Daniel 3:15-28

Daniel 3:15-28 AVB

Sekarang, jika kamu sudah sedia, sebaik sahaja kamu mendengar bunyi nafiri, seruling, kecapi, rebab, gambus, serunai, dan pelbagai jenis muzik, sujudlah menyembah patung yang kubuat itu. Tetapi jika kamu tidak mahu menyembahnya, saat itu juga kamu akan dicampakkan ke dalam dapur api yang menyala-nyala! Maka tuhan manakah yang dapat melepaskan kamu daripada tanganku?” Sadrakh, Mesakh, dan Abednego menjawab Raja Nebukadnezar, “Tidak ada gunanya kami memberikan jawapan kepada tuanku dalam hal ini. Kalau harus demikian, maka Allah yang kami sembah sanggup melepaskan kami dari dapur api yang menyala-nyala itu, dan Dia akan melepaskan kami daripada tangan Tuanku Raja. Tetapi kalaupun tidak, harap Tuanku Raja maklum bahawa kami tidak mahu menyembah tuhan-tuhan tuanku dan tidak mahu menyembah patung emas yang tuanku dirikan itu.” Maka meluap-luaplah murka Nebukadnezar sehingga air mukanya berubah terhadap Sadrakh, Mesakh, dan Abednego. Dia memerintah supaya menyalakan dapur api itu tujuh kali lebih panas daripada biasanya. Lalu dia memerintah beberapa orang yang sangat kuat daripada tenteranya untuk mengikat Sadrakh, Mesakh, dan Abednego, supaya mereka dicampakkan ke dalam dapur api yang menyala-nyala itu. Kemudian ketiga-tiga orang yang masih memakai jubah, celana, serban, dan pakaian lainnya itu diikat, lalu dicampakkan ke dalam dapur api yang menyala-nyala. Kerana perintah raja itu keras dan dapur api itu dipanaskan secara luar biasa, maka mereka yang mengangkat Sadrakh, Mesakh, dan Abednego itu mati oleh bahang api yang bernyala itu manakala ketiga-tiga orang itu, yakni Sadrakh, Mesakh, dan Abednego, jatuh dengan terikat ke dalam dapur api yang menyala-nyala itu. Kemudian terperanjatlah Raja Nebukadnezar lalu bangun dengan segera. Tanyanya kepada para menterinya, “Bukankah tiga orang yang kita campakkan dengan terikat ke dalam api itu?” Jawab mereka kepada raja, “Benar, ya Raja.” Kata raja, “Tetapi kulihat empat orang berjalan-jalan dengan bebas di tengah-tengah api itu tanpa sebarang luka, dan rupa orang yang keempat itu seperti anak tuhan!” Setelah itu, Nebukadnezar mendekati pintu dapur api yang menyala-nyala itu. Dia berkata, “Sadrakh, Mesakh, dan Abednego, hamba-hamba Allah Yang Maha Tinggi, keluarlah dan datanglah ke mari!” Lalu keluarlah Sadrakh, Mesakh, dan Abednego dari tengah-tengah api itu, sementara para wakil raja, para penguasa, para pembesar, dan para menteri raja datang berkumpul. Mereka melihat bahawa tubuh ketiga-tiga orang itu tidak terkesan langsung oleh api, rambut di kepala mereka tidak hangus, jubah mereka tidak berubah, dan bau terbakar pun tidak ada pada mereka. Kata Nebukadnezar, “Segala puji bagi Allah yang disembah Sadrakh, Mesakh, dan Abednego! Dia telah mengutus malaikat-Nya untuk melepaskan hamba-hamba-Nya yang percaya kepada-Nya sehingga berani melanggar perintah raja. Mereka rela menyerahkan tubuh mereka kerana tidak mahu beribadat atau menyembah tuhan mana-mana pun selain Allah mereka.

Pelan Bacaan dan Renungan percuma yang berkaitan dengan Daniel 3:15-28

YouVersion menggunakan kuki untuk memperibadikan pengalaman anda. Dengan menggunakan laman web kami, anda menerima penggunaan kuki kami seperti yang diterangkan dalam Polisi Privasi kami