KISAH RASUL-RASUL 2:1-13

KISAH RASUL-RASUL 2:1-13 Alkitab Berita Baik (BM)

Apabila hari Pentakosta tiba, semua orang yang percaya kepada Kristus berkumpul di satu tempat. Tiba-tiba terdengar bunyi dari langit seperti tiupan angin yang kuat. Bunyi itu memenuhi rumah tempat mereka sedang duduk. Lalu mereka nampak sesuatu yang menyerupai lidah api yang menjalar dan menghinggapi setiap orang di situ. Mereka semua dikuasai oleh Roh Allah. Mereka mula berkata-kata dalam pelbagai bahasa lain, menurut apa yang diberikan oleh Roh Allah kepada mereka. Pada waktu itu banyak orang Yahudi dari pelbagai negeri di seluruh dunia, tinggal di Yerusalem. Mereka orang yang menyembah Allah. Apabila mendengar suara itu, banyak orang datang berkumpul di situ. Mereka terkejut mendengar pengikut-pengikut Kristus itu berkata-kata dalam bahasa yang digunakan oleh mereka masing-masing. Orang ramai itu tercengang dan hairan lalu berkata, “Orang yang bertutur ini semuanya orang Galilea! Tetapi mengapa kita mendengar mereka berkata-kata dalam bahasa negeri kita masing-masing? Kita orang dari Partia, Media, Elam; dari Mesopotamia, Yudea, dan Kapadokia; dari Pontus dan Asia, dari Frigia dan Pamfilia, dari Mesir dan daerah-daerah Libia dekat Kirene. Ada antara kita yang datang dari Roma, baik orang Yahudi mahupun orang bangsa lain yang menganut agama Yahudi; ada juga yang datang dari Kreta dan Arab. Tetapi kita semua mendengar mereka berkata-kata dalam bahasa kita masing-masing tentang hal-hal luar biasa yang dilakukan oleh Allah!” Mereka semua hairan dan bingung, lalu bertanya sesama sendiri, “Apakah maknanya semua ini?” Tetapi ada juga orang yang mengolok-olokkan para pengikut Kristus dan berkata, “Semua orang ini mabuk!”

KISAH RASUL-RASUL 2:1-13 Kitab Alkudus: Injil Isa Almasih 1866 (Keasberry) (KEAS)

SŬBARMULA tŭtkala sampielah hari Pentikosta, maka adalah sagala marika itu bŭrkampong dalam suatu tŭmpat dŭngan satu hati. Maka sŭkunyong kunyong turonlah deri langit suatu bunyi spŭrti angin kŭras mŭndŭru, sahingga mŭmŭnohilah iya akan sagala rumah yang ditŭmpat marika itu diam. Maka tŭrtampaklah pada marika itu bŭbrapa lidah spŭrti api yang tŭrbŭlah bŭlah, maka hinggaplah iya ka’atas masing masing marika itu. Maka hati skalian marika itu pun dipŭnohilah dŭngan Roh Alkudus; maka marika itu pun mŭmulailah bŭrkata kata dŭngan bahsa lain lain, spŭrti yang dikurniakan kwasa ulih Roh itu pada marika itu bŭrkata kata. Shahadan maka adalah bŭbrapa orang Yahudi yang diam diJerusalem, iya itu orang bŭrbakti deripada sagala bangsa dibawah langit. Adapun sŭtlah kadŭngaranlah khabar itu, maka bŭrhimponlah sagala orang sŭrta dŭngan hierannya, sŭbab masing masing mŭnŭngar marika itu bŭrkata kata dŭngan bahsa bahsanya sŭndiri. Maka marika itu skalian pun hieranlah dŭngan tŭrchŭngangnya; kata sa’orang kapada sa’orang, Tengoklah, bukankah sagala orang yang bŭrkata kata itu orang Galilia? Untah bagimanakah garangan masing masing kami mŭnŭngar marika itu bŭrkata kata dŭngan bahsa nŭgri yang tŭmpat kami dipranakkan? Orang Parthi, dan Midi, dan orang Elam, dan orang yang mŭndudokki Mesopotamia, dan tanah Yahuda, dan Kappadosia, dan Pontus, dan Asia; Dan Frijia, dan Pamfilia, dan Masir, dan sagala tanah Libia yang dŭkat Sirini, dan orang orang dagang yang mŭndudokki nŭgri Rom, iya itu orang Yahudi dan orang moalaf. Orang Kriti, dan orang Arab; kami skalian mŭnŭngar marika itu bŭrkata kata dŭngan bahsa bahsa kami derihal sagala pŭrbuatan Allah yang ajaib. Maka hieranlah skaliannya sŭrta dŭngan bimbang hatinya, sambil bŭrkata sa’orang pada sa’orang, Apakah artinya ini? Ada pula orang lain yang mŭnyinder marika itu, katanya, Bahwa sagala orang ini tŭlah mabok dŭngan ayer anggor bahru.

KISAH RASUL-RASUL 2:1-13 Alkitab Versi Borneo (AVB)

Apabila tiba Hari Pentakosta, mereka semuanya bersama-sama di suatu tempat. Tiba-tiba kedengaran bunyi dari langit seperti angin kencang menderu, memenuhi seluruh rumah tempat mereka sedang duduk. Kemudian kelihatan lidah-lidah yang berbelah-belah, seperti api rupanya, dan setiap satu hinggap di atas setiap orang daripada mereka. Mereka semuanya dipenuhi Roh Kudus lalu mulai bertutur dalam pelbagai bahasa asing, seperti yang diberikan oleh Roh itu. Pada waktu itu terdapat orang Yahudi yang salih daripada segala bangsa di bawah langit tinggal di Yerusalem. Apabila mendengar bunyi itu, mereka datang beramai-ramai lalu tercengang kerana masing-masing mendengar orang bertutur dalam bahasanya. Mereka hairan dan takjub lalu berkata sesama sendiri, “Bukankah semuanya yang berkata-kata ini orang Galilea? Bagaimanakah mungkin masing-masing kita mendengar bahasa ibunda sendiri? Orang Partia, Media, dan Elam, orang yang tinggal di Mesopotamia, Yudea dan Kapadokia, Pontus dan Asia Kecil. Frigia dan Pamfilia, Mesir dan kawasan-kawasan Libya yang bersempadan dengan Kirene, pengunjung dari Roma, baik berbangsa Yahudi mahupun penganut agama Yahudi, orang Kreta dan orang Arab, kita mendengar mereka bercakap dalam bahasa kita masing-masing tentang perbuatan Allah yang menakjubkan.” Oleh itu, mereka hairan dan bingung lalu bertanya sesama sendiri, “Apakah ertinya semua ini?” Ada pula yang mengejek, “Semua orang ini mabuk air anggur manis.”

YouVersion menggunakan kuki untuk memperibadikan pengalaman anda. Dengan menggunakan laman web kami, anda menerima penggunaan kuki kami seperti yang diterangkan dalam Polisi Privasi kami