YEREMIA 31:3-9 - Compare All Versions
YEREMIA 31:3-9 BM (Alkitab Berita Baik)
dari jauh Aku menampakkan diri kepada mereka. Hai umat Israel, sejak dahulu Aku selalu mengasihi kamu, dan untuk seterusnya Aku akan menunjukkan bahawa Aku selalu mengasihi kamu. Aku akan mengukuhkan kedudukan kamu semula. Sekali lagi kamu akan mengambil tamburin dan menari dengan gembira. Kamu akan membuka ladang anggur di perbukitan Samaria, dan orang yang menanam anggur akan menikmati hasilnya. Sesungguhnya, akan tiba masanya apabila para pengawal kota berseru di perbukitan Efraim, ‘Mari kita naik ke Sion, kepada TUHAN, Allah kita.’ ” TUHAN berfirman, “Bernyanyilah dengan gembira bagi Israel, bangsa yang terutama antara semua bangsa. Nyanyikanlah lagu pujian, ‘TUHAN telah menyelamatkan umat-Nya; Dia telah menyelamatkan semua orang yang masih tinggal.’ Dari utara Aku membawa mereka kembali, Aku mengumpulkan mereka dari hujung bumi. Orang buta dan orang lumpuh akan mengikut mereka, begitu juga wanita hamil dan mereka yang hampir bersalin. Mereka akan kembali sebagai bangsa yang besar. Sambil menangis umat-Ku akan kembali, mereka berdoa semasa Aku memimpin mereka pulang. Aku memimpin mereka ke anak-anak sungai, melalui jalan rata supaya mereka tidak tersandung. Aku seperti seorang bapa kepada Israel, Efraim ialah anak-Ku yang sulung.”
YEREMIA 31:3-9 AVB (Alkitab Versi Borneo)
TUHAN menampakkan diri kepadaku dari jauh, firman-Nya: “Aku mengasihi engkau dengan kasih yang kekal, sebab itu Aku menuntun engkau dengan kasih abadi. Aku akan membangunkan engkau kembali, sehingga engkau dibangunkan, wahai perawan Israel. Engkau akan menghias diri kembali dengan rebana dan akan tampil dalam tari-tarian orang yang bersuka ria. Engkau akan menanam kebun anggur kembali di gunung-gunung Samaria. Para penanam akan menanam dan akan menikmati hasilnya. Sungguh, akan datang harinya ketika para penjaga berseru di Pergunungan Efraim, ‘Mari kita pergi ke Sion, menghadap TUHAN, Allah kita.’ ” Beginilah firman TUHAN, “Bersorak-sorailah dengan gembira bagi Yakub, bersoraklah kerana pemimpin bangsa-bangsa. Khabarkanlah, sanjunglah, dan katakanlah, ‘Ya TUHAN, selamatkanlah umat-Mu, iaitu saki-baki orang Israel.’ Sesungguhnya, Aku akan membawa mereka dari tanah utara dan akan mengumpulkan mereka dari hujung-hujung bumi. Antara mereka ada orang buta dan orang tempang, ada perempuan yang mengandung dan juga yang baru bersalin. Suatu kumpulan yang besar akan kembali ke mari! Mereka akan datang sambil menangis, mereka akan berdoa selagi Aku membawa mereka. Aku akan memimpin mereka ke tepi perairan serta di jalan yang rata, tempat mereka tidak akan tersandung, kerana Akulah bapa bagi Israel, dan Efraim ialah anak-Ku yang sulung.