YOHANES 7:37-44
YOHANES 7:37-44 Alkitab Berita Baik (BM)
Pada hari terakhir perayaan itu, dan juga hari yang paling penting, Yesus berdiri lalu berkata dengan suara lantang, “Sesiapa yang dahaga hendaklah datang kepada-Ku untuk minum. Seperti yang tertulis di dalam Alkitab, ‘Sesiapa yang percaya kepada-Ku, dari dalam hatinya akan memancar mata air yang memberikan hidup.’ ” ( Yesus berkata-kata tentang Roh Allah, yang akan diterima oleh orang yang percaya kepada-Nya. Pada masa itu, Roh Allah belum diberikan, kerana Yesus belum dipermuliakan melalui kematian dan kebangkitan-Nya.) Beberapa orang yang mendengar kata-kata Yesus berkata, “Orang ini pasti Nabi itu!” Yang lain berkata, “Dia Penyelamat yang diutus oleh Allah!” Tetapi yang lain pula berkata, “Penyelamat yang diutus oleh Allah tidak datang dari Galilea! Di dalam Alkitab tertulis bahawa Penyelamat yang diutus oleh Allah itu keturunan Raja Daud dan akan dilahirkan di kota Betlehem tempat asal Raja Daud.” Akhirnya orang berpihak-pihak kerana Yesus. Beberapa orang hendak menangkap Dia, tetapi tidak seorang pun memegang-Nya.
YOHANES 7:37-44 Kitab Alkudus: Injil Isa Almasih 1866 (Keasberry) (KEAS)
¶ Kŭlakian maka pada hari yang akhir, iya itu hari raya yang tŭrbŭsar itu, maka bŭrdirilah Isa, sambil bŭrsru katanya, Jikalau barang siapa yang dahaga, maka handaklah iya datang kapadaku supaya bulih minum. Maka barang siapa yang pŭrchaya akan daku spŭrti yang tŭrsŭbut dalam kitab, bahwa deri dalam hatinya akan mŭngalir sungie sungie ayer yang hidop itu. Tŭtapi Isa bŭrkata akan pŭrkataan ini derihal Roh yang patut akan didapati ulih orang yang pŭrchaya akan dia, kŭrna tŭtkala itu Roh Alkudus bŭlom dibrikan, sŭbab Isa bŭlom mŭnŭrima kŭmuliaannya. ¶ Maka sŭbab itu banyaklah deripada orang orang itu apabila mŭnŭngar pŭrkataan itu bŭrkata, Bahwa dŭngan sŭbŭnarnya iya inilah nabi itu. Maka kata orang lain, Iya inilah Almasih. Tŭtapi kata pula sŭtŭngah orang, Adakah Almasih datang, kluar deri Galilia? Maka bukankah tŭrsŭbut dalam kitab, adapun Almasih itu tŭrbitnya deripada bŭnih Daud, dan deri dalam nŭgri Bethliham, iya itu tŭmpat Daud diam? Maka dŭngan hal yang dŭmkian jadilah pŭrsŭlisihan diantara marika itu sŭbab Isa. Maka ada sŭtŭngah deri pada marika itu handak mŭnangkap akan dia, tŭtapi sa’orang pun tiada mŭnaikkan tangan ka’atasnya.
YOHANES 7:37-44 Alkitab Versi Borneo (AVB)
Pada hari terakhir perayaan itu, iaitu hari yang terutama, Yesus berdiri lalu berkata dengan suara lantang, “Sesiapa yang dahaga, datanglah kepada-Ku untuk minum. Sebagaimana tersurat dalam Kitab Suci, ‘Sesiapa yang percaya kepada-Ku, dalam hatinya akan terpancar mata air yang memberi hidup.’ ” (Yang dimaksudkan oleh Yesus ialah Roh Kudus yang akan diterima kelak oleh orang yang percaya kepada-Nya. Pada masa itu Roh Kudus belum dikurniakan, kerana Yesus belum dimuliakan.) Sebilangan orang yang mendengar kata-kata Yesus berkata, “Sudah tentu orang inilah Nabi itu!” Ada pula yang berkata, “Dialah Kristus yang diutus oleh Allah.” Sebaliknya, ada yang berkata, “Kristus yang diutus oleh Allah bukan dari Galilea. Menurut Kitab Suci, Kristus yang diutus Allah itu keturunan Raja Daud dan akan dilahirkan di kota Betlehem, tempat asal Raja Daud.” Demikianlah mereka berbalah lalu berpihak-pihak kerana Yesus. Beberapa orang ingin menangkap-Nya, namun tiada siapa pun memegang-Nya.