IBRANI 8:6-13

IBRANI 8:6-13 Alkitab Berita Baik (BM)

Tetapi sekarang Yesus diberikan tugas imam yang jauh lebih mulia daripada yang dijalankan imam-imam itu, kerana perjanjian yang diadakan-Nya antara Allah dengan manusia adalah lebih baik. Perjanjian itu berdasarkan janji tentang perkara-perkara yang lebih baik. Andaikata tidak ada kekurangan pada perjanjian pertama, maka tidak perlu diadakan perjanjian kedua. Tetapi Allah mendapati kesalahan umat-Nya, ketika Dia mencela mereka, “Masanya akan tiba, firman Tuhan, apabila Aku akan mengadakan perjanjian baru dengan umat Israel, dan dengan umat Yehuda. Perjanjian itu tidak seperti perjanjian yang Aku buat dengan nenek moyang mereka, pada masa Aku membimbing mereka keluar dari negeri Mesir. Mereka tidak setia kepada perjanjian yang Aku buat dengan mereka, itulah sebabnya Aku tidak mempedulikan mereka. Tetapi sekarang, inilah perjanjian yang akan Aku buat dengan umat Israel pada masa akan datang, firman Tuhan: Aku akan menanamkan hukum-Ku di dalam fikiran mereka, dan menuliskannya di dalam hati mereka. Aku akan menjadi Allah mereka, dan mereka akan menjadi umat-Ku. Tidak seorang pun perlu mengajar sesama wargakota, atau memberitahu sesama suku, ‘Kenallah akan Tuhan.’ Mereka semua akan mengenal Aku, daripada yang terkecil sehingga yang terbesar. Aku akan mengampunkan kesalahan mereka, dan tidak mengingat lagi dosa mereka.” Oleh sebab Allah berfirman tentang perjanjian baru, Dia menjadikan perjanjian pertama itu lama. Apa sahaja yang menjadi lama dan usang, akan segera lenyap.

IBRANI 8:6-13 Kitab Alkudus: Injil Isa Almasih 1866 (Keasberry) (KEAS)

Tŭtapi skarang Isa itu tŭlah bŭrulih jawatan yang tŭrlebih indah, brapa pula lagi iya mŭnjadi pŭngantara waad yang tŭrlebih baik, iya itu yang ditŭtapkan atas pŭrjanjian pŭrjanjian yang tŭrlebih baik adanya. Kŭrna jikalau waad yang pŭrtama itu tiada barang kachŭlaannya, nŭschaya tiadalah bŭrtŭmpat akan dicharikan bagie waad yang kadua itu. Kŭrna tŭtkala iya mŭnyalahkan waad yang pŭrtama itu, katanya, Lihatlah suatu hari akan datang kŭlak, tŭtkala aku akan mŭndirikan waad yang bahru itu kapada isi rumah Israil, dan isi rumah Yahuda: Bukannya spŭrti waad yang tŭlah kudirikan kapada nenek moyang marika itu pada hari tŭtkala kupimpin tangannya akan mŭnghantarkan dia kluar deri bŭnua Masir; sŭbab marika itu tiada tinggal tŭtap dalam waadku itu, maka tiadalah kuindahkan marika itu lagi, fŭrman Tuhan. Kŭrna inilah waad yang handak kudirikan kapada isi rumah Israil, kumdian deripada zaman itu, bŭrfŭrman Tuhan; Adapun aku akan mŭmbubohkan hukum hukumku dalam ingatannya, dan mŭnyuratkan dia dalam hatinya, dan aku akan mŭnjadi Allah bagie marika itu, dan marika itu pun akan mŭnjadi kaum bagieku. Dan tiadalah marika itu akan mŭngajar ajarkan masing masing sa’orang akan orang sa’kampongnya, lagi masing masing sa’orang akan saudaranya, katanya, Kŭtahuilah ulihmu akan Tuhan; kŭrna sŭmuanya akan mŭngŭnal aku, deripada yang tŭrkŭchil sampie kapada yang tŭrbŭsar Kŭrna aku akan mŭngasihani kasalahannya, dan dosa dosa, dan kŭjahatannya tiadalah aku ingat lagi. Adapun sŭbab iya bŭrkata, waad yang bahru itu, maka dijadikannya yang mula mula itu lama, Maka skarang yang burok dan lama itu iya itu hampir akan raib adanya.

IBRANI 8:6-13 Alkitab Versi Borneo (AVB)

Tetapi sekarang Dia telah mendapat jawatan yang lebih tinggi, kerana Dia juga menjadi Pengantara bagi perjanjian yang lebih baik, yang diasaskan pada janji-janji yang lebih baik. Andainya perjanjian pertama itu tidak bercela, tidaklah perlu diadakan perjanjian lagi. Tetapi Allah telah mendapati mereka bercela lalu berfirman: “Lihatlah, akan tiba harinya, firman Tuhan, apabila Aku membuat perjanjian baru dengan keturunan kaum Israel dan dengan keturunan kaum Yehuda — tidak seperti perjanjian yang telah Kubuat dengan nenek moyang mereka ketika Aku membimbing tangan mereka untuk membawa mereka keluar dari Tanah Mesir, kerana mereka tidak terus-menerus memegang janji-Ku, lalu Aku berpaling daripada mereka; demikian firman Tuhan. Inilah perjanjian yang akan Kubuat dengan keturunan kaum Israel selepas zaman itu, Tuhan berfirman. Aku akan meletakkan hukum-Ku dalam fikiran mereka dan menuliskannya dalam hati mereka; Aku akan menjadi Allah mereka, dan mereka akan menjadi umat-Ku. Tiada seorang pun daripada mereka akan mengajar jirannya, atau saudaranya dengan berkata, ‘Kenalilah Tuhan,’ kerana semuanya akan mengenal-Ku, daripada yang terkecil kepada yang terbesar. Aku akan berbelas kasihan terhadap kesalahan mereka; dan dosa mereka tidak akan Kuingati lagi.” Dengan menyebut “perjanjian baru,” Tuhan telah menjadikan perjanjian pertama dahulu tidak terpakai lagi. Sesuatu yang kian tidak terpakai dan usang sudah sampai masanya untuk lenyap.

YouVersion menggunakan kuki untuk memperibadikan pengalaman anda. Dengan menggunakan laman web kami, anda menerima penggunaan kuki kami seperti yang diterangkan dalam Polisi Privasi kami