AYUB 22:1-30 - Compare All Versions

AYUB 22:1-30 BM (Alkitab Berita Baik)

Kemudian Elifas berkata, “Di kalangan manusia, tiada yang berguna bagi Allah. Orang yang paling bijak pun tidak berguna bagi-Nya. Apakah faedahnya bagi Yang Maha Kuasa, jika engkau melakukan kehendak-Nya? Apakah ada keuntungan bagi-Nya jika hidupmu sempurna? Bukan kerana engkau takut dan hormat kepada Allah, maka Dia menegur dan mengadili engkau, melainkan kerana dosamu banyak, dan engkau sangat jahat. Untuk memaksa saudaramu membayar hutangnya, engkau merampas pakaiannya dan membiarkan dia telanjang. Engkau enggan memberikan air kepada mereka yang lelah, dan enggan memberikan makanan kepada mereka yang lapar. Engkau menggunakan kuasa dan kedudukanmu untuk merampas seluruh tanah. Bukan sahaja engkau tidak mahu menolong balu, tetapi engkau juga menindas anak yatim piatu. Oleh itu sekarang terdapat perangkap di sekelilingmu, dan tiba-tiba ketakutan meliputimu. Terang menjadi gelap sehingga engkau tidak dapat melihat, dan engkau dilanda banjir yang dahsyat. Tidakkah Allah tinggal di syurga yang tertinggi, dan memandang ke bawah, pada bintang-bintang yang tinggi sekali? Namun engkau bertanya, ‘Adakah Allah tahu? Dia di balik awan dan tidak dapat mengadili kita.’ Engkau menyangka bahawa pandangan-Nya tertutup awan, ketika Dia berjalan di sempadan langit dan bumi. Adakah engkau tetap mengikut jalan yang selalu diikuti orang jahat? Walaupun masa mereka belum tiba, mereka dihanyut oleh banjir yang melanda. Itulah orang yang menolak Allah, dan menganggap Yang Maha Kuasa tidak dapat mengapa-apakan mereka. Padahal Allah yang telah menjadikan mereka kaya. Aku tidak faham akan fikiran orang durjana. Orang baik dan yang tidak bersalah ketawa kegembiraan, apabila melihat orang jahat menerima hukuman. Segala hak milik orang jahat musnah, dan api membakar segala yang tersisa. Sekarang, Ayub, berdamailah dengan Allah, dan berhentilah menganggap Dia sebagai musuh. Jika engkau berbuat demikian, Dia akan memberkati engkau. Terimalah perintah yang diberikan-Nya; simpanlah firman-Nya dalam hatimu. Engkau mesti kembali kepada Allah dengan rendah hati, dan segala kejahatan di rumahmu hendaklah engkau akhiri. Lemparlah emasmu yang paling murni; lemparlah emasmu ke dasar sungai yang tidak berair lagi. Hendaklah Allah Yang Maha Kuasa merupakan emasmu, dan merupakan perak yang sangat bermutu. Barulah engkau akan mempercayai Allah selalu, dan mendapati Dia adalah sumber kegiranganmu. Apabila engkau berdoa, Dia akan menjawab, dan engkau akan menepati segala janjimu. Usahamu akan berjaya selalu, dan cahaya akan menyinari hidupmu. Orang yang sombong direndahkan Allah, tetapi yang rendah hati diselamatkan-Nya. Dia akan menyelamatkan engkau jika engkau tidak bersalah, dan jika engkau melakukan kehendak-Nya.”

AYUB 22:1-30 AVB (Alkitab Versi Borneo)

Maka Elifas, orang Teman, menjawab, “Bergunakah manusia bagi Allah? Sesungguhnya, orang yang berhikmah berguna bagi dirinya sendiri. Adakah Yang Maha Kuasa senang hati kalau engkau benar? Apa untungnya bagi Dia kalau jalanmu tidak bercela? Adakah kerana ketakwaanmu kepada-Nya maka Dia menegur engkau dan datang berperkara denganmu? Bukankah kejahatanmu besar dan kesalahanmu tiada habisnya? Kauambil gadaian daripada saudaramu dengan sewenang-wenang, kaulucuti pakaian orang sehingga dia telanjang. Orang yang lelah tidak kauberi air minum, kautahan makanan daripada orang yang lapar. Orang yang berkuasalah yang memiliki tanah, dan orang yang terhormatlah yang mendudukinya. Kausuruh para balu pergi dengan tangan hampa, lengan anak yatim dipatahkan. Itulah sebabnya ada perangkap di sekelilingmu, dan engkau dikejutkan oleh kedahsyatan yang tiba-tiba atau oleh kegelapan sehingga engkau tidak dapat melihat, dan air bah meliputi kamu. Bukankah Allah bersemayam di langit yang tinggi? Lihatlah, betapa tingginya bintang-bintang yang tertinggi! Namun demikian, engkau berkata, ‘Allah tahu apa? Masakan Dia mengadili dari balik kelam pekat itu? Awan menutupi-Nya sehingga Dia tidak dapat melihat, Dia berjalan-jalan di lengkungan langit.’ Adakah engkau mahu tetap menuruti jalan lama yang ditempuh oleh kalangan jahat? Mereka telah dicabut sebelum waktu mereka, dasar mereka dihanyutkan sungai. Mereka berkata kepada Allah, ‘Menjauhlah daripada kami!’ dan, ‘Apakah yang dapat dilakukan Yang Maha Kuasa terhadap kami?’ Padahal Dialah yang memenuhi rumah mereka dengan segala yang baik-baik. Nasihat orang fasiq jauh daripadaku. Orang benar melihat hukuman mereka dan bersukacita, orang yang tidak bersalah mengolok-olokkan mereka demikian, ‘Sungguh, lawan kita sudah dilenyapkan, peninggalan mereka sudah dimakan api.’ Berdamailah hendaknya dengan Dia dan jadilah tenteram, maka kebaikan akan mendatangimu. Terimalah pengajaran-Nya, dan simpanlah firman-Nya dalam hatimu. Jika engkau berbalik kepada Yang Maha Kuasa, engkau akan dibangunkan kembali. Jika engkau menjauhkan kezaliman dari khemahmu, meletakkan biji emas di dalam debu, dan emas Ofir di antara batu kali, maka Yang Maha Kuasa akan menjadi khazanah kamu serta perak yang berharga bagimu. Sesungguhnya, pada waktu itu engkau akan bersenang-lenang kerana Yang Maha Kuasa, dan akan menengadahkan muka kepada Allah. Engkau akan berdoa kepada-Nya dan Dia akan mendengar kamu, engkau akan membayar nazarmu. Apa yang kauputuskan akan terlaksana bagimu, dan cahaya akan menyinari jalan-jalanmu. Apabila orang direndahkan, engkau akan berkata, ‘Angkatlah!’ dan orang yang tertunduk itu akan diselamatkan oleh-Nya. Dia akan melepaskan orang yang tidak bersalah, dan orang itu akan dilepaskan atas sebab kebersihan tanganmu.”