Yudas 1:1-7

Yudas 1:1-7 AVB

Surat ini daripada Yudas, hamba Yesus Kristus dan saudara Yakobus, Untuk tatapan mereka yang telah dipanggil dan dikasihi oleh Allah Bapa serta dilindungi oleh Yesus Kristus: Semoga belas kasihan, damai sejahtera dan kasih melimpahimu. Saudara-saudara yang kukasihi, ketika aku cuba menulis kepadamu tentang penyelamatan yang telah kita terima bersama, hatiku tergerak hendak memberikan perangsang kepadamu supaya terus berjuang untuk iman yang telah dikurniakan Allah kepada orang salih-Nya cuma sekali untuk selama-lamanya. Beberapa orang telah menyusup masuk ke dalam golongan kamu tanpa disedari. Merekalah yang dari dahulu lagi telah disebutkan hukumannya dalam Kitab Suci. Merekalah orang mungkar yang menyalahgunakan kasih kurnia Allah kita untuk melakukan maksiat. Mereka tidak mengakui Yesus Kristus sebagai satu-satunya Raja dan Tuhan kita. Sungguhpun kamu sudah maklum segalanya, aku ingin mengingatkanmu bahawa Tuhan telah menyelamatkan umat Israel dari negeri Mesir dan kemudiannya memusnahkan mereka yang tidak percaya. Dan para malaikat yang telah melampaui batas kekuasaan yang dikurniakan Allah hinggakan tergamak meninggalkan tempat yang ditetapkan bagi mereka — Allah telah membelenggu mereka dengan rantai yang kekal dan mengurung mereka dalam kegelapan hingga Hari Penghakiman yang besar itu. Begitu juga halnya dengan para penghuni kota Sodom, Gomora dan bandar-bandar di sekitarnya yang telah melakukan pencabulan dan perbuatan sumbang. Mereka menjadi contoh orang yang mengalami seksaan hukuman api yang kekal.