KISAH RASUL-RASUL 5:27-39 - Compare All Versions

KISAH RASUL-RASUL 5:27-39 BM (Alkitab Berita Baik)

Mereka membawa rasul-rasul itu ke hadapan Majlis Agama. Lalu Imam Agung berkata, “Dengan tegas kami melarang kamu mengajar berdasarkan ajaran orang itu. Tetapi sekarang lihatlah apa yang sudah kamu lakukan! Kamu menyebarkan ajaran kamu ke seluruh Yerusalem, dan kamu mahu mendakwa kami bertanggungjawab atas kematiannya.” Petrus dan rasul-rasul yang lain menjawab, “Kami harus taat kepada Allah dan bukan kepada manusia. Yesus yang tuan-tuan salibkan, sudah dibangkitkan daripada kematian oleh Allah yang disembah nenek moyang kita. Allah mengangkat Dia ke tempat yang berkuasa di sebelah kanan-Nya, untuk menjadi Pemimpin dan Penyelamat, supaya umat Israel mendapat peluang untuk bertaubat dan beroleh pengampunan dosa. Kami menjadi saksi dalam semua perkara ini - kami dan juga Roh Allah, yang dikurniakan oleh Allah kepada orang yang mentaati perintah-Nya.” Apabila anggota-anggota Majlis Agama mendengar kata-kata itu, mereka marah sekali sehingga mereka mahu menghukum mati rasul-rasul itu. Tetapi di kalangan anggota Majlis Agama itu ada seorang Farisi bernama Gamaliel. Dia seorang guru Taurat yang sangat dihormati oleh semua orang. Dia berdiri lalu menyuruh orang membawa rasul-rasul itu ke luar sebentar. Lalu dia berkata kepada Majlis Agama itu, “Saudara-saudara orang Israel! Fikirkan baik-baik apa yang hendak saudara-saudara lakukan terhadap semua orang itu. Beberapa waktu dahulu, Teudas muncul dan menganggap dirinya seorang pemimpin yang besar. Kira-kira empat ratus orang mengikut dia. Tetapi dia terbunuh, lalu semua pengikutnya tercerai-cerai, dan pergerakannya lenyap. Setelah itu Yudas, orang dari Galilea pun muncul pada masa pembancian. Dia mempengaruhi banyak orang, tetapi dia juga terbunuh, lalu semua pengikutnya tercerai-cerai. Oleh itu tentang perkara ini sekarang, saya cadangkan supaya jangan ambil tindakan apa-apa terhadap semua orang itu. Biarkan mereka pergi. Jika apa yang dicadangkan dan dilakukan mereka itu daripada manusia, maka semuanya akan lenyap. Tetapi jika semua itu datang daripada Allah, saudara-saudara tidak akan dapat mengalahkan mereka. Malah mungkin akan ternyata bahawa saudara-saudara melawan Allah.” Nasihat Gamaliel diterima oleh Majlis Agama.

KISAH RASUL-RASUL 5:27-39 AVB (Alkitab Versi Borneo)

Mereka membawa para rasul ke hadapan Majlis Agama. Imam besar berkata, “Bukankah kami telah melarang keras kamu mengajar atas nama itu? Tetapi lihatlah, kamu telah menyebarkan ajaran itu ke serata Yerusalem dan berniat mempertanggungjawabkan kami atas kematian-Nya!” Petrus dan rasul yang lain menjawab, “Kami harus taat akan Allah, bukan manusia! Allah nenek moyang kita telah membangkitkan Yesus yang telah kamu bunuh dengan menyalib-Nya. Allah mengangkat Yesus kepada kedudukan mulia di sebelah kanan-Nya, sebagai Anak Raja dan Penyelamat, supaya umat Israel dapat bertaubat dan dosa-dosa mereka diampunkan. Kami menjadi saksi dalam semua hal ini, begitu juga Roh Kudus yang dikurniakan Allah kepada semua yang taat akan perintah-Nya.” Apabila anggota-anggota Majlis Agama mendengar kata-kata itu, mereka sangat marah sehingga berura-ura hendak membunuh para rasul. Akan tetapi, dalam kalangan anggota Majlis Agama itu ada seorang Farisi bernama Gamaliel, seorang ahli Taurat yang sangat disegani. Dia bangkit lalu mengarahkan orang membawa para rasul keluar sejurus. Kemudian dia berkata kepada Majlis Agama, “Saudara-saudara orang Israel! Timbangkan halus-halus apa yang hendak saudara semua lakukan terhadap orang itu. Suatu masa dahulu, Teudas telah bangkit dan mengaku dirinya pemimpin besar. Kira-kira empat ratus orang menjadi pengikutnya. Tetapi dia dibunuh, lalu semua pengikutnya kucar-kacir dan pergerakannya hilang begitu sahaja. Selepas itu muncul pula Yudas, orang Galilea, pada masa pembancian. Dia mempengaruhi ramai orang untuk memberontak, namun dia juga dibunuh, lantas semua pengikutnya kucar-kacir. Dengan demikian, dalam hal ini, aku cadangkan jangan ambil apa-apa tindakan terhadap orang itu. Bebaskan mereka. Kalau rancangan atau usaha ini daripada manusia, segalanya akan hilang begitu sahaja. Sebaliknya, kalau segalanya itu datang daripada Allah, saudara-saudara tidak mungkin menumpaskannya, malah mungkin akan ternyata bahawa saudara-saudara melawan Allah.”

KISAH RASUL-RASUL 5:27-39 KEAS (Kitab Alkudus: Injil Isa Almasih 1866 (Keasberry))

Maka sŭtlah sudah dibawalah marika itu, lalu dihadapkannya pada mŭjŭlis; maka bŭrtanyalah imam bŭsar pada marika itu; Katanya, Bukankah sudah kami tŭgahkan dŭngan kras, bahwa jangan kamu mŭngajar dŭngan nama Isa itu; maka hieran kamu sudah mŭmŭnuhi Jerusalem ini dŭngan pŭngajaran kamu, maka kamu handak mŭndatangkan chilaka ka’atas kami derihal darah orang itu. Maka jawab Petros, dan sagala Rasol, Bahwa dŭngan saharusnya kami mŭnurot pŭrkataan Allah tŭrlebih deripada pŭrkataan manusia. Bahwa Allah nenek moyang kami tŭlah mŭnghidopkan Isa itu pula, yang tŭlah kamu bunoh, sŭrta mŭnggantong dia kapada kayu. Maka orang inilah ditinggikan Allah dŭngan tangan kananya, akan mŭnjadi Pŭnghulu, dan Pŭnulong, supaya mŭndatangkan taubat kapada sagala orang Israil, sŭrta mŭngamponi sagala dosa. Bahwasanya kami inilah saksinya atas pŭrkara yang tŭrsŭbut itu; dan lagi Roh Alkudus pun yang tŭlah dikurniakan Allah bagie sagala orang yang mŭnurot pŭrkataannya. ¶ Maka dŭmi didŭngar ulih marika itu dŭmkian, maka pŭchahlah hatinya, sŭrta mŭmbichara handak mŭmbunoh marika itu. Maka tiba tiba bŭrdirilah dalam mŭjŭlis itu, sa’orang orang Farisia yang bŭrnama Gamelial, adapun iya itu pŭndita dalam tauret, dan lagi dihormati ulih sagala kaum itu; maka disurohnya bawa kluar sŭbŭntar akan sagala Rasol itu. Maka katanya pada marika itu, Hie kamu skalian orang Israil, ingat ingatlah akan dirimu, apa yang kamu handak pŭrbuat pada sagala orang ini. Kŭrna dahulu deripada masa ini, tŭlah bŭrbangkit Theudas mŭmŭgahkan dirinya sa’orang bŭsar; maka adalah banyak orang yang tŭlah mŭnurot akan dia sŭkira kira ampat ratus orang banyaknya; maka kumdian dibunoh orang akan dia; dan lagi sagala orang yang mŭnurot akan dia itu pun chŭrie bŭrielah habis binasa. Maka kumdian deripada itu kluarlah Yudas orang Galilia pada masa orang mŭmbilang orang; maka banyaklah disŭsatkannya sŭbab mŭngikut dia, kumdian iya itu pun binasalah, dan sagala orang yang mŭngikut akan dia itu pun habislah chŭrie bŭrie. Maka skarang pun aku mŭngatakan padamu, bahwa biarkanlah orang itu, jangan diindahkan dia; jikalau kiranya bichara ini, atau pŭkŭrjaan ini deripada manusia datangnya, nŭschaya itu pun binasalah juga adanya. Tŭtapi jikalau kiranya deripada Allah datangnya, nŭschaya tiada dapat kamu mŭmbinasakan dia, asal jangan sa’olah olah kamu didapati mŭlawan Allah.