YEREMIA 32:37-44

YEREMIA 32:37-44 Alkitab Berita Baik (BM)

Aku akan mengumpulkan bangsa ini dari semua negeri tempat Aku mencerai-beraikan mereka kerana kemurkaan dan kegeraman-Ku terhadap mereka. Aku akan membawa mereka kembali ke tempat ini dan membolehkan mereka tinggal di sini dengan selamat. Mereka akan menjadi umat-Ku, dan Aku menjadi Allah mereka. Aku akan memberi mereka satu tujuan hidup: untuk menghormati Aku sepanjang masa bagi kebaikan mereka sendiri dan keturunan mereka. Aku akan membuat perjanjian yang kekal dengan mereka. Aku tidak akan berhenti berbuat baik untuk mereka. Aku akan menyebabkan mereka takut dan hormat kepada-Ku dengan sepenuh hati supaya mereka tidak meninggalkan Aku. Dengan senang hati Aku akan berbuat baik kepada mereka, dan Aku akan membuat mereka menetap di negeri ini selama-lamanya. Sebagaimana Aku telah mendatangkan bencana kepada bangsa ini, begitu juga Aku akan memberi mereka semua yang baik, yang telah Kujanjikan. Orang berkata bahawa negeri ini akan menjadi seperti padang gurun yang tidak didiami oleh manusia dan binatang, dan negeri ini akan jatuh ke tangan orang Babilonia. Tetapi ladang-ladang di negeri ini akan dibeli orang lagi. Orang akan membeli ladang dan surat pembeliannya ditandatangani dan dimeterai di hadapan saksi-saksi. Hal itu akan berlaku di wilayah Benyamin, di pekan-pekan di sekitar Yerusalem, di kota-kota Yehuda, di kota-kota di kawasan perbukitan, di kawasan kaki bukit, dan di bahagian selatan Yehuda. Aku akan mengembalikan bangsa ini ke negeri mereka. Aku, TUHAN, telah berfirman.”

YEREMIA 32:37-44 Alkitab Versi Borneo (AVB)

Sesungguhnya, Aku akan mengumpulkan mereka dari segala negeri tempat Aku menghalau mereka dalam murka-Ku, kegusaran-Ku, dan amarah-Ku yang besar. Aku akan mengembalikan mereka ke tempat ini dan membuat mereka tinggal dengan aman. Mereka akan menjadi umat-Ku dan Aku akan menjadi Allah mereka. Aku akan mengurniakan kepada mereka satu hati dan satu jalan hidup sehingga mereka bertakwa kepada-Ku sepanjang masa demi kebaikan mereka dan keturunan mereka kelak. Aku akan mengikat perjanjian yang kekal dengan mereka, bahawa Aku tidak akan berhenti berbuat baik kepada mereka. Aku akan menaruh dalam hati mereka ketakwaan kepada-Ku supaya mereka tidak menjauh daripada-Ku. Aku akan berasa girang berbuat baik kepada mereka dan Aku akan menempatkan mereka di negeri ini dengan kesetiaan, dengan segenap hati-Ku dan dengan segenap jiwa-Ku. Beginilah firman TUHAN: Sebagaimana Aku telah mendatangkan bagi bangsa ini segala malapetaka yang besar itu, demikianlah Aku akan mendatangkan bagi mereka segala kebaikan yang telah Kujanjikan kepada mereka. Orang akan membeli ladang lagi di negeri ini, yang kamu katakan, ‘Tempat itu sunyi sepi, tanpa manusia dan haiwan. Tanah itu telah diserahkan ke dalam tangan orang Kasdim.’ Orang akan membeli ladang dengan perak, menandatangani surat pembelian, memateraikannya, dan mendatangkan para saksi di Tanah Benyamin, di tempat-tempat sekeliling Yerusalem, di kota-kota Yehuda, di kota-kota pergunungan, di kota-kota dataran rendah, dan di kota-kota Tanah Negeb, kerana Aku akan memulihkan keadaan mereka, demikianlah firman TUHAN.”

YouVersion menggunakan kuki untuk memperibadikan pengalaman anda. Dengan menggunakan laman web kami, anda menerima penggunaan kuki kami seperti yang diterangkan dalam Polisi Privasi kami