DANIEL 3:15-28

DANIEL 3:15-28 Alkitab Berita Baik (BM)

Sekarang apabila kamu mendengar bunyi trompet, seruling, rebab, gambus, kecapi, dan alat-alat muzik yang lain, sujudlah serta sembahlah patung itu. Jika tidak, kamu akan segera dilemparkan ke dalam relau yang bernyala-nyala. Dewa manakah yang dapat menyelamatkan kamu?” Sadrakh, Mesakh, dan Abednego menjawab, “Tuanku, kami tidak akan cuba membela diri. Jika Allah yang kami sembah itu sanggup menyelamatkan kami dari relau yang bernyala-nyala dan daripada kuasa tuanku, Dia akan menyelamatkan kami. Tetapi seandainya Dia tidak melakukannya juga, hendaklah tuanku maklum bahawa kami tidak akan menyembah dewa tuanku mahupun sujud menyembah patung emas yang tuanku dirikan itu.” Ketika itu Raja Nebukadnezar sangat murka terhadap Sadrakh, Mesakh, dan Abednego sehingga mukanya menjadi merah padam. Oleh itu raja memerintahkan orang-orangnya memanaskan relau tujuh kali lebih panas daripada biasa. Baginda memerintah beberapa orang askar yang paling kuat untuk mengikat ketiga-tiga orang itu dan melemparkan mereka ke dalam relau yang bernyala-nyala itu. Askar raja pun mengikat tiga orang itu yang masih berpakaian lengkap - baju labuh, jubah, serban dan semua pakaian lain - lalu melemparkan mereka ke dalam relau yang bernyala-nyala. Oleh sebab raja memberikan perintah supaya relau itu dipanaskan lebih daripada biasa, api itu membakar sampai mati askar-askar yang melemparkan tiga orang itu ke dalam relau. Sadrakh, Mesakh, dan Abednego jatuh ke dalam relau yang bernyala-nyala itu, dalam keadaan terikat. Tiba-tiba Raja Nebukadnezar berdiri kerana terkejut dan bertanya kepada pegawai-pegawainya, “Bukankah kita mengikat tiga orang dan melemparkan mereka ke dalam relau yang bernyala-nyala itu?” Mereka menjawab, “Benar, tuanku.” “Tetapi mengapakah beta nampak empat orang berjalan-jalan di tengah-tengah api itu?” tanya raja. “Mereka tidak terikat, dan nampaknya mereka tidak cedera. Orang keempat itu rupanya seperti malaikat.” Lalu Raja Nebukadnezar menghampiri pintu relau itu dan bertitah, “Sadrakh! Mesakh! Abednego! Hamba-hamba Allah Yang Maha Tinggi, keluarlah!” Mereka pun keluar dengan segera. Semua raja, gabenor, ketua daerah, dan pegawai-pegawai yang lain berkumpul untuk melihat tiga orang yang tidak terbakar oleh api itu. Rambut mereka tidak hangus, pakaian mereka tidak terbakar, bahkan mereka tidak berbau asap pun. Lalu raja bertitah, “Pujilah Allah yang disembah Sadrakh, Mesakh, dan Abednego! Dia telah mengutus malaikat untuk menyelamatkan orang yang berbakti serta percaya kepada-Nya. Mereka melanggar perintah beta dan berani mempertaruhkan nyawa daripada sujud menyembah dewa lain kecuali Allah mereka.

DANIEL 3:15-28 Alkitab Versi Borneo (AVB)

Sekarang, jika kamu sudah sedia, sebaik sahaja kamu mendengar bunyi nafiri, seruling, kecapi, rebab, gambus, serunai, dan pelbagai jenis muzik, sujudlah menyembah patung yang kubuat itu. Tetapi jika kamu tidak mahu menyembahnya, saat itu juga kamu akan dicampakkan ke dalam dapur api yang menyala-nyala! Maka tuhan manakah yang dapat melepaskan kamu daripada tanganku?” Sadrakh, Mesakh, dan Abednego menjawab Raja Nebukadnezar, “Tidak ada gunanya kami memberikan jawapan kepada tuanku dalam hal ini. Kalau harus demikian, maka Allah yang kami sembah sanggup melepaskan kami dari dapur api yang menyala-nyala itu, dan Dia akan melepaskan kami daripada tangan Tuanku Raja. Tetapi kalaupun tidak, harap Tuanku Raja maklum bahawa kami tidak mahu menyembah tuhan-tuhan tuanku dan tidak mahu menyembah patung emas yang tuanku dirikan itu.” Maka meluap-luaplah murka Nebukadnezar sehingga air mukanya berubah terhadap Sadrakh, Mesakh, dan Abednego. Dia memerintah supaya menyalakan dapur api itu tujuh kali lebih panas daripada biasanya. Lalu dia memerintah beberapa orang yang sangat kuat daripada tenteranya untuk mengikat Sadrakh, Mesakh, dan Abednego, supaya mereka dicampakkan ke dalam dapur api yang menyala-nyala itu. Kemudian ketiga-tiga orang yang masih memakai jubah, celana, serban, dan pakaian lainnya itu diikat, lalu dicampakkan ke dalam dapur api yang menyala-nyala. Kerana perintah raja itu keras dan dapur api itu dipanaskan secara luar biasa, maka mereka yang mengangkat Sadrakh, Mesakh, dan Abednego itu mati oleh bahang api yang bernyala itu manakala ketiga-tiga orang itu, yakni Sadrakh, Mesakh, dan Abednego, jatuh dengan terikat ke dalam dapur api yang menyala-nyala itu. Kemudian terperanjatlah Raja Nebukadnezar lalu bangun dengan segera. Tanyanya kepada para menterinya, “Bukankah tiga orang yang kita campakkan dengan terikat ke dalam api itu?” Jawab mereka kepada raja, “Benar, ya Raja.” Kata raja, “Tetapi kulihat empat orang berjalan-jalan dengan bebas di tengah-tengah api itu tanpa sebarang luka, dan rupa orang yang keempat itu seperti anak tuhan!” Setelah itu, Nebukadnezar mendekati pintu dapur api yang menyala-nyala itu. Dia berkata, “Sadrakh, Mesakh, dan Abednego, hamba-hamba Allah Yang Maha Tinggi, keluarlah dan datanglah ke mari!” Lalu keluarlah Sadrakh, Mesakh, dan Abednego dari tengah-tengah api itu, sementara para wakil raja, para penguasa, para pembesar, dan para menteri raja datang berkumpul. Mereka melihat bahawa tubuh ketiga-tiga orang itu tidak terkesan langsung oleh api, rambut di kepala mereka tidak hangus, jubah mereka tidak berubah, dan bau terbakar pun tidak ada pada mereka. Kata Nebukadnezar, “Segala puji bagi Allah yang disembah Sadrakh, Mesakh, dan Abednego! Dia telah mengutus malaikat-Nya untuk melepaskan hamba-hamba-Nya yang percaya kepada-Nya sehingga berani melanggar perintah raja. Mereka rela menyerahkan tubuh mereka kerana tidak mahu beribadat atau menyembah tuhan mana-mana pun selain Allah mereka.

YouVersion menggunakan kuki untuk memperibadikan pengalaman anda. Dengan menggunakan laman web kami, anda menerima penggunaan kuki kami seperti yang diterangkan dalam Polisi Privasi kami