Yeremia 32:37-44

Yeremia 32:37-44 AVB

Sesungguhnya, Aku akan mengumpulkan mereka dari segala negeri tempat Aku menghalau mereka dalam murka-Ku, kegusaran-Ku, dan amarah-Ku yang besar. Aku akan mengembalikan mereka ke tempat ini dan membuat mereka tinggal dengan aman. Mereka akan menjadi umat-Ku dan Aku akan menjadi Allah mereka. Aku akan mengurniakan kepada mereka satu hati dan satu jalan hidup sehingga mereka bertakwa kepada-Ku sepanjang masa demi kebaikan mereka dan keturunan mereka kelak. Aku akan mengikat perjanjian yang kekal dengan mereka, bahawa Aku tidak akan berhenti berbuat baik kepada mereka. Aku akan menaruh dalam hati mereka ketakwaan kepada-Ku supaya mereka tidak menjauh daripada-Ku. Aku akan berasa girang berbuat baik kepada mereka dan Aku akan menempatkan mereka di negeri ini dengan kesetiaan, dengan segenap hati-Ku dan dengan segenap jiwa-Ku. Beginilah firman TUHAN: Sebagaimana Aku telah mendatangkan bagi bangsa ini segala malapetaka yang besar itu, demikianlah Aku akan mendatangkan bagi mereka segala kebaikan yang telah Kujanjikan kepada mereka. Orang akan membeli ladang lagi di negeri ini, yang kamu katakan, ‘Tempat itu sunyi sepi, tanpa manusia dan haiwan. Tanah itu telah diserahkan ke dalam tangan orang Kasdim.’ Orang akan membeli ladang dengan perak, menandatangani surat pembelian, memateraikannya, dan mendatangkan para saksi di Tanah Benyamin, di tempat-tempat sekeliling Yerusalem, di kota-kota Yehuda, di kota-kota pergunungan, di kota-kota dataran rendah, dan di kota-kota Tanah Negeb, kerana Aku akan memulihkan keadaan mereka, demikianlah firman TUHAN.”

YouVersion menggunakan kuki untuk memperibadikan pengalaman anda. Dengan menggunakan laman web kami, anda menerima penggunaan kuki kami seperti yang diterangkan dalam Polisi Privasi kami