Imamat 19:1-10

Imamat 19:1-10 AVB

TUHAN berfirman kepada Musa, “Katakanlah kepada seluruh jemaah Israel, ‘Hendaklah kamu suci, kerana Aku, TUHAN, Allahmu, suci. Hendaklah setiap orang daripada kamu penuh takzim kepada ibu dan ayahnya serta memelihara hari Sabat-Ku. Akulah TUHAN, Allahmu. Janganlah berpaling lalu menyembah apa-apa berhala dan janganlah kamu buat apa-apa tuhan tuangan. Akulah TUHAN, Allahmu. Apabila kamu mempersembahkan korban kedamaian kepada TUHAN, hendaklah kamu mempersembahkannya secara yang persembahan itu diterima demi dirimu. Hendaklah korban itu dimakan pada hari kamu mempersembahkannya atau pada keesokan harinya; tetapi hendaklah dibakar habis segala yang tersisa sampai hari ketiga. Jika ada yang dimakan juga pada hari ketiga, maka kejilah korban itu dan tidaklah korban itu akan diterima. Apatah lagi, hendaklah sesiapa yang memakannya menanggung kesalahannya mencemari persembahan suci untuk TUHAN. Hendaklah orang itu disingkirkan daripada kalangan bangsanya. Apabila kamu menuai hasil tanahmu, hendaklah kamu menuai ladangmu tidak habis sampai ke pinggir-pinggirnya, dan jangan kamu pungut saki-baki tuaianmu. Demikian jugalah, jangan kamu petik kebun anggurmu sampai habis licin dan janganlah kamu pungut buah-buah yang berguguran di kebun anggurmu. Hendaklah kamu tinggalkan semua itu untuk para fakir miskin serta pendatang. Akulah TUHAN, Allahmu.