YUDAS 1:1-7
YUDAS 1:1-7 Alkitab Berita Baik (BM)
Surat ini daripada Yudas, hamba Yesus Kristus dan saudara Yakobus. Surat ini ditujukan kepada mereka yang telah dipanggil dan dikasihi oleh Allah Bapa, serta dilindungi oleh Yesus Kristus. Semoga Allah memberikan berkat, kesejahteraan, dan rahmat dengan berlimpah-limpah kepada kamu. Saudara-saudara yang aku kasihi! Aku telah berusaha sebaik-baiknya untuk menulis surat kepada kamu tentang penyelamatan yang kita alami bersama. Tetapi hatiku tergerak untuk menggalakkan kamu melalui surat ini, supaya kamu terus berjuang untuk iman yang telah diberikan oleh Allah sekali sahaja kepada umat-Nya untuk selama-lamanya. Beberapa orang derhaka sudah menyeludup ke kalangan kita tanpa kita sedari. Mereka memutarbalikkan berita tentang kasih Allah kita, untuk membenarkan perbuatan mereka yang cabul. Mereka juga tidak mengakui Yesus Kristus, Penguasa satu-satunya dan Tuhan kita. Sejak dahulu Alkitab telah menuliskan hukuman yang akan dialami mereka. Meskipun kamu mengetahui semua perkara itu, aku hendak mengingatkan kamu bagaimana Tuhan menyelamatkan umat Israel dari negeri Mesir. Tetapi kemudian Dia membinasakan mereka yang tidak percaya. Ingatlah akan malaikat-malaikat yang melampaui batas kekuasaan yang telah diberikan oleh Allah, sehingga meninggalkan tempat kediaman mereka. Allah membelenggu malaikat-malaikat itu dengan rantai abadi, di tempat yang gelap di bawah bumi. Allah menahan mereka di situ sehingga Hari Kiamat apabila mereka akan dihukum. Penduduk kota Sodom, Gomora, dan bandar-bandar di sekitarnya berbuat seperti malaikat-malaikat tersebut. Orang di situ melakukan perbuatan cabul dan lucah. Kota-kota itu dan penduduknya dimusnahkan oleh api yang kekal. Hukuman itu dijadikan amaran bagi semua orang.
YUDAS 1:1-7 Kitab Alkudus: Injil Isa Almasih 1866 (Keasberry) (KEAS)
YAHUDA, sa’orang hamba Isa Almasih, iya itu saudara Yakob, datang kapada sagala orang yang tŭlah dijŭmpot, dan yang tŭlah disuchikan ulih Allah iya itu Ayah, dan dipliharakan ulih Isa Almasih: Biarlah dipŭrbanyakkan kiranya kapadamu rahmat, dan sŭjahtra, dan kasih. Kŭkasih, maka apabila aku rajinkan diriku mŭngirim surat kapadamu deri hal sama pŭrulihan slamat itu, maka patutlah aku bŭrkirim surat kapadamu, sŭrta dŭngan mŭnasihatkan kamu supaya kamu mŭlawan, kŭrna iman yang tŭlah dikurniakan pada mulanya kapada sagala orang salih. Kŭrna bŭbrapa orang tŭlah mŭnyusop masok dŭngan bŭrsŭmbunyi, yang dahulu tŭlah ditŭntukan kapada hukuman ini, iya itulah orang orang fasik, yang mŭmbalikkan nihmat Allah kami kapada pŭrchabulan, dan mŭnyangkali Allah yang asa itu, dan lagi Tuhan kami Isa Almasih. Maka sŭbab itu aku handak mŭngingatkan kamu, mŭskipun kamu tŭlah mŭngatahui ini dahulu, bŭtapa Tuhan sŭtlah sudah mŭlŭpaskan kaum itu deri dalam tanah Masir, maka kumdian dibinasakannya akan sagala orang yang tiada pŭrchaya itu; Dan lagi sagala mŭliekat yang tiada mŭmliharakan pangkatnya yang dahulu itu, mŭlainkan iya tŭlah mŭninggalkan tŭmpat kadiamannya itu, maka Allah tŭlah mŭnarohkan dia pada blunggu yang kŭkal dalam kŭlam kabot sampie kapada hukuman hari kiamat yang bŭsar itu. Sungguh pun spŭrti Sodom dan Gomorah, dan sagala nŭgri yang klilingnya yang dŭmkian itu, yang tŭlah mŭnyŭrahkan dirinya kapada zinah, sŭrta mŭnuntut akan hawa nafsu ajaib, iya itulah tŭrdiri mŭnjadi tauladan, mŭnanggong balasan api yang kŭkal.
YUDAS 1:1-7 Alkitab Versi Borneo (AVB)
Surat ini daripada Yudas, hamba Yesus Kristus dan saudara Yakobus, Untuk tatapan mereka yang telah dipanggil dan dikasihi oleh Allah Bapa serta dilindungi oleh Yesus Kristus: Semoga belas kasihan, damai sejahtera dan kasih melimpahimu. Saudara-saudara yang kukasihi, ketika aku cuba menulis kepadamu tentang penyelamatan yang telah kita terima bersama, hatiku tergerak hendak memberikan perangsang kepadamu supaya terus berjuang untuk iman yang telah dikurniakan Allah kepada orang salih-Nya cuma sekali untuk selama-lamanya. Beberapa orang telah menyusup masuk ke dalam golongan kamu tanpa disedari. Merekalah yang dari dahulu lagi telah disebutkan hukumannya dalam Kitab Suci. Merekalah orang mungkar yang menyalahgunakan kasih kurnia Allah kita untuk melakukan maksiat. Mereka tidak mengakui Yesus Kristus sebagai satu-satunya Raja dan Tuhan kita. Sungguhpun kamu sudah maklum segalanya, aku ingin mengingatkanmu bahawa Tuhan telah menyelamatkan umat Israel dari negeri Mesir dan kemudiannya memusnahkan mereka yang tidak percaya. Dan para malaikat yang telah melampaui batas kekuasaan yang dikurniakan Allah hinggakan tergamak meninggalkan tempat yang ditetapkan bagi mereka — Allah telah membelenggu mereka dengan rantai yang kekal dan mengurung mereka dalam kegelapan hingga Hari Penghakiman yang besar itu. Begitu juga halnya dengan para penghuni kota Sodom, Gomora dan bandar-bandar di sekitarnya yang telah melakukan pencabulan dan perbuatan sumbang. Mereka menjadi contoh orang yang mengalami seksaan hukuman api yang kekal.