YOHANES 7

7
Yesus dan Saudara-Saudara-Nya
1Setelah itu Yesus pergi dari satu tempat ke tempat lain di Galilea. Dia tidak mahu pergi ke daerah Yudea kerana para penguasa Yahudi di sana hendak membunuh Dia.
2 Pada masa itu hampir Perayaan Pondok Daun. 3Oleh itu, saudara-saudara Yesus berkata kepada-Nya, “Tinggalkanlah tempat ini dan pergilah ke Yudea, supaya pengikut-pengikutmu dapat melihat perbuatanmu. 4Tidak seorang pun menyembunyikan perbuatannya, jika dia ingin menjadi terkenal. Kamu sudah melakukan perkara-perkara seperti itu, biarlah seluruh dunia tahu akan kamu!” ( 5Saudara-saudara-Nya sendiri pun tidak percaya kepada-Nya.)
6Yesus berkata kepada mereka, “Saat-Ku belum tiba. Saat kamu bila-bila sahaja. 7Dunia ini tidak mempunyai alasan untuk membenci kamu. Tetapi dunia ini membenci Aku, kerana Aku sentiasa berkata kepada dunia bahawa perbuatannya jahat. 8Pergilah ke perayaan itu. Aku tidak pergi kerana saat-Ku belum tiba.” 9Demikianlah kata Yesus, lalu Dia tinggal di Galilea.
Yesus Menghadiri Perayaan Pondok Daun
10Setelah saudara-saudara-Nya pergi ke perayaan itu, Yesus pun pergi. Tetapi Dia tidak pergi secara terang-terangan, melainkan secara diam-diam. 11Para penguasa Yahudi mencari Dia semasa perayaan itu. “Di manakah dia?” tanya mereka.
12Orang ramai berbisik-bisik tentang Dia. Beberapa orang berkata, “Dia orang baik.” Yang lain berkata, “Tidak! Dia menyesatkan orang!” 13Tetapi tidak seorang pun berani bercakap secara terang-terangan tentang Yesus, kerana mereka takut akan para penguasa Yahudi.
14Pada pertengahan masa perayaan itu, Yesus masuk ke dalam Rumah Tuhan, lalu mula mengajar. 15Para penguasa Yahudi hairan sekali lalu berkata, “Bagaimanakah orang ini dapat mengetahui sebanyak ini, padahal dia tidak pernah dilatih untuk menjadi guru Taurat?”
16Yesus menjawab, “Yang Aku ajarkan ini bukan ajaran-Ku, melainkan ajaran Dia yang mengutus Aku. 17Orang yang mahu melakukan kehendak Allah akan tahu sama ada ajaran-Ku datangnya daripada Allah atau daripada Aku sendiri. 18Seorang yang mengajarkan ajarannya sendiri, mencari kehormatan bagi dirinya sendiri. Tetapi seorang yang menghendaki kehormatan untuk orang yang mengutusnya, orang itu jujur dan tidak ada kepalsuan padanya. 19Bukankah Musa yang memberikan Taurat kepada kamu? Tetapi tidak seorang pun antara kamu yang mentaati Taurat itu. Mengapakah kamu mahu membunuh Aku?”
20Orang ramai itu menjawab, “Kamu dirasuk syaitan! Siapa mahu membunuh kamu?” 21Yesus berkata kepada mereka, “Aku melakukan suatu mukjizat, lalu kamu semua hairan. 22 Musa memberikan peraturan bersunat. Oleh itu pada hari Sabat pun kamu mahu menyunat anak lelaki kamu. (Sebenarnya peraturan bersunat bukan berasal daripada Musa tetapi daripada nenek moyang kamu sebelum Musa.) 23 Jika seorang anak lelaki boleh disunat pada hari Sabat supaya tidak melanggar Taurat Musa, mengapakah kamu marah terhadap Aku kerana Aku menyembuhkan seseorang dengan sepenuhnya pada hari Sabat? 24Janganlah hakimi orang berdasarkan apa yang kelihatan, tetapi berdasarkan keadilan.”
Benarkah Yesus Penyelamat yang Diutus oleh Allah?
25Beberapa orang penduduk Yerusalem berkata, “Bukankah dia ini yang dicari-cari oleh penguasa kita untuk dibunuh? 26Lihatlah, dia berkata-kata di hadapan umum, tetapi penguasa kita tidak berkata apa-apa kepadanya. Mungkinkah mereka sudah tahu bahawa dia Penyelamat yang diutus oleh Allah? 27Tetapi apabila Penyelamat yang diutus oleh Allah itu datang, tidak seorang pun akan mengetahui tempat asal-Nya. Tetapi kita mengetahui tempat asal orang ini.”
28Sementara Yesus mengajar di Rumah Tuhan, Dia bertanya dengan suara lantang, “Benar-benarkah kamu mengetahui siapa Aku ini dan tempat asal-Ku? Aku tidak datang dengan kehendak-Ku sendiri. Dia yang mengutus Aku dapat dipercaya, tetapi kamu tidak mengenal Dia. 29Aku mengenal Dia, kerana Dialah yang mengutus Aku dan Aku datang daripada-Nya.”
30Kemudian para penguasa Yahudi cuba menangkap Dia, tetapi tiada seorang pun berani memegang Yesus kerana saat-Nya belum tiba. 31Tetapi banyak antara orang ramai percaya kepada-Nya. Mereka berkata, “Apabila Penyelamat yang diutus oleh Allah datang, dapatkah Dia melakukan lebih banyak mukjizat daripada orang ini?”
Usaha Menangkap Yesus
32Orang Farisi mendengar orang ramai berbisik-bisik tentang Yesus. Oleh itu, mereka dan ketua-ketua imam menyuruh beberapa orang pengawal Rumah Tuhan menangkap Yesus. 33Tetapi Yesus berkata, “Aku akan bersama-sama kamu sebentar sahaja. Kemudian Aku akan kembali kepada Dia yang mengutus Aku. 34Kamu akan mencari Aku, tetapi tidak dapat menjumpai Aku, kerana kamu tidak boleh pergi ke tempat Aku berada.”
35Para penguasa Yahudi berkata sesama sendiri, “Ke manakah dia mahu pergi sehingga kita tidak dapat menjumpai dia? Adakah dia mahu pergi kepada orang Yahudi yang tinggal di luar negeri antara orang bukan Yahudi, lalu mengajar mereka? 36Apakah yang dimaksudkan-Nya apabila Dia berkata bahawa kita akan mencari dia, tetapi tidak dapat menjumpainya, dan bahawa kita tidak boleh pergi ke tempat dia berada?”
Mata Air yang Memberikan Hidup
37 Pada hari terakhir perayaan itu, dan juga hari yang paling penting, Yesus berdiri lalu berkata dengan suara lantang, “Sesiapa yang dahaga hendaklah datang kepada-Ku untuk minum. 38 Seperti yang tertulis di dalam Alkitab, ‘Sesiapa yang percaya kepada-Ku, dari dalam hatinya akan memancar mata air yang memberikan hidup.’ ” ( 39Yesus berkata-kata tentang Roh Allah, yang akan diterima oleh orang yang percaya kepada-Nya. Pada masa itu, Roh Allah belum diberikan, kerana Yesus belum dipermuliakan melalui kematian dan kebangkitan-Nya.)
Orang Berpihak-pihak
40Beberapa orang yang mendengar kata-kata Yesus berkata, “Orang ini pasti Nabi itu!”
41Yang lain berkata, “Dia Penyelamat yang diutus oleh Allah!”
Tetapi yang lain pula berkata, “Penyelamat yang diutus oleh Allah tidak datang dari Galilea! 42 Di dalam Alkitab tertulis bahawa Penyelamat yang diutus oleh Allah itu keturunan Raja Daud dan akan dilahirkan di kota Betlehem tempat asal Raja Daud.” 43Akhirnya orang berpihak-pihak kerana Yesus. 44Beberapa orang hendak menangkap Dia, tetapi tidak seorang pun memegang-Nya.
Para Penguasa Yahudi Tidak Percaya
45Apabila pengawal-pengawal Rumah Tuhan yang disuruh pergi untuk menangkap Yesus datang kembali, ketua-ketua imam dan orang Farisi bertanya, “Mengapakah kamu tidak membawa dia ke mari?”
46Para pengawal itu menjawab, “Belum pernah seseorang berkata-kata seperti dia!”
47Orang Farisi di situ berkata, “Adakah dia menyesatkan kamu pula? 48Pernahkah kamu dengar seorang daripada penguasa kita atau orang Farisi yang percaya kepadanya? 49Orang ramai ini tidak mengenal Taurat Musa. Oleh itu terkutuklah mereka!”
50 Salah seorang Farisi di situ ialah Nikodemus. Dia pernah datang kepada Yesus. Nikodemus berkata kepada mereka, 51“Menurut Taurat, kita tidak boleh menghukum seseorang sebelum perkaranya didengar dan perbuatannya disiasat.”
52Mereka berkata, “Adakah kamu juga berasal dari Galilea? Kajilah Alkitab dan kamu akan tahu bahawa tidak ada nabi yang berasal dari Galilea?”

Terpilih Sekarang Ini:

YOHANES 7: BM

Highlight

Kongsi

Salin

None

Ingin menyimpan sorotan merentas semua peranti anda? Mendaftar atau log masuk

YouVersion menggunakan kuki untuk memperibadikan pengalaman anda. Dengan menggunakan laman web kami, anda menerima penggunaan kuki kami seperti yang diterangkan dalam Polisi Privasi kami