IMAMAT 18:24-30 - Compare All Versions

IMAMAT 18:24-30 BM (Alkitab Berita Baik)

Jangan najiskan diri kamu dengan perbuatan itu. Dengan cara itulah bangsa-bangsa yang tinggal di negeri Kanaan sebelum kamu, telah menajiskan diri mereka. Itulah sebabnya TUHAN mengusir mereka supaya kamu boleh tinggal di negeri itu. Perbuatan mereka menajiskan negeri itu. Itulah sebabnya TUHAN menghukum negeri itu kerana perbuatan keji yang dilakukan oleh penduduk negeri itu. Mereka melakukan segala perbuatan keji serta menajiskan negeri itu, tetapi kamu tidak boleh berbuat demikian. Kamu semua, sama ada orang Israel mahupun orang asing, mesti patuh kepada hukum dan perintah TUHAN. Dengan demikian kamu tidak akan diusir dari negeri itu sebagaimana bangsa-bangsa yang tinggal di sana diusir dahulu. Ketahuilah, sesiapa yang melakukan perbuatan keji itu, tidak lagi dianggap sebagai anggota umat Allah. TUHAN berfirman, “Patuhilah perintah-Ku dan jangan ikut perbuatan orang yang tinggal di negeri itu dahulu. Jangan najiskan diri kamu dengan melakukan perbuatan itu. Akulah TUHAN, Allah kamu.”

IMAMAT 18:24-30 AVB (Alkitab Versi Borneo)

Jangan najiskan dirimu dengan semua itu, kerana bangsa-bangsa yang akan Kuusir dari hadapanmu telah menajiskan diri mereka dengan semua hal itu. Bumi itu juga menjadi najis lalu Aku menghukum dosanya sehingga negeri itu memuntahkan penduduknya. Akan tetapi, kamu, baik warga asli mahupun pendatang yang tinggal dalam kalangan kamu, mesti berpegang teguh pada segala ketetapan-Ku dan peraturan-Ku. Jangan lakukan satu pun daripada segala hal keji itu, kerana penduduk negeri ini sebelum kamu telah melakukan segala hal keji itu sehingga bumi itu menjadi najis. Jika kamu menajiskannya, maka negeri itu akan memuntahkan kamu, sebagaimana bangsa yang tinggal sebelum kamu dimuntahkannya. Sesiapa pun yang melakukan satu sahaja daripada segala hal keji itu hendaklah disingkirkan daripada kalangan bangsanya. Maka peganglah dengan teguh segala kewajipanmu terhadap Aku dan jangan lakukan satu pun daripada segala perbuatan keji yang dilakukan oleh warga sebelum kamu. Jangan najiskan dirimu dengan semua itu. Akulah TUHAN, Allahmu.’ ”