KISAH RASUL-RASUL 3:2-8,16
KISAH RASUL-RASUL 3:2-8 Alkitab Berita Baik (BM)
Di situ, di pintu yang disebut Pintu Indah, ada seorang lelaki yang kakinya lumpuh sejak dia dilahirkan. Tiap-tiap hari dia dibawa ke situ untuk meminta sedekah daripada orang yang masuk ke Rumah Tuhan. Apabila dia nampak Petrus dan Yohanes sedang masuk ke Rumah Tuhan, dia meminta sedekah daripada mereka. Mereka memandang dia, lalu Petrus berkata, “Pandanglah kami!” Kemudian orang itu memandang mereka dan berharap akan mendapat sesuatu daripada mereka. Tetapi Petrus berkata kepadanya, “Aku sama sekali tidak mempunyai wang, tetapi apa yang ada padaku akan aku berikan kepadamu: dengan kuasa Yesus Kristus orang Nasaret itu, berjalanlah!” Lalu Petrus memegang tangan kanan orang lumpuh itu dan menolong dia bangun. Seketika itu juga kaki dan pergelangan kaki orang lumpuh itu menjadi kuat. Lalu dia melompat bangun, dan mula berjalan ke sana ke mari. Kemudian dia masuk ke Rumah Tuhan bersama-sama Petrus dan Yohanes, sambil berjalan dan melompat-lompat serta memuji Allah.
KISAH RASUL-RASUL 3:16 Alkitab Berita Baik (BM)
Dengan kuasa Yesus orang lumpuh ini dikuatkan. Apa yang saudara-saudara lihat dan saksikan ini berlaku kerana dia percaya kepada Yesus dan kuasa-Nya. Kerana orang itu percaya kepada Yesus, dia sembuh, seperti yang sudah saudara-saudara lihat sendiri.
KISAH RASUL-RASUL 3:2-8 Kitab Alkudus: Injil Isa Almasih 1866 (Keasberry) (KEAS)
Maka adalah sa’orang sakit lŭmpoh deripada prot ibunya, yang dipikol, sŭrta dilŭtakkan oranglah sahari hari dipintu ka’abah yang bŭrnama pintu Elok, akan mŭminta sŭdŭkah deripada orang yang masok kŭdalam ka’abah itu. Maka apabila dilihatnya Petros dan Yahya handak masok kŭdalam ka’abah itu, maka dipintalah sŭdŭkah. Maka Petros dan Yahya pun mŭrnunglah akan dia, sŭrta bŭrkata, Pandanglah ulihmu kapada kami. Maka dipandangnyalah akan marika itu, sŭrta dŭngan harapnya akan bŭrulih barang sa’suatu. Kutika itu bŭrkatalah Petros, Mas dan perak tiada padaku, tŭtapi barang yang ada padaku itulah kubrikan kapadamu; bahwa dŭngan nama Isa Almasih orang Nazareth itu, bangunlah angkau bŭrjalan. Maka dipŭgangnyalah tangannya kanan, sŭrta didirikannnya akan dia, maka dŭngan skutika itu juga kuatlah kakinya, dan mata kakinya. Maka mŭlompatlah iya sŭrta bŭrdiri, lalu bŭrjalan masok bŭsŭrta dŭngan marika itu kŭdalam ka’abah, sambil bŭrjalan, dan mŭlompat, dan mŭmuji akan Allah.
Kesah 3:16 Kitab Alkudus: Injil Isa Almasih 1866 (Keasberry) (KEAS)
Maka dŭngan namanya, dan sŭbab pŭrchaya akan namanya; bahwa orang yang kamu lihat dan kamu kŭnal itu tŭlah disŭmbohkan, bahkan iman dalam dia itu tŭlah mŭnjadikan dia sŭmboh dŭngan sŭmpornanya dihadapan kamu skalian.
KISAH RASUL-RASUL 3:2-8 Alkitab Versi Borneo (AVB)
Ada seorang lumpuh sejak dari rahim ibunya. Setiap hari dia diangkat orang dan diletakkan di pintu Bait Suci itu yang dinamakan Pintu Indah, untuk meminta sedekah daripada orang yang masuk ke Bait Suci itu. Apabila dia melihat Petrus dan Yohanes sedang hendak masuk ke Bait Suci itu, dia pun meminta sedekah. Petrus merenungnya, bersama Yohanes, lalu berkata, “Pandanglah kami.” Orang itu pun menatap mereka, dengan harapan mendapat sesuatu daripada mereka. Kemudian Petrus berkata, “Emas perak tiada padaku, tetapi apa yang ada padaku kuberikan kepadamu: Dalam nama Yesus Kristus, orang Nazaret, bangkit dan berjalanlah.” Petrus memegang tangan kanannya dan menolongnya berdiri, lalu serta-merta tulang kaki dan buku lalinya mendapat kekuatan. Orang itu melompat bangun, berdiri lalu berjalan. Kemudian dia masuk ke Bait Suci itu mengikut Petrus dan Yohanes sambil berjalan, melompat dan memuji Allah.