YOHANES 7:45-52
YOHANES 7:45-52 Alkitab Berita Baik (BM)
Apabila pengawal-pengawal Rumah Tuhan yang disuruh pergi untuk menangkap Yesus datang kembali, ketua-ketua imam dan orang Farisi bertanya, “Mengapakah kamu tidak membawa dia ke mari?” Para pengawal itu menjawab, “Belum pernah seseorang berkata-kata seperti dia!” Orang Farisi di situ berkata, “Adakah dia menyesatkan kamu pula? Pernahkah kamu dengar seorang daripada penguasa kita atau orang Farisi yang percaya kepadanya? Orang ramai ini tidak mengenal Taurat Musa. Oleh itu terkutuklah mereka!” Salah seorang Farisi di situ ialah Nikodemus. Dia pernah datang kepada Yesus. Nikodemus berkata kepada mereka, “Menurut Taurat, kita tidak boleh menghukum seseorang sebelum perkaranya didengar dan perbuatannya disiasat.” Mereka berkata, “Adakah kamu juga berasal dari Galilea? Kajilah Alkitab dan kamu akan tahu bahawa tidak ada nabi yang berasal dari Galilea?”
YOHANES 7:45-52 Kitab Alkudus: Injil Isa Almasih 1866 (Keasberry) (KEAS)
¶ Kumdian maka kŭmbalilah hulubalang hulubalang itu kapada imam imam bŭsar, dan orang orang Farisia, maka bŭrkatalah marika itu kapada hulubalang hulubalang itu, Mŭngapa tiada kamu bawa akan dia? Maka disahut hulubalang hulubalang itu katanya, Bŭlom pŭrnah sa’orang pun bŭrkata kata yang spŭrti pŭrkataan orang itu. Maka sahut orang orang Farisia pada marika itu, Kamu pun sudahkah kŭna tipu? Adakah deripada pŭnghulu pŭnghulu, atau orang orang Farisia yang sudah pŭrchaya akan dia? Adapun kaum ini yang tiada mŭngarti akan tauret, iya itu kŭna la’nat. Maka kata Nikudimas yang datang kapada Isa pada malam hari, maka iya itu pun deripada orang Farisia itu juga adanya. Adakah undang undang kitab itu mŭnghukumkan orang tŭrdahulu deripada didŭngar akan dia, sŭrta tahu apakah pŭrbuatannya? Maka disahut marika itu kapada Nikudimas itu, Angkau pun deripada orang Galilakah? maka sŭlideklah sŭrta tengok, kŭrna tiada nabi kluar deri Galilia.
YOHANES 7:45-52 Alkitab Versi Borneo (AVB)
Kemudian para pengawal Bait Suci datang kepada para ketua imam dan orang Farisi. Lalu mereka bertanya kepada para pengawal itu, “Mengapakah kamu tidak membawa Dia ke sini?” Para pengawal itu menjawab, “Belum pernah seseorang bercakap seperti-Nya!” Orang Farisi berkata, “Adakah kamu disesatkan juga? Adakah mana-mana pemerintah atau orang Farisi percaya kepada-Nya? Tetapi hanya orang ramai ini tidak mengenal hukum Taurat — terlaknatlah mereka ini!” Nikodemus, seorang Farisi yang pernah pergi menemui Yesus, berkata, “Bukankah mengikut hukum Taurat, kita tidak boleh menghukum seseorang tanpa perbicaraan dan penyiasatan terlebih dahulu?” Mereka berkata, “Adakah kamu juga berasal dari Galilea? Kajilah, dan kamu akan tahu tiada nabi yang datang dari Galilea.”