Yesaya 26:1-13

Yesaya 26:1-13 AVB

Pada waktu itu lantunan pujian ini akan dikumandangkan di Tanah Yehuda: “Kita mempunyai kota yang kuat. Keselamatan didirikan-Nya sebagai tembok dan benteng. Bukalah pintu-pintu gerbang, supaya masuk bangsa yang benar, yang berpegang teguh pada kesetiaan! Engkau akan menjaga orang yang tekadnya teguh dengan damai yang sempurna kerana dia percaya kepada-Mu. Percayalah kepada TUHAN untuk selama-lamanya, kerana TUHAN ALLAH sajalah, batu pejal yang kekal. Dia menundukkan penduduk tempat tinggi, Dia merendahkan kota yang menjulang. Direndahkan-Nya kota itu sampai ke tanah, dan diratakan-Nya dengan debu. Kaki orang menginjak-injaknya — kaki orang yang tertindas, telapak kaki orang miskin.” Jalan orang benar itu lurus. Engkau, Yang Maha Tulus, meratakan jalan orang benar. Juga di jalan keadilan-Mu, ya TUHAN, kami menantikan Engkau. Nama-Mu dan kemasyhuran-Mu sememangnya kesukaan hati kami. Hatiku merindukan Engkau pada malam hari, bahkan roh di dalam diriku mencari hadirat-Mu pada pagi hari. Apabila keadilan-Mu berlaku di bumi, maka penduduk dunia akan belajar tentang perbenaran. Sekalipun orang fasiq dikasihani, dia tidak belajar tentang perbenaran. Di negeri orang jujur pun dia berlaku zalim dan tidak mahu memandang keagungan TUHAN. Ya TUHAN, tangan-Mu terangkat untuk menghukum, tetapi mereka tidak melihatnya. Biarlah mereka melihat semangat-Mu yang meluap-luap bagi umat-Mu sehingga mereka malu. Ya, biarlah api bagi lawan-lawan-Mu melahap mereka. Ya TUHAN, Engkau akan menetapkan kesejahteraan bagi kami, kerana Engkau juga yang telah melakukan segala pekerjaan kami bagi kami. Ya TUHAN, Allah kami, selain Engkau tuan-tuan lain pernah menguasai kami, tetapi nama-Mu sahaja yang kami masyhurkan.

YouVersion menggunakan kuki untuk memperibadikan pengalaman anda. Dengan menggunakan laman web kami, anda menerima penggunaan kuki kami seperti yang diterangkan dalam Polisi Privasi kami