YESAYA 1:2-20 - Compare All Versions

YESAYA 1:2-20 BM (Alkitab Berita Baik)

TUHAN berfirman, “Hai langit dan bumi, dengarlah firman-Ku! Anak-anak yang Aku besarkan telah memberontak terhadap Aku. Lembu kenal akan pemiliknya, dan keldai pun tahu akan tempat makanan yang disediakan oleh tuannya, tetapi umat-Ku Israel tidak tahu. Mereka tidak memahaminya sama sekali!” Alangkah malangnya kamu, hai bangsa yang berdosa, hai kaum yang keji dan jahat! Dosa kamu telah menjerumuskan kamu! Kamu telah menolak TUHAN, Allah yang suci, Allah Israel dan kamu telah meninggalkan Dia. Mengapa kamu terus memberontak? Adakah kamu mahu dihukum dengan lebih dahsyat lagi? Hai Israel, kepalamu sudah penuh dengan luka. Hati dan fikiranmu tidak sihat. Dari kepala sampai telapak kaki, tiada sebahagian pun tubuhmu yang sihat. Tubuhmu diliputi lebam, kudis, dan luka, yang belum dibersihkan atau dibalut, ataupun diubati dengan minyak. Negeri kamu sudah dimusnahkan dan kota-kota kamu sudah dibakar habis. Di depan mata kamu, orang bangsa asing merampas tanah kamu dan memusnahkan segala-galanya. Hanya Yerusalem yang tinggal. Kota itu pun telah dikepung dan tidak berdaya seperti pondok di tengah-tengah ladang anggur atau sebuah gubuk di kebun timun. Jika TUHAN Yang Maha Kuasa tidak membenarkan beberapa orang hidup, Yerusalem sudah pun musnah sama sekali seperti Sodom dan Gomora dahulu. Hai Yerusalem, pemimpin dan rakyat kamu sama seperti orang Sodom dan Gomora. Dengarlah firman TUHAN kepada kamu. Perhatikanlah ajaran Allah kita. TUHAN berfirman, “Jangan berfikir bahawa Aku mahu segala korban yang terus-menerus kamu persembahkan kepada-Ku! Aku sudah bosan dengan domba yang kamu persembahkan sebagai korban untuk menyenangkan hati-Ku, dan lemak binatang yang digemukkan. Aku jemu dengan darah lembu jantan, domba, dan kambing. Siapakah yang menyuruh kamu membawa semua itu apabila kamu datang beribadat kepada-Ku? Jangan pijak halaman Rumah-Ku lagi. Sia-sia sahaja kamu membawa persembahan kamu. Aku muak dengan bau kemenyan yang kamu bakar. Aku tidak tahan lagi melihat kamu merayakan Bulan Baru, hari Sabat, dan pertemuan keagamaan kamu. Semuanya telah dinajiskan oleh dosa kamu. Aku benci akan perayaan Bulan Baru dan hari-hari suci itu, yang menjadi beban bagi-Ku, dan Aku lelah memikulnya. Apabila kamu mengangkat tangan untuk berdoa, Aku tidak akan memperhatikan kamu. Walaupun berapa banyak kali kamu berdoa, Aku tidak akan mendengarnya, kerana tangan kamu telah banyak kali melakukan pembunuhan. Bersihkanlah diri kamu. Hentikanlah segala kejahatan yang kamu lakukan di depan Aku. Jangan berbuat jahat lagi, melainkan belajarlah berbuat baik. Lakukanlah yang adil: tolonglah mereka yang tertindas, berikanlah hak kepada anak yatim piatu, dan belalah perkara para balu.” TUHAN berfirman, “Marilah kita selesaikan perkara ini. Walaupun kamu merah marak kerana dosa kamu, Aku akan mencuci kamu sehingga menjadi putih seperti salji. Walaupun dosa kamu banyak dan berat, kamu akan Aku ampuni sepenuhnya. Jika kamu mahu taat kepada-Ku, kamu akan menikmati hasil tanah kamu. Tetapi jika kamu melawan Aku, kamu pasti mati. Aku, TUHAN telah berfirman.”

YESAYA 1:2-20 AVB (Alkitab Versi Borneo)

Dengarlah, wahai langit, dan perhatikanlah, wahai bumi, kerana TUHAN berfirman, “Aku telah membesarkan anak-anak dan mengasuh mereka, tetapi mereka menderhaka terhadap Aku. Lembu mengenal pemiliknya dan keldai mengenal tuan pemilik kandangnya, tetapi Israel tidak tahu; umat-Ku tidak faham.” Wahai bangsa yang berdosa, umat yang sarat dengan kesalahan, keturunan yang berbuat jahat, anak-anak yang telah runtuh akhlak! Mereka meninggalkan TUHAN, menista Yang Maha Suci, Allah Israel, dan berpaling membelakangi Dia. Mengapa kamu mahu dipalu lagi? Mengapa kamu terus memberontak? Seluruh kepala sakit dan sudah sebegitu jerih seluruh hatimu. Dari telapak kaki sampai kepala tidak ada yang sihat, hanya luka, bilur, dan cedera baru yang belum diurut, belum dibalut, dan belum diubati dengan minyak. Negerimu menjadi sunyi sepi, kota-kotamu terbakar hangus. Tanahmu dimakan habis orang asing di hadapan matamu. Sunyi sepi, seperti ditunggangbalikkan oleh orang asing. Puteri Sion ditinggalkan seperti pondok di kebun anggur, seperti gubuk di kebun mentimun, dan seperti kota yang terkepung. Jika TUHAN alam semesta, tidak meninggalkan beberapa orang yang terselamat bagi kita, tentu kita sudah menjadi seperti Sodom dan tentu kita seperti Gomora. Dengarlah firman TUHAN, wahai para pemimpin Sodom! Perhatikanlah hukum Allah kita, wahai penduduk Gomora! “Apakah ertinya bagi-Ku korban sembelihanmu yang banyak itu?” demikianlah firman TUHAN. “Aku jemu dengan korban bakaran berupa domba jantan dan lemak daripada ternakan yang tambun. Aku tidak berkenan kepada darah lembu, domba, dan kambing jantan. Apabila kamu datang menghadap hadirat-Ku, siapakah yang menuntut hal itu daripadamu sehingga kamu menginjak-injak halaman rumah-Ku? Jangan lagi membawa persembahan yang sia-sia. Dupamu itu keji bagi-Ku, begitu pula perayaan bulan baru, hari Sabat, dan penghimpunan jemaahmu. Aku tidak mahu terus melihat perayaanmu yang bergelumang dengan dosa itu. Hati-Ku membenci perayaan bulan-bulan baru dan hari-hari perayaanmu. Semua itu menyusahkan bagi-Ku, Aku tidak boleh bersabar lagi. Apabila kamu menadahkan tanganmu untuk berdoa, Aku akan mengalihkan pandangan-Ku daripadamu. Bahkan sekalipun kamu menggandakan doamu, Aku tidak mahu mendengar. Tanganmu berlumuran darah. Basuhlah, bersihkanlah dirimu! Jauhkanlah perbuatanmu yang jahat daripada pandangan-Ku. Berhentilah berbuat jahat, belajarlah berbuat baik. Tuntutlah keadilan, tegurlah orang yang zalim. Belalah hak anak-anak yatim, perjuangkanlah hak-hak balu. Marilah kita berperkara,” demikianlah firman TUHAN. “Sekalipun dosa-dosamu seperti kain merah tua, semuanya akan menjadi putih seperti salji; sekalipun merah seperti kesumba, semuanya akan menjadi seperti bulu domba. Jika kamu ikhlas dan taat, kamu akan memakan hasil yang baik dari negeri ini. Tetapi jika kamu menolak dan menderhaka, kamu akan dimakan habis oleh pedang.” Sungguh, TUHAN sendiri telah berfirman.