Yesaya 1

1
1 # 2Raj 15:1-7; 2Taw 26:1-23. 2Raj 15:32-38; 2Taw 27:1-9. 2Raj 16:1-20; 2Taw 28:1-27. 2Raj 18:1—20:21; 2Taw 29:1—32:33. Penglihatan tentang Yehuda dan Yerusalem yang disaksikan Yesaya anak Amos pada zaman pemerintahan Uzia, Yotam, Ahas, dan Hizkia, raja-raja Yehuda.
Pengaduan tentang bangsa yang tidak setia
2Dengarlah, wahai langit, dan perhatikanlah, wahai bumi,
kerana TUHAN berfirman,
“Aku telah membesarkan anak-anak dan mengasuh mereka,
tetapi mereka menderhaka terhadap Aku.
3Lembu mengenal pemiliknya
dan keldai mengenal tuan pemilik kandangnya,
tetapi Israel tidak tahu;
umat-Ku tidak faham.”
4Wahai bangsa yang berdosa,
umat yang sarat dengan kesalahan,
keturunan yang berbuat jahat,
anak-anak yang telah runtuh akhlak!
Mereka meninggalkan TUHAN,
menista Yang Maha Suci, Allah Israel, dan berpaling membelakangi Dia.
5Mengapa kamu mahu dipalu lagi?
Mengapa kamu terus memberontak?
Seluruh kepala sakit dan sudah sebegitu jerih seluruh hatimu.
6Dari telapak kaki sampai kepala tidak ada yang sihat,
hanya luka, bilur, dan cedera baru yang belum diurut,
belum dibalut, dan belum diubati dengan minyak.
7Negerimu menjadi sunyi sepi,
kota-kotamu terbakar hangus.
Tanahmu dimakan habis orang asing di hadapan matamu.
Sunyi sepi, seperti ditunggangbalikkan oleh orang asing.
8Puteri Sion ditinggalkan
seperti pondok di kebun anggur,
seperti gubuk di kebun mentimun,
dan seperti kota yang terkepung.
9 # Kej 19:24; Rm 9:29. Jika TUHAN alam semesta,
tidak meninggalkan beberapa orang yang terselamat bagi kita,
tentu kita sudah menjadi seperti Sodom dan tentu kita seperti Gomora.
Bertaubat lebih baik daripada mempersembahkan korban
10Dengarlah firman TUHAN,
wahai para pemimpin Sodom!
Perhatikanlah hukum Allah kita,
wahai penduduk Gomora!
11 # Am 5:21,22. “Apakah ertinya bagi-Ku korban sembelihanmu yang banyak itu?” demikianlah firman TUHAN.
“Aku jemu dengan korban bakaran berupa domba jantan dan lemak daripada ternakan yang tambun.
Aku tidak berkenan kepada darah lembu, domba, dan kambing jantan.
12Apabila kamu datang menghadap hadirat-Ku,
siapakah yang menuntut hal itu daripadamu sehingga kamu menginjak-injak halaman rumah-Ku?
13Jangan lagi membawa persembahan yang sia-sia.
Dupamu itu keji bagi-Ku,
begitu pula perayaan bulan baru, hari Sabat, dan penghimpunan jemaahmu.
Aku tidak mahu terus melihat perayaanmu yang bergelumang dengan dosa itu.
14Hati-Ku membenci perayaan bulan-bulan baru dan hari-hari perayaanmu.
Semua itu menyusahkan bagi-Ku,
Aku tidak boleh bersabar lagi.
15Apabila kamu menadahkan tanganmu untuk berdoa,
Aku akan mengalihkan pandangan-Ku daripadamu.
Bahkan sekalipun kamu menggandakan doamu,
Aku tidak mahu mendengar.
Tanganmu berlumuran darah.
16Basuhlah, bersihkanlah dirimu!
Jauhkanlah perbuatanmu yang jahat daripada pandangan-Ku.
Berhentilah berbuat jahat,
17belajarlah berbuat baik.
Tuntutlah keadilan,
tegurlah orang yang zalim.
Belalah hak anak-anak yatim,
perjuangkanlah hak-hak balu.
18Marilah kita berperkara,”
demikianlah firman TUHAN.
“Sekalipun dosa-dosamu seperti kain merah tua,
semuanya akan menjadi putih seperti salji;
sekalipun merah seperti kesumba,
semuanya akan menjadi seperti bulu domba.
19Jika kamu ikhlas dan taat,
kamu akan memakan hasil yang baik dari negeri ini.
20Tetapi jika kamu menolak dan menderhaka,
kamu akan dimakan habis oleh pedang.”
Sungguh, TUHAN sendiri telah berfirman.
Hukuman terhadap Yerusalem
21Betapa kota yang dahulu setia telah menjadi sundal!
Dahulu penuh keadilan, perbenaran#1:21 Perbenaran: Juga merangkumi makna kejujuran dan ketulusan. tinggal di dalamnya,
tetapi sekarang menjadi tempat pembunuh.
22Perakmu telah berubah menjadi kotoran perak,
anggurmu bercampur air.
23Para penguasamu ialah pemberontak
dan sahabat para pencuri.
Semuanya mencintai rasuah
dan mengejar-ngejar ganjaran.
Mereka tidak membela hak anak-anak yatim,
dan perkara balu tidak sampai kepada mereka.
24Oleh sebab itu demikianlah firman Tuhan, TUHAN alam semesta,
Yang Maha Kuasa, Allah Israel,
“Ha, Aku akan melampiaskan dendam-Ku kepada seteru-Ku
dan melakukan pembalasan terhadap musuh-Ku.
25Aku akan bertindak melawan engkau.
Aku akan membersihkan kotoran perakmu dengan garam abu
dan menyingkirkan segala timahmu.
26Aku akan mengembalikan para hakimmu seperti dahulu dan para penasihatmu seperti semula.
Setelah itu, engkau akan disebut kota yang benar, kota yang setia.”
27Sion akan ditebus dengan keadilan,
dan para umatnya yang bertaubat dengan perbenaran.
28Tetapi kalangan yang mungkar dan yang berdosa akan dihancurkan bersama-sama,
dan kalangan yang meninggalkan TUHAN akan musnah.
29Sesungguhnya, kamu akan malu kerana pokok oak yang kamu inginkan.
Kamu akan mendapat cela kerana taman-taman berhala yang kamu pilih.
30Kerana kamu akan menjadi seperti pokok oak yang layu daunnya,
dan seperti taman yang tidak berair.
31Yang kuat akan menjadi seperti helaian rami,
sedangkan hasil kerjanya seperti bunga api.
Kedua-duanya akan terbakar bersama-sama,
tanpa ada yang dapat memadamkannya.

Terpilih Sekarang Ini:

Yesaya 1: AVB

Highlight

Kongsi

Salin

None

Ingin menyimpan sorotan merentas semua peranti anda? Mendaftar atau log masuk

YouVersion menggunakan kuki untuk memperibadikan pengalaman anda. Dengan menggunakan laman web kami, anda menerima penggunaan kuki kami seperti yang diterangkan dalam Polisi Privasi kami