Yeremia 31:3-9
Yeremia 31:3-9 AVB
TUHAN menampakkan diri kepadaku dari jauh, firman-Nya: “Aku mengasihi engkau dengan kasih yang kekal, sebab itu Aku menuntun engkau dengan kasih abadi. Aku akan membangunkan engkau kembali, sehingga engkau dibangunkan, wahai perawan Israel. Engkau akan menghias diri kembali dengan rebana dan akan tampil dalam tari-tarian orang yang bersuka ria. Engkau akan menanam kebun anggur kembali di gunung-gunung Samaria. Para penanam akan menanam dan akan menikmati hasilnya. Sungguh, akan datang harinya ketika para penjaga berseru di Pergunungan Efraim, ‘Mari kita pergi ke Sion, menghadap TUHAN, Allah kita.’ ” Beginilah firman TUHAN, “Bersorak-sorailah dengan gembira bagi Yakub, bersoraklah kerana pemimpin bangsa-bangsa. Khabarkanlah, sanjunglah, dan katakanlah, ‘Ya TUHAN, selamatkanlah umat-Mu, iaitu saki-baki orang Israel.’ Sesungguhnya, Aku akan membawa mereka dari tanah utara dan akan mengumpulkan mereka dari hujung-hujung bumi. Antara mereka ada orang buta dan orang tempang, ada perempuan yang mengandung dan juga yang baru bersalin. Suatu kumpulan yang besar akan kembali ke mari! Mereka akan datang sambil menangis, mereka akan berdoa selagi Aku membawa mereka. Aku akan memimpin mereka ke tepi perairan serta di jalan yang rata, tempat mereka tidak akan tersandung, kerana Akulah bapa bagi Israel, dan Efraim ialah anak-Ku yang sulung.







