Ayub 11:7-20
Ayub 11:7-20 AVB
Dapatkah engkau memahami rahsia Allah? Dapatkah engkau memahami kesempurnaan Yang Maha Kuasa? Tingginya melebihi langit — apa yang dapat kaulakukan? Dalamnya melebihi alam kubur — apa yang dapat kauketahui? Ukurannya lebih panjang daripada bumi dan lebih lebar daripada laut. Jika Dia melintas, melakukan penangkapan, dan mengadakan sidang, siapakah yang dapat menahan-Nya? Sesungguhnya, Dia mengenal manusia penipu dan melihat kejahatan tanpa mengamat-amatinya. Tetapi orang bebal pun akan menjadi cerdas, jika anak keldai liar dapat lahir sebagai manusia. Jika engkau mengarahkan hatimu dan menadahkan tanganmu kepada-Nya, jauhkanlah kejahatan di tanganmu jika memang ada, dan jangan biarkan kezaliman ada di khemahmu. Dengan demikian engkau akan mengangkat muka tanpa malu, engkau akan menjadi teguh dan tidak takut. Engkau akan melupakan kesukaranmu, mengingatnya hanya seperti air yang telah mengalir lenyap. Hidupmu akan lebih cerah daripada tengah hari, kegelapan akan seperti pagi hari. Engkau akan berasa aman kerana ada harapan. Engkau akan melihat sekitarmu lalu tidur dengan aman. Engkau akan berbaring tanpa ada yang mengusik, bahkan ramai orang akan memohonkan belas kasihanmu. Tetapi mata orang fasiq akan menjadi sayu, mereka tidak akan mempunyai tempat melarikan diri dan harapan mereka sekadar untuk menarik nafas terakhir mereka.”

