IMAMAT 19:1-10 - Compare All Versions

IMAMAT 19:1-10 BM (Alkitab Berita Baik)

TUHAN menyuruh Musa memberitahu umat Israel, “Kamu harus suci kerana Aku TUHAN, Allah kamu suci. Tiap-tiap orang harus menghormati ibu dan bapanya, serta merayakan hari Sabat sebagaimana yang sudah Aku perintahkan. Akulah TUHAN, Allah kamu. Jangan sembah berhala. Jangan buat patung berhala daripada logam dan jangan sembahnya. Akulah TUHAN, Allah kamu. Apabila kamu menyembelih binatang bagi korban untuk memohon berkat TUHAN, patuhilah peraturan yang sudah Aku berikan kepada kamu, supaya Aku menerima persembahan kamu. Dagingnya harus dimakan pada hari binatang itu disembelih atau pada hari esoknya. Daging yang tertinggal pada hari ketiga mesti dibakar, kerana daging itu haram. Jika sesiapa memakannya, persembahan itu tidak Aku terima. Sesiapa yang memakannya bersalah, kerana dia memperlakukan apa yang sudah dipersembahkan kepada-Ku itu sebagai makanan biasa; orang itu tidak lagi dianggap sebagai anggota umat-Ku. Apabila kamu menuai hasil tanaman, jangan tuai hasil tanaman yang tumbuh di tepi ladang. Jangan kembali ke ladang untuk menuai hasil tanaman yang tertinggal setelah dituai. Jangan kumpulkan buah anggur yang tertinggal selepas kamu memetiknya pada kali pertama; jangan pungut buah anggur yang sudah jatuh. Tinggalkanlah semua itu untuk orang miskin dan orang asing. Akulah TUHAN, Allah kamu.

IMAMAT 19:1-10 AVB (Alkitab Versi Borneo)

TUHAN berfirman kepada Musa, “Katakanlah kepada seluruh jemaah Israel, ‘Hendaklah kamu suci, kerana Aku, TUHAN, Allahmu, suci. Hendaklah setiap orang daripada kamu penuh takzim kepada ibu dan ayahnya serta memelihara hari Sabat-Ku. Akulah TUHAN, Allahmu. Janganlah berpaling lalu menyembah apa-apa berhala dan janganlah kamu buat apa-apa tuhan tuangan. Akulah TUHAN, Allahmu. Apabila kamu mempersembahkan korban kedamaian kepada TUHAN, hendaklah kamu mempersembahkannya secara yang persembahan itu diterima demi dirimu. Hendaklah korban itu dimakan pada hari kamu mempersembahkannya atau pada keesokan harinya; tetapi hendaklah dibakar habis segala yang tersisa sampai hari ketiga. Jika ada yang dimakan juga pada hari ketiga, maka kejilah korban itu dan tidaklah korban itu akan diterima. Apatah lagi, hendaklah sesiapa yang memakannya menanggung kesalahannya mencemari persembahan suci untuk TUHAN. Hendaklah orang itu disingkirkan daripada kalangan bangsanya. Apabila kamu menuai hasil tanahmu, hendaklah kamu menuai ladangmu tidak habis sampai ke pinggir-pinggirnya, dan jangan kamu pungut saki-baki tuaianmu. Demikian jugalah, jangan kamu petik kebun anggurmu sampai habis licin dan janganlah kamu pungut buah-buah yang berguguran di kebun anggurmu. Hendaklah kamu tinggalkan semua itu untuk para fakir miskin serta pendatang. Akulah TUHAN, Allahmu.