUHAN, iaitu korban bakaran dan persembahan bahan makanan, korban sembelihan dan persembahan minuman menurut jumlah yang ditetapkan bagi setiap harinya. Hari-hari perayaan tersebut ialah di luar hari-hari Sabat TUHAN, demikian jugalah korban serta persembahan itu pun di luar segala persembahanmu, korban nazarmu, juga korban sukarelamu yang kamu persembahkan kepada TUHAN. Jadi, setelah kamu mengumpulkan hasil tanahmu, mulai hari kelima belas pada bulan ketujuh itu, hendaklah kamu mengadakan perayaan selama tujuh hari untuk TUHAN. Hari pertama dan hari kelapan ialah hari istirahat penuh. Pada hari pertama ambillah buah-buah daripada pokok yang baik-baik, pelepah-pelepah pokok kurma, cabang-cabang pokok yang rendang, dan pokok gandarusa di tepi sungai, kemudian bersuka rialah di hadapan TUHAN, Allahmu selama tujuh hari. Hendaklah kamu merayakannya sebagai hari perayaan selama tujuh hari dalam setahun untuk TUHAN. Itu ialah ketetapan yang berkuat kuasa secara berkekalan untuk kamu turun-temurun. Rayakanlah pada bulan ketujuh. Hendaklah kamu tinggal selama tujuh hari di dalam pondok-pondok sementara. Hendaklah semua warga asli Israel tinggal di dalam pondok-pondok sementara, supaya keturunanmu tahu bahawa Aku telah membuat orang Israel tinggal dalam pondok-pondok sementara ketika Aku membawa mereka keluar dari Tanah Mesir. Akulah TUHAN, Allahmu.’ ”