YEHEZKIEL 37:4-14

YEHEZKIEL 37:4-14 BM

Dia berfirman, “Bernubuatlah kepada tulang-tulang itu. Suruhlah tulang-tulang itu mendengar firman TUHAN. Beritahulah tulang-tulang itu bahawa Aku, TUHAN Raja berfirman kepada tulang kering itu, ‘Aku akan menghembuskan nafas ke dalam kamu supaya kamu hidup semula. Aku akan memberi kamu urat dan otot, serta menyalut kamu dengan kulit. Aku akan memberi kamu nafas supaya kamu hidup semula. Barulah kamu tahu bahawa Akulah TUHAN.’ ” Maka aku, Yehezkiel, bernubuat sebagaimana aku disuruh. Sedang aku bernubuat, aku mendengar bunyi berderak-derik, lalu tulang-tulang itu mula bersambung antara satu sama lain. Sedang aku memperhatikannya, tulang-tulang itu mula berurat dan berotot, lalu diliputi kulit, tetapi tubuh-tubuh itu belum bernafas. Allah berfirman kepadaku, “Hai manusia fana, bernubuatlah kepada angin. Katakanlah bahawa TUHAN Raja memerintah angin supaya datang dari setiap arah untuk menghembuskan nafas ke dalam tubuh-tubuh ini sehingga hidup semula.” Aku pun bernubuat sebagaimana aku disuruh. Lalu angin menghembuskan nafas ke dalam tubuh-tubuh itu sehingga tubuh-tubuh itu hidup dan berdiri. Bilangan mereka sangat banyak, cukup untuk membentuk satu pasukan tentera yang besar. Allah berfirman kepadaku, “Hai manusia fana, umat Israel sama seperti tulang-tulang itu. Mereka berkata bahawa mereka kering, tanpa harapan dan tanpa masa depan. Oleh itu bernubuatlah kepada umat-Ku, Israel, dan beritahulah mereka bahawa Aku, TUHAN Raja akan membuka kubur mereka. Aku akan mengeluarkan mereka dari situ dan membawa mereka pulang ke negeri Israel. Apabila Aku melakukan semua hal itu, mereka akan tahu bahawa Akulah TUHAN. Aku akan menghembuskan nafas-Ku ke dalam mereka untuk menghidupkan mereka semula. Lalu Aku akan membenarkan mereka tinggal lagi di negeri mereka sendiri. Barulah mereka tahu bahawa Akulah TUHAN. Aku telah berjanji akan melakukan perkara itu dan Aku pasti melakukannya. Aku, TUHAN, telah berfirman.”

YouVersion menggunakan kuki untuk memperibadikan pengalaman anda. Dengan menggunakan laman web kami, anda menerima penggunaan kuki kami seperti yang diterangkan dalam Polisi Privasi kami