Hakim-Hakim 6:36-40
Hakim-Hakim 6:36-40 AVB
Kemudian Gideon berkata kepada Allah, “Jika Engkau mahu menyelamatkan orang Israel dengan perantaraanku, seperti yang Kaufirmankan itu, aku akan membentangkan bulu domba di tempat pembantingan; apabila embun hanya ada di atas bulu domba itu walhal seluruh tanah di situ kekal kering, tahulah aku bahawa Engkau mahu menyelamatkan orang Israel dengan perantaraanku, seperti yang Kaufirmankan.” Dan demikianlah terjadi. Keesokan harinya pagi-pagi dia bangun dan memerah bulu domba dan semangkuk penuh air embun dapat diperahnya daripada bulu domba itu. Gideon pun berkata kepada Allah, “Semoga tidak berbangkit kemurkaan-Mu terhadap aku apabila aku berkata sekali lagi sahaja; biarkanlah aku sekali lagi sahaja menguji bulu domba ini, kali ini semoga kekeringan hanya pada bulu domba ini sedangkan ada embun di atas seluruh tanah itu.” Demikianlah Allah lakukan pada malam itu tatkala hanya bulu domba itu yang kering walhal embun berada di atas seluruh tanah itu.

