Ayub 38:31-41
Ayub 38:31-41 AVB
Dapatkah engkau mengikat gugusan bintang Kartika, atau melepaskan ikatan bintang Belantik? Dapatkah engkau mengeluarkan rasi-rasi bintang pada masanya, atau memandu bintang Biduk dengan anak-anaknya? Tahukah engkau ketetapan-ketetapan langit? Dapatkah engkau menetapkan pemerintahannya di atas bumi? Dapatkah engkau menyaringkan suaramu sampai ke awan, atau meliputi dirimu dengan air bah? Dapatkah engkau mengutus petir sehingga mereka pergi sambil berkata kepadamu, ‘Inilah kami’? Siapakah yang menaruh hikmah di dalam batin? Atau, siapakah yang memberikan pengertian kepada fikiran? Siapakah yang dapat mengira jumlah awan dengan hikmah? Siapakah yang dapat mencurahkan isi kirbat-kirbat langit, ketika debu jadi keras dan gumpalan-gumpalan tanah berlekatan? Dapatkah engkau memburu mangsa bagi singa betina, atau mengenyangkan anak singa yang lapar ketika singa-singa itu meringkuk di sarang, dan menunggu di belukar? Siapakah yang menyediakan bekal bagi burung gagak ketika anak-anaknya berteriak kepada Allah dan berkeliaran kerana kekurangan makanan?

