YESAYA 26:1-13

YESAYA 26:1-13 Alkitab Versi Borneo (AVB)

Pada waktu itu lantunan pujian ini akan dikumandangkan di Tanah Yehuda: “Kita mempunyai kota yang kuat. Keselamatan didirikan-Nya sebagai tembok dan benteng. Bukalah pintu-pintu gerbang, supaya masuk bangsa yang benar, yang berpegang teguh pada kesetiaan! Engkau akan menjaga orang yang tekadnya teguh dengan damai yang sempurna kerana dia percaya kepada-Mu. Percayalah kepada TUHAN untuk selama-lamanya, kerana TUHAN ALLAH sajalah, batu pejal yang kekal. Dia menundukkan penduduk tempat tinggi, Dia merendahkan kota yang menjulang. Direndahkan-Nya kota itu sampai ke tanah, dan diratakan-Nya dengan debu. Kaki orang menginjak-injaknya — kaki orang yang tertindas, telapak kaki orang miskin.” Jalan orang benar itu lurus. Engkau, Yang Maha Tulus, meratakan jalan orang benar. Juga di jalan keadilan-Mu, ya TUHAN, kami menantikan Engkau. Nama-Mu dan kemasyhuran-Mu sememangnya kesukaan hati kami. Hatiku merindukan Engkau pada malam hari, bahkan roh di dalam diriku mencari hadirat-Mu pada pagi hari. Apabila keadilan-Mu berlaku di bumi, maka penduduk dunia akan belajar tentang perbenaran. Sekalipun orang fasiq dikasihani, dia tidak belajar tentang perbenaran. Di negeri orang jujur pun dia berlaku zalim dan tidak mahu memandang keagungan TUHAN. Ya TUHAN, tangan-Mu terangkat untuk menghukum, tetapi mereka tidak melihatnya. Biarlah mereka melihat semangat-Mu yang meluap-luap bagi umat-Mu sehingga mereka malu. Ya, biarlah api bagi lawan-lawan-Mu melahap mereka. Ya TUHAN, Engkau akan menetapkan kesejahteraan bagi kami, kerana Engkau juga yang telah melakukan segala pekerjaan kami bagi kami. Ya TUHAN, Allah kami, selain Engkau tuan-tuan lain pernah menguasai kami, tetapi nama-Mu sahaja yang kami masyhurkan.

YESAYA 26:1-13 Alkitab Berita Baik (BM)

Masanya akan tiba apabila orang menyanyikan lagu ini di tanah Yehuda: Kota kita kuat! Allah yang membela temboknya! Bukalah pintu-pintu gerbang kota, supaya masuk bangsa-bangsa yang setia, yang rakyatnya melakukan kehendak Allah. Engkau, TUHAN, memberikan kedamaian dan kesejahteraan kepada orang yang teguh hati, kerana mereka percaya kepada-Mu. Percayalah kepada TUHAN selama-lamanya; Dia akan sentiasa melindungi kita. Dia telah merendahkan orang yang sombong; Dia memusnahkan kota kukuh yang didiami mereka, dan meruntuhkan temboknya sehingga rata dengan tanah. Orang yang miskin dan sengsara akan memijak-mijaknya. Jalan yang ditempuh orang baik itu lurus, kerana Engkau, TUHAN, meluruskannya bagi mereka. Kami menurut kehendak-Mu dan berharap kepada-Mu; hanya Engkau yang kami rindui. Jiwaku merindukan Engkau pada waktu malam; aku mencari Engkau dengan segenap hati. Apabila Engkau menghakimi bumi kelak, penduduknya akan mengetahui makna keadilan. Walaupun orang jahat diperlakukan dengan baik, namun mereka tidak juga berbuat yang adil. Bahkan di negeri umat yang jujur, mereka tetap berlaku curang, dan tidak mengakui keagungan-Mu. Musuh-Mu tidak tahu bahawa Engkau akan menghukum mereka. Ya TUHAN, permalukanlah mereka, dan biarlah mereka menderita. Biarlah mereka menanggung hukuman yang Engkau sediakan bagi mereka. Biarlah mereka melihat betapa besarnya kasih-Mu bagi umat-Mu. Ya TUHAN, Engkau akan menjadikan kami makmur; segala yang kami capai itu adalah hasil perbuatan-Mu bagi kami. Ya TUHAN, Allah kami, kami pernah dikuasai orang lain, tetapi hanya Engkaulah TUHAN kami.

YouVersion menggunakan kuki untuk memperibadikan pengalaman anda. Dengan menggunakan laman web kami, anda menerima penggunaan kuki kami seperti yang diterangkan dalam Polisi Privasi kami