HAKIM-HAKIM 6:36-40 - Compare All Versions
HAKIM-HAKIM 6:36-40 BM (Alkitab Berita Baik)
Kemudian Gideon berkata kepada Allah, “Engkau telah berfirman bahawa Engkau akan menggunakan aku untuk membebaskan umat Israel. Sekarang aku meletakkan guntingan bulu domba ini di atas tanah tempat kami mengirik gandum. Jika esok pagi embun hanya terdapat pada guntingan bulu domba ini dan tidak terdapat di atas tanah, maka itulah buktinya bahawa sesungguhnya Engkau mahu menggunakan aku untuk membebaskan umat Israel.” Esok paginya, perkara itu benar-benar terjadi. Apabila Gideon bangun pagi-pagi, dia memeras guntingan bulu domba itu dan mendapat air embun sebanyak satu cawan. Kemudian Gideon berkata kepada Allah, “Janganlah murka kepadaku; benarkanlah aku berkata satu kali lagi. Benarkanlah aku membuat satu ujian lagi dengan guntingan bulu itu. Kali ini biarlah guntingan bulu domba itu kering, tetapi tanah basah.” Pada malam itu Allah mengabulkan permintaan Gideon. Esok paginya guntingan bulu domba itu kering, tetapi tanah dibasahi embun.
HAKIM-HAKIM 6:36-40 AVB (Alkitab Versi Borneo)
Kemudian Gideon berkata kepada Allah, “Jika Engkau mahu menyelamatkan orang Israel dengan perantaraanku, seperti yang Kaufirmankan itu, aku akan membentangkan bulu domba di tempat pembantingan; apabila embun hanya ada di atas bulu domba itu walhal seluruh tanah di situ kekal kering, tahulah aku bahawa Engkau mahu menyelamatkan orang Israel dengan perantaraanku, seperti yang Kaufirmankan.” Dan demikianlah terjadi. Keesokan harinya pagi-pagi dia bangun dan memerah bulu domba dan semangkuk penuh air embun dapat diperahnya daripada bulu domba itu. Gideon pun berkata kepada Allah, “Semoga tidak berbangkit kemurkaan-Mu terhadap aku apabila aku berkata sekali lagi sahaja; biarkanlah aku sekali lagi sahaja menguji bulu domba ini, kali ini semoga kekeringan hanya pada bulu domba ini sedangkan ada embun di atas seluruh tanah itu.” Demikianlah Allah lakukan pada malam itu tatkala hanya bulu domba itu yang kering walhal embun berada di atas seluruh tanah itu.