AYUB 11:7-20 - Compare All Versions

AYUB 11:7-20 BM (Alkitab Berita Baik)

Dapatkah engkau memahami hal-hal yang dalam tentang Allah? Dapatkah engkau menyelami batas keagungan Yang Maha Kuasa? Keagungan Allah lebih tinggi daripada angkasa, dan engkau tidak dapat mencapainya. Keagungan-Nya lebih dalam daripada dunia orang mati, dan engkau tidak dapat memahaminya. Keagungan Allah lebih luas daripada bumi, lebih lebar daripada samudera. Jika Allah menangkap dan mengadili engkau, siapakah yang akan menghalangi-Nya? Allah tahu manusia yang mana tidak berguna; Dia nampak semua perbuatan jahat mereka. Orang bodoh akan mula menjadi bijak, apabila keldai liar dilahirkan jinak. Ayub, bersihkanlah hatimu, bertaubatlah. Angkatlah tangan dan berdoalah kepada Allah. Berhentilah berbuat dosa, dan jauhkanlah kejahatan daripada rumah tanggamu. Kemudian hadapilah hidup dengan hati nurani yang bersih; engkau akan tabah dan teguh hati. Maka kesusahanmu tidak lagi engkau kenang, seperti banjir yang sudah surut dan dilupakan orang. Kehidupanmu akan menjadi lebih terang daripada sinar matahari waktu siang, dan saat-saat gelap dalam hidupmu akan bersinar seperti pada waktu subuh. Engkau akan hidup dengan selamat dan penuh harapan; Allah akan melindungi engkau sehingga engkau berehat dengan aman. Engkau tidak akan takut terhadap musuh; banyak orang akan minta tolong kepadamu. Tetapi orang jahat akan melihat di sekeliling dan berasa bingung; mereka tidak menemui jalan keluar. Satu-satunya harapan mereka adalah menghembus nafas terakhir.”

AYUB 11:7-20 AVB (Alkitab Versi Borneo)

Dapatkah engkau memahami rahsia Allah? Dapatkah engkau memahami kesempurnaan Yang Maha Kuasa? Tingginya melebihi langit — apa yang dapat kaulakukan? Dalamnya melebihi alam kubur — apa yang dapat kauketahui? Ukurannya lebih panjang daripada bumi dan lebih lebar daripada laut. Jika Dia melintas, melakukan penangkapan, dan mengadakan sidang, siapakah yang dapat menahan-Nya? Sesungguhnya, Dia mengenal manusia penipu dan melihat kejahatan tanpa mengamat-amatinya. Tetapi orang bebal pun akan menjadi cerdas, jika anak keldai liar dapat lahir sebagai manusia. Jika engkau mengarahkan hatimu dan menadahkan tanganmu kepada-Nya, jauhkanlah kejahatan di tanganmu jika memang ada, dan jangan biarkan kezaliman ada di khemahmu. Dengan demikian engkau akan mengangkat muka tanpa malu, engkau akan menjadi teguh dan tidak takut. Engkau akan melupakan kesukaranmu, mengingatnya hanya seperti air yang telah mengalir lenyap. Hidupmu akan lebih cerah daripada tengah hari, kegelapan akan seperti pagi hari. Engkau akan berasa aman kerana ada harapan. Engkau akan melihat sekitarmu lalu tidur dengan aman. Engkau akan berbaring tanpa ada yang mengusik, bahkan ramai orang akan memohonkan belas kasihanmu. Tetapi mata orang fasiq akan menjadi sayu, mereka tidak akan mempunyai tempat melarikan diri dan harapan mereka sekadar untuk menarik nafas terakhir mereka.”