YEHEZKIEL 37:4-14

YEHEZKIEL 37:4-14 Alkitab Berita Baik (BM)

Dia berfirman, “Bernubuatlah kepada tulang-tulang itu. Suruhlah tulang-tulang itu mendengar firman TUHAN. Beritahulah tulang-tulang itu bahawa Aku, TUHAN Raja berfirman kepada tulang kering itu, ‘Aku akan menghembuskan nafas ke dalam kamu supaya kamu hidup semula. Aku akan memberi kamu urat dan otot, serta menyalut kamu dengan kulit. Aku akan memberi kamu nafas supaya kamu hidup semula. Barulah kamu tahu bahawa Akulah TUHAN.’ ” Maka aku, Yehezkiel, bernubuat sebagaimana aku disuruh. Sedang aku bernubuat, aku mendengar bunyi berderak-derik, lalu tulang-tulang itu mula bersambung antara satu sama lain. Sedang aku memperhatikannya, tulang-tulang itu mula berurat dan berotot, lalu diliputi kulit, tetapi tubuh-tubuh itu belum bernafas. Allah berfirman kepadaku, “Hai manusia fana, bernubuatlah kepada angin. Katakanlah bahawa TUHAN Raja memerintah angin supaya datang dari setiap arah untuk menghembuskan nafas ke dalam tubuh-tubuh ini sehingga hidup semula.” Aku pun bernubuat sebagaimana aku disuruh. Lalu angin menghembuskan nafas ke dalam tubuh-tubuh itu sehingga tubuh-tubuh itu hidup dan berdiri. Bilangan mereka sangat banyak, cukup untuk membentuk satu pasukan tentera yang besar. Allah berfirman kepadaku, “Hai manusia fana, umat Israel sama seperti tulang-tulang itu. Mereka berkata bahawa mereka kering, tanpa harapan dan tanpa masa depan. Oleh itu bernubuatlah kepada umat-Ku, Israel, dan beritahulah mereka bahawa Aku, TUHAN Raja akan membuka kubur mereka. Aku akan mengeluarkan mereka dari situ dan membawa mereka pulang ke negeri Israel. Apabila Aku melakukan semua hal itu, mereka akan tahu bahawa Akulah TUHAN. Aku akan menghembuskan nafas-Ku ke dalam mereka untuk menghidupkan mereka semula. Lalu Aku akan membenarkan mereka tinggal lagi di negeri mereka sendiri. Barulah mereka tahu bahawa Akulah TUHAN. Aku telah berjanji akan melakukan perkara itu dan Aku pasti melakukannya. Aku, TUHAN, telah berfirman.”

YEHEZKIEL 37:4-14 Alkitab Versi Borneo (AVB)

Firman-Nya kepadaku, “Bernubuatlah kepada tulang-tulang ini dan katakan, ‘Wahai tulang-tulang yang kering, dengarlah firman TUHAN!’ Beginilah firman Tuhan ALLAH kepada tulang-tulang ini, ‘Sesungguhnya, Aku akan memberikan nafas kepadamu sehingga kamu hidup kembali. Aku akan memberikan urat kepadamu dan menumbuhkan daging padamu. Aku akan menutupi kamu dengan kulit dan memberi kamu nafas sehingga kamu hidup kembali. Maka kamu akan tahu bahawa Akulah TUHAN.’ ” Lalu bernubuatlah aku seperti yang diperintahkan kepadaku. Pada waktu aku bernubuat, terdengarlah suatu bunyi, ya, bunyi derak-derak. Tulang-tulang itu berlekatan satu sama lain. Ketika kuamati, tampak urat dan daging tumbuh pada mereka. Kemudian kulit menutupi semuanya, tetapi mereka belum bernyawa. Lalu Dia berfirman kepadaku, “Bernubuatlah pada roh kehidupan. Bernubuatlah, wahai anak manusia! Katakan kepada roh itu: Beginilah firman Tuhan ALLAH, ‘Datanglah dari keempat-empat mata angin, wahai roh. Bertiuplah kepada golongan orang yang terbunuh ini supaya mereka hidup kembali.’ ” Lalu aku bernubuat seperti yang diperintahkan-Nya kepadaku. Maka masuklah roh itu ke dalam mereka sehingga mereka hidup kembali dan berdiri di atas kedua-dua belah kaki mereka — suatu pasukan yang amat besar sekali. Firman-Nya kepadaku, “Wahai anak manusia, tulang-tulang ini ialah seluruh keturunan kaum Israel. Sesungguhnya, mereka sendiri berkata, ‘Tulang-tulang kami sudah kering dan harapan kami sudah lenyap. Kami sudah habis.’ Oleh sebab itu bernubuatlah dan katakan kepada mereka: Beginilah firman Tuhan ALLAH, ‘Ketahuilah, Aku akan membuka kubur-kuburmu dan membangkitkan kamu dari situ, wahai umat-Ku. Akan Kubawa kamu ke Tanah Israel. Kemudian ketika Aku membuka kubur-kuburmu dan membangkitkan kamu dari situ, wahai umat-Ku, kamu akan tahu bahawa Akulah TUHAN. Aku akan menaruh Roh-Ku di dalam dirimu sehingga kamu hidup kembali dan Aku akan menempatkan kamu di tanahmu sendiri. Maka kamu akan tahu bahawa Aku, TUHAN, telah berfirman dan melaksanakannya, demikianlah firman TUHAN.’ ”

YouVersion menggunakan kuki untuk memperibadikan pengalaman anda. Dengan menggunakan laman web kami, anda menerima penggunaan kuki kami seperti yang diterangkan dalam Polisi Privasi kami