AYUB 38:31-41 - Bandingkan Semua Versi
AYUB 38:31-41 BM (Alkitab Berita Baik)
Dapatkah engkau memberkas gugusan Bintang Kartika, ataupun melepaskan ikatan Bintang Orion? Dapatkah engkau membimbing bintang-bintang pada setiap musim, dan menuntun Biduk Besar dan Biduk Kecil? Tahukah engkau hukum-hukum di cakerawala, dan dapatkah engkau menerapkannya di dunia? Dapatkah engkau meneriakkan perintah kepada awan, dan menyuruhnya membasahi engkau dengan hujan? Jika engkau memerintah kilat supaya sabung-menyabung, adakah kilat datang kepadamu dan berkata, “Saya, tuan!”? Siapakah yang memberitahu burung ibis bahawa Sungai Nil akan banjir? Siapakah yang memberitahu ayam jantan bahawa hujan akan turun? Siapakah yang cukup bijak untuk mengira awan, dan mencondongkannya sehingga mencurahkan hujan, hujan yang mengeraskan debu menjadi gumpalan, dan tanah menjadi ketulan? Dapatkah engkau memburu mangsa untuk singa, dan mengenyangkan anak singa, apabila singa bersembunyi di dalam gua, atau menunggu mangsa di dalam sarangnya? Siapakah yang memberi makan kepada gagak hitam ketika burung itu merayau mencari makanan, ketika anak-anak burung berseru kepada-Ku meminta makanan?
AYUB 38:31-41 AVB (Alkitab Versi Borneo)
Dapatkah engkau mengikat gugusan bintang Kartika, atau melepaskan ikatan bintang Belantik? Dapatkah engkau mengeluarkan rasi-rasi bintang pada masanya, atau memandu bintang Biduk dengan anak-anaknya? Tahukah engkau ketetapan-ketetapan langit? Dapatkah engkau menetapkan pemerintahannya di atas bumi? Dapatkah engkau menyaringkan suaramu sampai ke awan, atau meliputi dirimu dengan air bah? Dapatkah engkau mengutus petir sehingga mereka pergi sambil berkata kepadamu, ‘Inilah kami’? Siapakah yang menaruh hikmah di dalam batin? Atau, siapakah yang memberikan pengertian kepada fikiran? Siapakah yang dapat mengira jumlah awan dengan hikmah? Siapakah yang dapat mencurahkan isi kirbat-kirbat langit, ketika debu jadi keras dan gumpalan-gumpalan tanah berlekatan? Dapatkah engkau memburu mangsa bagi singa betina, atau mengenyangkan anak singa yang lapar ketika singa-singa itu meringkuk di sarang, dan menunggu di belukar? Siapakah yang menyediakan bekal bagi burung gagak ketika anak-anaknya berteriak kepada Allah dan berkeliaran kerana kekurangan makanan?