AYUB 22

22
DIALOG KETIGA
(22.1—27.23)
Elifas
1Kemudian Elifas berkata,
2“Di kalangan manusia, tiada yang berguna bagi Allah.
Orang yang paling bijak pun tidak berguna bagi-Nya.
3 Apakah faedahnya bagi Yang Maha Kuasa,
jika engkau melakukan kehendak-Nya?
Apakah ada keuntungan bagi-Nya
jika hidupmu sempurna?
4Bukan kerana engkau takut dan hormat kepada Allah,
maka Dia menegur dan mengadili engkau,
5melainkan kerana dosamu banyak,
dan engkau sangat jahat.
6Untuk memaksa saudaramu membayar hutangnya,
engkau merampas pakaiannya dan membiarkan dia telanjang.
7Engkau enggan memberikan air kepada mereka yang lelah,
dan enggan memberikan makanan kepada mereka yang lapar.
8Engkau menggunakan kuasa dan kedudukanmu
untuk merampas seluruh tanah.
9Bukan sahaja engkau tidak mahu menolong balu,
tetapi engkau juga menindas anak yatim piatu.
10Oleh itu sekarang terdapat perangkap di sekelilingmu,
dan tiba-tiba ketakutan meliputimu.
11Terang menjadi gelap sehingga engkau tidak dapat melihat,
dan engkau dilanda banjir yang dahsyat.
12Tidakkah Allah tinggal di syurga yang tertinggi,
dan memandang ke bawah, pada bintang-bintang yang tinggi sekali?
13Namun engkau bertanya, ‘Adakah Allah tahu?
Dia di balik awan dan tidak dapat mengadili kita.’
14Engkau menyangka bahawa pandangan-Nya tertutup awan,
ketika Dia berjalan di sempadan langit dan bumi.
15Adakah engkau tetap mengikut jalan
yang selalu diikuti orang jahat?
16Walaupun masa mereka belum tiba,
mereka dihanyut oleh banjir yang melanda.
17Itulah orang yang menolak Allah,
dan menganggap Yang Maha Kuasa tidak dapat mengapa-apakan mereka.
18Padahal Allah yang telah menjadikan mereka kaya.
Aku tidak faham akan fikiran orang durjana.
19Orang baik dan yang tidak bersalah ketawa kegembiraan,
apabila melihat orang jahat menerima hukuman.
20Segala hak milik orang jahat musnah,
dan api membakar segala yang tersisa.
21Sekarang, Ayub, berdamailah dengan Allah,
dan berhentilah menganggap Dia sebagai musuh.
Jika engkau berbuat demikian,
Dia akan memberkati engkau.
22Terimalah perintah yang diberikan-Nya;
simpanlah firman-Nya dalam hatimu.
23Engkau mesti kembali kepada Allah dengan rendah hati,
dan segala kejahatan di rumahmu hendaklah engkau akhiri.
24Lemparlah emasmu yang paling murni;
lemparlah emasmu ke dasar sungai yang tidak berair lagi.
25Hendaklah Allah Yang Maha Kuasa merupakan emasmu,
dan merupakan perak yang sangat bermutu.
26Barulah engkau akan mempercayai Allah selalu,
dan mendapati Dia adalah sumber kegiranganmu.
27Apabila engkau berdoa, Dia akan menjawab,
dan engkau akan menepati segala janjimu.
28Usahamu akan berjaya selalu,
dan cahaya akan menyinari hidupmu.
29Orang yang sombong direndahkan Allah,
tetapi yang rendah hati diselamatkan-Nya.
30Dia akan menyelamatkan engkau jika engkau tidak bersalah,
dan jika engkau melakukan kehendak-Nya.”

Terpilih Sekarang Ini:

AYUB 22: BM

Highlight

Kongsi

Salin

None

Ingin menyimpan sorotan merentas semua peranti anda? Mendaftar atau log masuk

YouVersion menggunakan kuki untuk memperibadikan pengalaman anda. Dengan menggunakan laman web kami, anda menerima penggunaan kuki kami seperti yang diterangkan dalam Polisi Privasi kami